DI SAAT semua pihak berkerja keras melawan pandemik Koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia dan negara, penyanyi Azlan & The Typewriter turut tidak mahu ketinggalan untuk memainkan peranannya menerusi karya seni.

Terkesan dengan pengorbanan petugas barisan hadapan negara, Azlan tampil mendedikasikan sebuah karya ciptaannya, Barisan Hadapan untuk menzahirkan rasa terima kasih buat mereka yang terlibat.

Menurut Azlan, lagu tersebut dicipta untuk memberikan semangat kepada barisan hadapan agar terus kuat menjalankan tanggungjawab mereka demi negara.

“Mereka bukan sahaja meninggalkan keluarga di rumah demi melawan pandemik Covid19 tetapi dalam masa yang sama turut menggadaikan nyawa semata-mata mahu negara kembali aman.

“Pengorbanan petugas barisan hadapan tidak terbalas dengan wang ringgit. Malah apa yang dilakukan mereka begitu besar maknanya dan harus dihargai oleh semua.

“Saya sangat sayu hati melihat gambar dan video mereka tular dalam media sosial. Jasa mereka memang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata,” ujar Azlan yang mengambil masa seminggu untuk mencipta lagu tersebut.

Lagu Barisan Hadapan yang merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh Azlan itu kini kini ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music yang dilancarkan baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azlan turut menasihatkan orang ramai agar terus patuh dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu.

Iklan

“Saya berharap agar orang ramai terus berada di rumah dan mematuhi arahan PKP yang kini sudah memasuki fasa ketiga.

“Hanya dengan berada di rumah, kita dapat memutuskan rantaian Covid-19 seterusnya mengembalikan keamanan seperti mana yang pernah dikecapi sebelum ini.

“Kita perlu bersatu untuk sama-sama melawan pandemik ini dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi kebaikan bersama,” tegasnya.

Iklan

 

(FOTO: Indigital Music)