KELIBAT Ratu Boling Tenpin Negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, 30, yang melangkah masuk ke Studio A Karangkraf tepat pukul 10 pagi, Khamis minggu lalu membuatkan kami yang berada di situ terpana seketika.

Dengan ketinggian 169 sentimeter dan hanya calitan solekan yang sederhana, auranya persis seorang model. Beliau tidak berseorangan ke studio, sebaliknya ditemani ibu tersayang, Roziah Mohammad Zahari, 55.

Tatkala menerima sentuhan daripada jurumekap, Aim Azam, kejelitaan anak kedua daripada tiga beradik perempuan itu semakin terserlah. Dengan kulit yang mulus dan cerah, menjadikan sebarang nuansa warna yang dipadankan ke atas wajahnya tampak sempurna.

syaidatul afifah

Tanpa membuang masa, penulis mula membutirkan bicara. Nampaknya, meskipun pertama kali bersua, perbualan kami tidak canggung. Syaidatul Afifah atau disapa dengan Afifah mesra menjawab segala soalan yang dilontarkan. Penulis merumuskan, nadanya yang penuh santun boleh membuatkan sesiapa sahaja senang berkomunikasi dengannya.

Sebaik menyarung koleksi busana formal berwarna coklat lembut yang dipadankan baju merah yang merupakan koleksi peribadi miliknya, sesi fotografi dimulakan.

Bidikan jurufoto kesayangan ramai, Asril Aswandi Shukor bertalu-talu. Kata Asril, Afifah memudahkan kerjanya kerana telah memberikan pelbagai pose menarik seperti yang didambakan oleh seorang ‘tukang ambil gambar‘.

Imbauan

Portfolio anak kelahiran Ipoh, Perak itu dalam industri sukan negara memang bukan biasa-biasa. Justeru, jolokan Ratu Boling Tenpin Negara memang cocok dengannya berdasarkan siri kejayaannya menumbangkan banyak lawan di peringkat lokal dan antarabangsa.

Untuk menghuraikan kemanisan kemenangannya memang sarat. Namun, cukuplah SinarPlus menyenaraikan yang utama sahaja.

syaidatul afifah

Antaranya beliau memenangi pingat emas berpasukan wanita di Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia, pingat emas berpasukan wanita di Kejohanan Dunia 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat dan pingat emas berpasangan di Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, Thailand.

Tatkala diimbas tentang barisan kejayaannya itu, beliau tersenyum simpul sambil merenung sejenak ke arah satu sudut. Setelah beberapa ketika, Afifah lantas mengenang kembali saat pertama beliau berjinak-jinak dalam sukan kegemaran ramai itu ketika usianya mencecah sembilan tahun.

“Saya masih ingat, ketika masih di bangku sekolah rendah, saya memang aktif bersukan. Pada awalnya, saya bermain bola jaring mewakili negeri. Kemudian, apabila ayah, Badrul Hamidi Gam, 61, dedahkan dengan sukan boling, saya jadi teruja dan terus minat.

syaidatul afifah

“Kebetulan masa itu, saya masuk kelab boling dan alhamdulilah, terus jadi wakil sekolah hingga dapat mewakili Perak,“ ujarnya yang mula serius dengan boling tenpin ketika berusia 12 tahun.

Sesungguhnya, perjalanan beliau dalam arena sukan tersebut cukup hebat, lebih-lebih lagi selepas ditempatkan di Akademik Sukan Negeri Perak yang menjadi platform belia mengasah bakat lebih mendalam.

Selepas berjaya menempah nama di peringkat Majlis Sukan-Sukan Malaysia, prestasinya semakin menonjol selepas tersenarai dalam skuad pelapis kebangsaan (2009 hingga 2010).

Hanya dalam tempoh setahun berada dalam bangku simpanan, Afifah berjaya menganggotai pasukan atlet kebangsaan.

