HATI Siti Famiza Bahari bagaikan dipukul gelombang setiap kali melihat perut anaknya yang kerap mengeras pada bahagian sebelah kanan, ditambah berat badan putera bongsunya yang semakin menyusut.

Meskipun aktif bermain, namun kondisi Muhammad Faris Naufal Mohd Fairul Ridzuan, 2, membuatkan perasaan si ibu sentiasa gundah-gulana.

Kepada SinarPlus, wanita berusia 32 tahun itu memberitahu, pada awalnya beliau menganggap keadaan perut Muhammad Faris Naufal yang manja dipanggil Adik membuncit disebabkan masalah cacing.

“Namun, naluri saya kuat mengatakan bahawa keadaan perut Adik bukan biasa-biasa.

“Walaupun dia makan berselera seperti biasa, tetapi beratnya tak normal. Dalam hati terdetik, kenapalah anak aku ini?,” soalnya yang kemudian merujuk masalah tersebut di sebuah klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan kepastian pada Mac lalu.

kanser hati

Saranan doktor supaya merujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah membuatkan ibu anak dua itu sudah berfikir bukan-bukan, lebih-lebih lagi pemeriksaan awal mendapati Adik berdepan masalah hati.

Ujar Siti Famiza dengan nada sebak, dirinya bagaikan hilang kata-kata akibat terlalu terkejut selepas doktor pakar mengesahkan si anak menghidap kanser hati.

Baca juga Esha tanggung 4 penyakit kritikal, tidak boleh berjalan normal disebabkan kaki bengkok buat netizen sebak

“Saat itu, hanya ALLAH sahaja apa yang bermain di dalam benak saya. Terlalu sukar untuk saya menerima kenyataan sebaik sahaja doktor menerangkan keputusan imbasan CT (Computed Tomography).

“Ketumbuhan pada bahagian hati memerlukan Adik menjalani rawatan kemoterapi terlebih dahulu sebelum pembedahan dapat dijalankan,” ceritanya yang menetap di rumah sewa di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah.

kanser hati

Pada awal prosedur kemoterapi, suaminya, Mohd Fairul Ridzuan Ramli, 34, pernah membantah kerana tidak sanggup melihat anak kesayangan mereka kesakitan disebabkan kesan rawatan tersebut.

“Namun atas nasihat doktor, suami reda kerana tidak mahu risiko lebih buruk berlaku seperti hati membengkak, saluran darah bertambah sempit, hempedu pecah dan kanser merebak ke organ-organ lain,” ungkapnya.

Baca juga Suami pergi sekelip mata, anak pula disahkan buta akibat ketumbuhan pada otak. Dugaan wanita ini bikin ramai sebak

Demi mahu melihat Adik kembali ceria dan sihat, pasangan tersebut akur dengan keputusan doktor dan mula menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Besar Pulau Pinang sebanyak lapan kitaran bermula 1 April lalu.

Pun begitu, keadaan Adik yang semakin lemah, hilang selera makan dan tidak seaktif dahulu selepas menjalani kitaran keenam membuatkan Siti Famiza semakin kecewa.

kanser hati

“Berat Adik daripada 11 kilogram (kg) kini turun mendadak hingga 8kg. Tidak sanggup rasanya hati ini melihat anak yang masih kecil menanggung sakit.

“Namun, saya tidak mengalah dan menyerahkan semuanya kepada ALLAH supaya permudahkan urusan Adik.

“Setiap malam saya solat hajat dan tahajud untuk memanjatkan doa kepada ALLAH SWT,” luahnya penuh sayu.

Tidak cukup wang

Tarikh 6 Julai lalu menjadi detik mendebarkan buat pasangan tersebut apabila pembedahan dijalankan seperti dijadualkan selepas rawatan kemoterapi berakhir.

“Saya percaya dengan kuasa doa, terdapat perubahan positif dan doktor pun terkejut melihat sel kanser Adik mengecil. Jika sebelum ini doktor perlu membuang separuh daripada hatinya, namun kali ini hanya satu perempat bahagian sahaja dibuang.

Baca juga Hilang kaki dan jari tangan kerana kuman meningococcal, semangat juang adik Ziyad teruskan hidup buat ramai kagum

“Syukur sangat-sangat ketika itu kerana ALLAH permudahkan segala urusan,” ujarnya.

Meskipun si kecil itu sudah melepasi fasa mencemaskan, namun Siti Famiza memberitahu, anak bongsunya itu perlu menjalani rawatan kemoterapi untuk kitaran kedua.

“Doktor bimbang sisa sel kanser masih ada dan boleh merebak ke dalam organ lain.

kanser hati

“Jadi, kami masih berulang-alik ke hospital untuk memastikan rawatan tersebut berjalan lancar. Saya sentiasa berdoa segalanya berjalan dengan baik,” ujar bekas pengasuh itu.

Saat bercerita mengenai kos yang ditanggung, suri hati kepada pekerja bengkel itu memberitahu, pendapatan suaminya tidak menentu. Kadangkala hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja.

“Selain menanggung kos sewa, sara hidup dan rawatan anak, suami juga seorang diri membanting tulang selepas saya tidak dapat lagi mengambil upah menjaga anak orang.

kanser hati

“Namun, kami sentiasa bersyukur apabila ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang memerlukan susu khas buat anak bongsunya itu.

Selain Adik, pasangan tersebut memiliki seorang lagi anak, Nur Fariza Najla berusia lima tahun.

Baca juga Dua beradik hidap penyakit jantung berlubang mohon bantuan orang ramai, si adik memerlukan pembedahan segera

Kepada anda yang prihatin dengan nasib keluarga tersebut dan bagi memastikan Adik dapat meneruskan kehidupan yang ceria seperti kanak-kanak lain, bantuan daripada pelbagai bentuk amat dialu-alukan.

Namun, kepada yang mahu menghulurkan wang tunai, boleh salurkan ke akaun Bank Islam 02011024521021 atas nama Siti Famiza Bt Bahari.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan