PADA bulan Ramadan memang lazim khususnya dalam kalangan orang Islam menyumbang untuk menambahkan dan mengumpulkan pahala berganda di bulan yang mulia ini.

ALLAH SWT benar-benar memuliakan mereka yang bersedekah. Banyak keutamaan dan balasan yang menakjubkan bagi kelompok umat yang gemar melakukan amalan itu.

Terdapat ratusan dalil yang menceritakan keberuntungan, keutamaan, kemuliaan buat golongan yang bersedekah.

Justeru, memang ramai dalam kalangan masyarakat kita melakukan amalan ini.

Terpanggil sama melakukan amalan itu ialah seorang pemuda dari Klang, Selangor, Azharudin Ali, 35.

Beliau menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sebelum Ramadan lagi.

“Mulanya saya hanya melakukan (sumbangan) secara sendirian untuk membantu beberapa keluarga susah. Tapi tak lama lepas tu ada permintaan pula untuk saya sampaikan infak orang lain.

“Jadi saya teruskan sampai hari ini untuk sampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan pada setiap hujung minggu,” kongsi pekerja hospital swasta di Shah Alam, Selangor ini kepada SinarPlus.

Sehingga kini beliau telah menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga asnaf yang memerlukan sekitar kawasan perumahannya di Bandar Puteri, Klang.

Menariknya, dalam ramai-ramai penyumbang infak yang ditemuinya, seorang penyumbang istimewa berbangsa India ini antara menarik dan menyentak hatinya.

“Berbangsa India.
Dapat call hari ni..
Bro: “Abang ada buat sumbangan untuk asnaf ya?
Abam: Ya ada, kenapa?
Bro: Saya nak sumbang boleh ke?
Abam: Eh boleh je..
Dah sampai.. Abam tanya brother ni.. Nape u nak bagi sumbangan. Dengan slumber dia jawab
“Ni semua tuhan Allah punya abg”
Tersentak abam dengar.. Semoga diberi hidayah..
Esok abam akn hantar utk Asnaf..”

Iklan

Itu kongsi Azharudin mengenai salah seorang penyumbang projek infaknya dikenali dengan nama Nathan, 30-an baru-baru ini.

Menurut beliau, sumbangan berbentuk barangan keperluan dihulurkan pemuda berhati mulia itu membolehkan ia disampaikan kepada lima keluarga.

Status dimuatnaik di Facebooknya menggunakan nama Azhar Art itu nampaknya bukan hanya menyentak hatinya, bahkan netizen apabila mendapat lebih 28k respons emoji dan tanda suka sehingga hari ini.

Iklan

“Saya pun sebenarnya terkejut dan tak sangka ada juga bangsa lain yang hendak menyumbang. Saya harap lebih ramai masyarakat kita yang prihatin seperti beliau.

“Insya-ALLAH jika tiada aral saya akan teruskan projek sumbangan kepada asnaf ini hingga Syawal nanti,” katanya lagi.

Ya, yang pasti masih ramai orang kita yang berhati mulia. Moga kita juga dapat mengambil iktibar daripada perkongsian Azharudin, bapa kepada tiga anak ini. -AG #PastiAdaSinar