“Satu keputusan yang membuatkan hati saya berbunga-bunga,“ katanya yang sangat bersyukur.

Ya, pastinya beliau mempunyai idola tersendiri dalam sukan boling. Afifah terus menyebut nama Shalin Zulkifli.

syaidatul afifah

“Saya cukup memuja semangat juang Shalin dan mencontohi corak permainan Kelly Kulick dan Liz Johnson.

“Semasa saya masih kecil, saya suka lihat teknik bola melengkung Kulick yang cukup cantik. Pun begitu, saya tidak mampu membuat balingan sepertinya. Jadi, stail permainan saya lebih relaks, tetapi konsisten seperti Johnson,“ katanya.

Kulick dan Johnson merupakan pemain boling yang berasal dari Amerika Syarikat.

Seperti yang diketahui ramai, terdapat beberapa sukan yang memerlukan kos dan fokus yang tinggi untuk menyertainya. Antaranya adalah sukan boling. Kriteria berkenaan tidak dinafikan wanita itu.

“Apa-apapun fokus yang tinggi menjadi keutamaan saya. Bagi saya, setiap pemain perlu rajin mendalami teknik balingan yang betul kerana corak minyak pada setiap line balingan boling adalah berbeza-beza.

“Sebab itu, suka saya katakan, proses pembelajaran itu tidak pernah habis. Setiap hari, kita pergi berlatih, belajar benda baharu dan membantu meningkatkan mutu kualiti permainan,“ katanya yang teguh berpegang kepada prinsip bekerja keras, menghormati jurulatih dan rajin belajar tanpa rasa jemu.

Keputusan mengejut

Pada saat meniti kegemilangan dan semakin dikenali, Afifah mengejutkan arena sukan negara apabila atlet paling berpotensi itu mengumumkan keputusan nekadnya untuk berundur dalam dunia boling pada akhir tahun 2019.

“Ia dilakukan dengan perasaan berat hati, namun ia perlu dilakukan,“ katanya.

Pun demikian, reaksi pemerhati industri berbeza. Mereka menyifatkan persaraan itu satu kerugian buat negara kerana Afifah dilihat masih mampu menyumbang kemenangan untuk pasukan boling tenpin dengan prestasi terbaik dan membanggakan.

Mendengar fakta itu dibangkitkan semula, wanita yang memiliki rambut panjang mengurai itu berkata: “Sebenarnya pada awal tahun 2019 lagi, saya sudah terfikir untuk bersara. Bukannya saya mahu bersara 100 peratus, cuma mahu (bersara) daripada pasukan kebangsaan sahaja. Mungkin lepas ini, saya akan aktif untuk kejohanan profesional secara persendirian.

syaidatul afifah

“Masa saya sudah banyak dihabiskan untuk pasukan dengan latihan padat dan itulah masanya untuk saya beri ruang untuk diri sendiri dan keluarga.“

Keputusan mengejutkan itu juga dibuat selepas deretan beberapa peristiwa yang kurang enak, kata wanita yang petah berkata-kata itu.

Cerita Afifah, pada durasi berkenaan juga, beliau dijangkiti pneumonia yang mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh sepenuhnya.

Iklan

“Pada masa itu, saya sakit teruk sehingga sukar bernafas, suhu badan juga tinggi dan saya pernah terfikir yang saya dijangkiti wabak Covid-19 (tetapi sebenarnya tidak).

syaidatul afifah

“Pandemik juga menyebabkan latihan boling ditunda lebih tiga bulan lamanya. Setelah berfikir semasak-masaknya, saya memberitahu diri saya bahawa satu keputusan drastik wajar dibuat (mengundurkan diri),“ katanya yang mengaku tidak pernah menyesal dengan tindakan berkenaan.

Lagipun kata Afifah, pencapaian yang digapai dalam siri kejohanan sebelum ini sudah meletakkannya berada di paras kemuncak.

