Bell's Palsy: Tak perlu risau, muka sebelah lumpuh akan sembuh lepas 3 hingga 6 bulan

A
A
A

PIERCE Brosnan, Angelina Jolie, George Clooney, Sylvester Stallone, arwah Adibah Noor dan Faye Kusairi antara selebriti yang pernah lumpuh sebelah muka atau dalam istilah sains, Bell‘s palsy.

Brosnan misalnya, diserang penyakit berkenaan ketika sibuk menjalani penggambaran Remington Steele.

Memetik MDLinx, selebriti kacak itu mengaku wajahnya telah diserang virus. Namun, rutin lakonan beliau yang memakan masa antara 14 hingga 16 jam tanpa henti juga perlu diambil kira.

Berdasarkan jurnal yang diterbitkan oleh National Library of Medicine, Amerika Syarikat (AS), 23 bagi setiap 100,000 orang setahun atau kira-kira satu dalam 60 hingga 70 individu berdepan krisis kesihatan itu dalam seumur hidup.

Tidak kira sama ada lelaki atau wanita, kadar insiden sedikit lebih kurang sama. Ia boleh berlaku pada sebelah kanan atau kiri muka. Di Malaysia, data sahih tidak dapat dikenal pasti.

Bagaimanapun, kata Pakar Perubatan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Chee Yong Chuan,Bell‘s palsy atau turut dikenali sebagai Facial palsy sering dijumpai dan dianggap sebagai penyakit umum.

Sebelum memperhalusi topik tersebut lebih lanjut, Dr Yong Chuan menjelaskan kekeliruan orang ramai mengenai perbezaan di antara Bell‘s palsy dan strok.

“Ingin saya terangkan, kedua-duanya adalah dua keadaan yang berbeza. Bell‘s palsy adalah disebabkan oleh kerosakan atau keradangan pada saraf wajah, manakala strok disebabkan oleh masalah dengan bekalan darah ke otak.

“Doktor biasanya dapat mengenal pasti kelainan petanda-petanda dengan melakukan pemeriksaan fizikal menyeluruh dan menjalankan ujian seperti tomografi komputer atau MRI (pengimejan resonans magnetik) otak,“ katanya.

[video width="720" height="1280" mp4="https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/2023/06/video_2023-06-02_10-35-10.mp4"][/video]

 

Tertekan, kurang tidur

Menurut pakar berkenaan, penyebab Bell‘s palsy masih belum diketahui secara jelas. Kenyataan itu disokong dengan beberapa sumber perubatan berprestij termasuk Johns Hopkins Medicine, Healthline dan National Library of Medicine.

Pun demikian, ujar Dr Yong Chuan, terdapat beberapa faktor kemungkinan yang dikaitkan. Antaranya:

Virus: Kebanyakan kes adalah berpunca daripada infeksi virus seperti Herpes simplex atau virus penyebab selsema. Ia akan mencetuskan keradangan dan pembengkakan yang akhirnya memberi tekanan pada saraf wajah sehingga menyebabkan kelemahan atau kelumpuhan pada otot (wajah).

Keradangan saraf: Radang saraf wajah dapat menyebabkan tekanan pada saraf (wajah) termasuk reaksi inflamasi yang merosakkan saraf tersebut.

Gangguan sistem imun: Penyakit yang menganggu sistem imun seperti sindrom Guillain-Barre, rheumatoid arthritis dan lupus (penyakit autoimun) dapat mempengaruhi fungsi saraf, sekali gus memicu kerosakan saraf yang mengakibatkan Bell‘s palsy.

Dalam pada itu, National Institute of Neurological Disorder and Stroke, AS berkata, ramai pakar percaya, jangkitan virus tidak aktif turut boleh mengakibatkan munculnya penyakit itu.

Secara umum, ia bermaksud, jika mana-mana individu yang tertekan, mengalami trauma fizikal dan kekurangan tidur secara tidak langsung berpotensi mendapat Bell‘s palsy.

[video width="1024" height="500" mp4="https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/2023/06/bells-palsy-1-1.mp4"][/video]

 

Kepada golongan yang berusia 60 tahun ke atas, wanita hamil, penghidap diabetes dan darah tinggi termasuk yang memiliki sejarah keluarga, kadar kemungkinan mendapat penyakit itu juga agak tinggi.

Beritahu Dr Young Chuan lagi, krisis kesihatan tersebut tidak hanya berlaku ke atas orang dewasa berumur dalam lingkungan 15 hingga 60 tahun, tetapi juga pada kanak-kanak!

Meneliti penulisan Royal Children‘s Hospital Melbourne, antara punca kepada permasalahan itu boleh jadi kerana jangkitan pada telinga, tulang tengkorak dekat telinga, kelenjar parotid dan virus Herpes termasuk trauma akibat hentakan pada kepala.

Bagaimana pula gejala Bell‘s palsy bagi kelompok dewasa? Dr Young Chuan yang mengambil posisi untuk menjawab pertanyaan berkenaan berkata, pesakit akan mengalami beberapa kesukaran seperti payah untuk mengangkat kening, menutup mata, senyum dan memuncungkan bibir.

