PENGHIBUR serba boleh Alif Satar diumum antara pemenang Anugerah Jenama Yang Dipercayai anjuran sebuah majalah antarabangsa tahun 2020.

Alif dipilih memenangi kategori Penyampai Televisyen untuk Berita & Ehwal Semasa Paling Dipercayai, mengambil tempat Henry Golding yang memenangi kategori yang sama tahun lalu.

Bukan nama asing, bagi Alif, beliau sememangnya terkejut dan sentiasa bersyukur dengan segala pencapaian yang dimilikinya sehingga kini.

“Saya rasa sangat berbesar hati atas anugerah ini dan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur, juga para penyokong saya yang sememangnya sumber inspirasi saya, dalam apa jua bidang yang saya ceburi.

“Semoga atas penganugerahan ini, dapat menjadi satu contoh bagi sesiapa saja di Malaysia bahawa, tidak kira siapa, dan tanpa mengira latar belakang kita, jika kita mempunyai visi dan misi dalam diri, dengan usaha dan ketekunan, kita mampu untuk mencapai apa jua matlamat dalam hidup,” katanya.

Alif juga berpegang pada mutiara kata yang pernah disuarakan oleh mendiang Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela yang berbunyi, “It always seems impossible, until it is done” (semuanya tampak mustahil sehinggalah kita melaksanakannya).

Nama penghibur itu mula meniti di bibir peminat seni tanah air menerusi penglibatannya dalam pertandingan nyanyian ‘One in A Million’ di rangkaian 8TV seterusnya memenangi tempat ketiga selepas diatasi oleh Suki Low dan Faizal Tahir.

Malah, imej positif yang ditampilkan di layar perak dan media sosial terus mendapat pujian dan rasa hormat peminat.

Iklan

Selain Alif, personaliti tempatan lain seperti Adibah Noor turut memenangi kategori Penyampai Hiburan/Serba Boleh Paling Dipercayai manakala bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terus kekal sebagai Personaliti Sukan Paling Dipercayai.

Anugerah Reader’s Digest Trusted Brands ke- 22 menonjolkan jenama yang dipercayai berdasarkan undian oleh lebih daripada 8,000 individu yang telah dipilih merentasi lima pasaran utama di rantau ini seperti Malaysia, Singapura, Filipina, Hong Kong dan Taiwan.

Iklan

Lebih daripada 40 jenama tempatan terpilih untuk memenangi lebih daripada 50 kategori termasuk Produk Isi Rumah, Perkakas Elektronik Pengguna, Institusi Pendidikan Swasta, Universiti Awam, Bank Yang Paling Dipercayai, Penyedia Perbankan Islam dan banyak lagi.