“Jadi, amat berpatutan jika saya memberi peluang kepada pelapis baharu yang juga mempunyai potensi luar biasa. Memang sayang, namun saya rasa sudah tiba masanya untuk melepaskan semuanya.

“Saya bersara bukan dengan tangan kosong, cukuplah dengan semua pencapaian yang ada sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa.  Jika diberikan peluang dan rezeki, saya mahu melangkah ke dunia baharu selain menjalankan perniagaan keluarga,“ katanya.

Dunia baharu

Justeru, apa perkembangan terkini wanita jelita berkenaan? Jawab Afifah, jiwanya kini beralih kepada bidang pengacaraan.

Bagaimanapun, dirinya masih belum lari dalam bidang sukan sepenuhnya apabila dipilih sebagai pengacara dalam program bual santai, Nadi Weekend.

syaidatul afifah

Apabila ditebak pengalaman pertama menemu bual panel dalam program rancangan berkenaan, Afifah berkongsi perasaannya.

“Debarannya mengalahkan berjuang dalam kejohanan kebangsaan, tetapi pengalaman baharu yang direntas saya sekarang memang mengujakan. Tipulah kalau saya tidak pernah tersasul sebut nama atau keliru mana satu kamera nak pandang, tetapi semua itu dapat diatasi dengan baik.

Iklan

“Alhamdulillah, saya enjoy dalam bidang pengacaraan ini, pejam celik tak sangka sudah 25 rancangan disiarkan. Saya turut terima tawaran mengacara majlis rasmi yang lain,“ tutur pemegang Diploma Pelancongan di Segi University & Colleges Malaysia itu.

syaidatul afifah

Tambah menarik, Afifah semakin dikenali sebagai pempengaruh (influencer). Sesungguhnya, momentum positif tersebut telah melebarkan portfolionya.

Selepas bersembang lama, akhirnya Afifah membuat pendedahan eksklusif bahawa dirinya bakal menjadi pelakon dan bergandingan dengan barisan artis popular. Ironinya, watak yang diberikan dalam drama yang dibintanginya juga masih berkaitan dengan sukan boling.

“Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir pun untuk terjun dalam bidang lakonan. Tawaran diterima pun ketika PKP. Disebabkan ceritanya mengenai boling, saya teruja untuk menjayakannya.

“Cuma saya kena kerja lebih keras sedikit untuk asah bakat dan belajar asas lakonan. Memang hari-hari praktis mimik muka depan cermin untuk menghayati watak,“ ceritanya.

syaidatul afifah

Sebelum menutup bicara, Afifah yang gemar mengumpul lebih 20 koleksi item Hard Rock Cafe seluruh dunia itu memberitahu, beliau turut bercita-cita untuk menubuhkan sebuah akademik boling untuk pelapis negara seawal usia enam tahun.

“Perancangan itu saya jangkakan untuk lima tahun akan datang, saya mahu membantu membangunkan bakat pelapis muda dalam industri boling negara agar mereka dapat melebarkan sayap ke peringkat lebih jauh.

“Cuma ketika ini, saya mahu luangkan masa lebih banyak bersama keluarga dan hargai mereka selagi boleh kerana mak dan ayah banyak berkorban untuk saya berjaya dalam bidang ini,“ ungkap Afifah penuh bermakna.

syaidatul afifah

PROFIL

  • Nama: Syaidatul Afifah Badrul Hamidi
  • Umur: 30 tahun
  • Asal: Ipoh, Perak
  • Kerjaya: Pengacara sambilan, influencer
  • Tahap pendidikan: Diploma Pelancongan di Segi University & Colleges Malaysia
  • Pencapaian terbaik:
  • Pingat emas berpasukan wanita di Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia
  • Pingat emas berpasukan wanita di Kejohanan Dunia 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat
  • Pingat emas berpasangan di Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, Thailand
  • Facebook: Syaidatul Afifah
  • Instagram: @syaidatulafifah