MENGGAPAI gelaran ‘Doktor Falsafah’ bukanlah senang. Tentu perjalanannya tidak mudah dan perlu segala cabaran perlu dilalui dengan hati membulat tekad.

Perkongsian daripada Eksekutif Persatuan Kaunseling & Psikologi MARA Malaysia, Dr Zulkifli Hussain menceritakan bagaimana pasangan anak muda ini melaluinya sebelum mereka berjaya menggapai peringkat tertinggi dalam bidang akademik ini.

Dr Siti Nadjiha Mohd Rozali dan suaminya, Dr Mohamad Aiman Jamsari adalah bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menunjukkan kecemerlangan sejak bangku persekolahan lagi dengan meraih keputusan cemerlang di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

Dr Mohamad Aiman Jamsari dilahirkan di Setiawangsa, Kuala Lumpur. Dr Mohamad Aiman adalah anak pertama daripada tiga adik beradik. Dia telah melanjutkan pelajaran menengah rendah di di MRSM Gerik, Perak dan tingkatan empat dan lima di MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka dan meraih keputusan 6A+ 3A dalam SPM 2010.

Manakala isterinya, Dr Siti Nadjiha Mohd Rozali anak kelahiran di Petaling Jaya, Selangor dan merupakan anak ketiga daripada lima adik beradik. Dia bersekolah tingkatan satu hingga tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak manakala meneruskan tingkatan empat dan lima di MRSM PDRM, Kulim. Sama seperti suaminya Dr Siti Nadjiha turut meraih keputusan cemerlang 6A+ 3A dalam SPM 2010.

Menurut Dr Zulkifli, kedua-dua bekas pelajar MRSM itu kemudiannya mendapat tempat di universiti luar negara dalam bidang kejuruteraan.

“Menggunakan keputusan percubaan SPM, Aiman dan Nadjiha berjaya mendapatkan tempat di Kolej MARA Kuala Nerang untuk peringkat foundation pada 2011 sebelum menyambung pengajian diperingkat Ijazah.

 

Gambar hiasan.

“Aiman melanjutkan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di UniKL MFI manakala Nadjiha dalam bidang Kejuruteraan Kimia di UniKL MICET untuk tahun pertama pada 2012 dan tahun kedua-keempat di The University of Auckland, New Zealand (2013-2015) dengan tajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA),” tulis Dr Zulkifli.

Lebih manis lagi apabila kedua-duanya memperoleh Ijazah Kelas Pertama dengan Kepujian. Dr Mohamad Aiman memperolehi Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Bachelor of Engineering in Mechanical) manakala bagi Dr Siti Nadjiha menerima segulung ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia (Chemical and Materials). Turut membanggakan apabila Nadjiha terpilih untuk menerima Anugerah Kepujian Dekan (Dean’s Honours Award).

Baca juga Digelar Beauty With The Brain, Adik Pelakon Popular, Anzalna Kongsi Tip Kecemerlangan

 

Setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda, mereka melangsungkan perkahwinan sebelum menyahut cabaran pengajian pascasiswazah dalam menggapai peringkat tertinggi akademik iaitu doktor falsafah (PhD).

“Aiman dan Nadjiha pulang ke Malaysia dan berkahwin selepas selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda dan kedua-duanya pulang semula ke New Zealand untuk menjalani pengajian PhD dengan tajaan kerajaaan New Zealand.

“Mereka berdua berjaya menghabiskan PhD dalam tempoh masa tiga tahun. Aiman kini bekerja di Plant & Food Research di mana dia mengetuai tim kejuruteraan dalam mengendalikan beberapa projek manakala Nadjiha kini bekerja sebagai jurutera di Fonterra, New Zealand iaitu syarikat pengeluaran tenusu terbesar di dunia,” tulisnya.

Iklan

PhD adalah ijazah tertinggi dalam dunia akademik. Sudah tentulah prosesnya agak sukar. Persiapan dan persediaan amat penting untuk melepasi segala proses dan halangan.

Dr Zulkifli turut berkongsi tip daripada Dr Mohamad Aiman dan Dr Siti Nadjiha berkaitan pengajian PhD yang mungkin dimanfaatkan untuk korang semua.

1. Fokus

PhD boleh dihabiskan dalam tempoh masa yang singkat sekiranya betul-betul fokus. Kebiasaannya kami mula berkerja pada jam 9 pagi dan pulang ke rumah pada jam 5 petang.

Pastikan betul-betul produktif antara jam 9 pagi dan 5 petang. Jadi waktu malam boleh digunakan untuk berehat dan masa untuk keluarga. Hujung minggu boleh digunakan untuk bercuti bagi merehatkan minda dan mengecas semula energi.

Bercuti, rehat dan beriadah penting untuk memastikan kita sentiasa bersemangat untuk memulakan hari Isnin yang mendatang.

 

2. Pimpin hala tuju PhD

Perlu ambil inisiatif sendiri dalam banyak perkara. PhD ialah tentang cara korang berfikir, jadi banyakkan usaha berfikir dan laksanakan apa yang dirancang. Kemudian berbincang bersama penyelia. Penyelia akan memberikan komen dan maklum balas mereka tentang apa yang perlu diperbaiki. Bukanlah hanya menunggu arahan ataupun idea daripada penyelia.

 

Iklan

 

3. Hubungan baik dengan penyelia

Sentiasa adakan perjumpaan dan perbincangan bersama penyelia sekurang-kurangnya sekali seminggu. Melalui cara ini, pertukaran idea dengan penyelia berjalan lancar dan membuatkan kita lebih produktif kerana mereka tahu dan faham tentang ideologi atau hala tuju PhD kita.

 

Gambar hiasan.

 

4. Mulakan penulisan tesis seawal mungkin

Kami mulakan penulisan tesis pada akhir tahun kedua dan penyelia mula membacanya pada awal tahun ketiga. Ini membolehkan kami menghabiskan PhD dalam tempoh masa yang singkat.

Kadang-kadang penyelia sangat sibuk sehingga tidak sempat membaca tesis dalam masa yang ditetapkan. Jadi kami ambil inisiatif untuk mulakan penulisan awal untuk memberi ruang kepada penyelia untuk menyemaknya.

 

Gambar hiasan.

 

5. Semangat dan doa

PhD ialah perjalanan yang sukar dan korang perlu lalui sendirian, jadi sangat penting untuk berinteraksi dengan kawan-kawan yang lain atau ahli keluarga supaya mereka boleh memberi semangat. Selalu lah mengharapkan doa daripada kedua ibu-bapa dan kawan-kawan.

Baca juga Dr Soo Wincci Lali Dilabel Gila, Pengajian Tetap Jadi Keutamaan

Kejayaan mereka menggenggam PhD di usia muda tentunya bukan calang-calang. Semoga ia menyuntik semangat dan inspirasi kepada ramai belia yang lain.

Nyata terbukti perkahwinan dan memiliki cahaya mata bukan penghalang untuk menggapai kecemerlangan akademik sehingga ke peringkat tertinggi. Syabas dan tahniah buat Dr Mohamad Aiman dan Dr Siti Nadjiha.

Sumber: Dr Zulkifli Hussain

Foto: Dr Siti Nadjiha