AKTIVIS kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman bersyukur kerana akhirnya berjaya bersatu dengan keluarganya pada penghujung Ramadan dan berpeluang menyambut kedatangan 1 Syawal di Malaysia.

Konflik Palestin-Israel semakin membimbangkan menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, itu tekad membawa pulang ahli keluarganya yang berada di Khan Younis ke tanah air.

Beliau berkata, ia berikutan anak bongsunya mengalami komplikasi pernafasan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital pada tengah malam.

Muhammad Nadir menerusi laman sosial Facebook berkongsi detik pertemuan yang tidak disangka-sangka pada 29 Ramadan lalu.

Saat itu beliau dihubungi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang memintanya ke sebuah lokasi rahsia.

Untuk itu, beliau hanya dibenarkan datang bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby.

Baca juga: ‘Selepas usaha panjang, kami disatukan.’ Nadir Al-Nuri akhirnya dapat beraya dengan anak-anak

Baca juga: Kesungguhan memperjuangkan isu Palestin, Nadir Al-Nuri diiktiraf Nona Superhero Award 2023

“Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam filem. Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan.

“Saya sudah biasa melalui perang di Gaza, melihat kehilangan dan air mata serta cekalnya kehidupan tetapi misi ini saya katakan ‘Misi gila’ kerana bukan mudah untuk mengeluarkan keluarga saat bedilan roket serta hentaman bom bertali-arus malah ketegangan di sempadan berlanjutan.

“Bagaimanapun, secara senyap pemimpin negara menghubungi pihak sana, ternyata diplomasi insani ini jauh lebih berkesan daripada kaedah yang lain,” kongsinya.

Terdahulu, aktivis berusia 36 tahun itu berkata segalanya bermula apabila beliau dan Ahmad Sani Abdul Alim Araby berpeluang untuk menemui Anwar dalam satu majlis di Shah Alam.

Baca juga: ‘Seolah beliau sedang mengejar, memberatkan timbangan amal kebaikannya…’ – Nadir Al Nuri

Baca juga: ‘Rilek guys, kerja NGO semua ada hitam putih, tak ada problemlah’ – Nadir

Menurutnya, ketika itu beliau berkesempatan memberitahu Anwar bahawa keluarganya terkandas di Rafah.

Bagaimanapun, Anwar hanya sempat membelek kiriman dan memberikan respon ringkas akan membantu sebelum terus menaiki kenderaan ke majlis seterusnya.

“Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja, namun dalam surat, ada saya akhiri ayat dengan ‘Kepada ALLAH jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada ALLAH.

“Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, watak penting yang mengusahakan misi ini,” titipnya.

Iklan

Ujar Muhammad Nadir, proses membawa pulang keluarganya itu cepat, teratur dan lancar walaupun penuh dengan 1,001 cabaran tersirat, namun tidak semua beliau berhak untuk kongsikan.

“Untuk Perdana Menteri, Pejabat Perdana Menteri, Dr Ahmad Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini sama ada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga,” katanya yang mengakui tidak berhak mendedahkan segala maklumat berkaitan misi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, proses berkenaan dilakukan selepas melakukan solat istikharah dan bertanya kepada ulama tentang hukum keluar daripada bumi perjuangan.

“Keluar dari Gaza tak bermakna perjuangan terhenti tetapi silat di medan baru akan bermula insya-ALLAH. Yang pasti, nikmat keluarga berada dalam keadaan selamat di sisi, ialah nikmat yang saya harapkan untuk semua.

“Bayangkan, saya membawa anak-anak membeli keperluan, mereka bersorak melihat telur dan coklat kerana selama enam bulan, telur dan coklat menjadi idaman.

Iklan

“Adakah kami sudah melakukan yang terbaik, secukupnya? Itu biarlah ALLAH yang menentukan. Doakan mereka di sana dan doakan kami juga,” kongsinya.

Baru-baru ini, Muhammad Nadir juga mendedahkan kesemua anaknya melompat apabila mendengar bunyi mercun.

Menurutnya, reaksi itu susulan masih lagi trauma kesan daripada serangan bangsa penjajah di bumi Gaza.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!