Di samping itu, mereka juga sulit untuk bertutur, mengunyah makanan dan rasa sakit pada belakang telinga.

Jika diselak kembali kejadian ketika pelakon Faye Kusairi lumpuh sebelah muka, pada saat itu beliau sedang berada dalam semester ketiga kehamilan.

Menjelaskan situasi itu, Dr Young Chuan berkata, hal berkenaan terjadi akibat perubahan hormon.

Peningkatan hormon tertentu seperti estrogen dan progesterone boleh mempengaruhi sistem saraf pada tubuh. Selain itu, wanita hamil juga memiliki risiko lebih tinggi untuk mengalami jangkitan virus Herpes dan influenza yang juga menyebabkan Bell‘s palsy.

“Namun demikian, punca sebenar masih belum diketahui secara pasti. Kajian juga menunjukkan bahawa faktor genetik dapat menyumbang kepada keadaan tersebut,“ katanya.

BACA JUGA: https://sinarplus.sinarharian.com.my/dunia/lelaki-dedah-lumpuh-muka-terdedah-aircond-lama-berikut-fakta-bells-palsy/

BACA JUGA: https://sinarplus.sinarharian.com.my/dunia/wanita-alami-bells-palsy-lumpuh-sebelah-muka-tidur-menghadap-kipas-jadi-punca/

Keberkesanan urutan

Seperti yang dinyatakan, Bell‘s palsy akan membuatkan separuh wajah pesakit tampak terkulai. Namun, kata Dr Young Chuan terdapat kemungkinan kecil ia boleh menjejaskan kedua-dua belah muka.

“Pun demikian, keadaan ini adalah jarang sekali. Jika ia berlaku, pesakit akan mengalami kelemahan pada kedua-dua sisi muka,“ terangnya.

Mengenai tempoh masa diambil untuk pesakit pulih, Johns Hopkins Medicine berkata, ia mungkin dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Bagaimanapun, semasa sakit kebanyakan penghidap Bell‘s palsy tidak dapat menutup mata pada bahagian muka yang terjejas. Oleh itu, adalah penting untuk melindungi mata daripada kering pada waktu malam atau semasa bekerja di depan komputer.

"Penjagaan mata boleh dilakukan dengan titisan mata pada waktu siang dan salap pada waktu mahu tidur demi membantu melindungi kornea daripada tercalar,“ kata sumber itu.

Sementara itu, Dr Young Chuan memberitahu, semuanya bergantung kepada tahap keparahan gejala dan punca penyakit. Perawatannya pula adalah seperti berikut:

Ubat antikeradangan (NSAIDs): Ia mengurangkan keradangan dan bengkak pada saraf wajah.

Ubat antivirus: Contohnya seperti acyclovir yang membantu meredakan gejala jika Bell‘s palsy disebabkan oleh jangkitan virus.

Ubat steroid: Antaranya prednisolone. Berfungsi mengurangkan keradangan pada saraf wajah dan mempercepatkan pemulihan.

Selain itu, rawatan fisioterapi yang biasanya melibatkan beberapa teknik seperti latihan regangan dan kekuatan termasuk latihan jangka pendek, stimulasi elektrik, urutan serta terapi wajah manual memberi banyak manfaat kepada penghidap.

Teknik stimulasi elektrik misalnya, menggunakan arus elektrik untuk merangsang otot wajah dan membantu meningkatkan aliran darah ke kawasan yang terjejas.

Latihan jangka pendek pula membantu mengembalikan daya runding dan gerakan otot-otot wajah.

Aktiviti regangan akan mengurangkan kekakuan dan membantu meningkatkan kelenturan otot wajah,“ ujarnya.

Menyentuh tentang teknik urutan tradisional, Dr Young Chuan berkata, sebenarnya tiada halangan untuk berbuat demikian.

Malah, beberapa teknik (urutan) atau terapi manual telah digunakan sebagai sebahagian daripada rawatan bagi pesakit Bell‘s palsy.

“Walaupun terdapat bukti yang terhad mengenai keberkesanannya, terdapat beberapa kebaikan dilaporkan oleh pesakit,“ katanya.

Seperkara ujar pakar tersebut, penderita Bell‘s palsy tidak perlu terlalu khuatir.

Sebahagian besar pesakit biasanya akan pulih dengan sendirinya dalam beberapa minggu hingga beberapa bulan.

“Hanya jumlah kecil pesakit sahaja mungkin mengalami gejala yang berlanjutan,“ ungkapnya.

Selepas sembuh, adakah terdapat kebarangkalian Bell‘s palsy boleh berulang sekali lagi?

Berikut penjelasan Dr Young Chuan: “Walaupun majoriti pesakit hanya mengalami serangan sekali sahaja, kajian menunjukkan bahawa kira-kira 7 hingga 15 peratus pesakit mengalami keadaan berulang.

“Risiko pengulangan juga adalah lebih tinggi dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah penyakit autoimun atau Bell‘s palsy.“

#kesresponden

Muka jadi herot tiba-tiba, Din pulih selepas 3 bulan jalani pelbagai rawatan & terapi

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 meninggalkan realiti yang amat pahit buat seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Din, 40-an.

Duduk berjauhan dengan isteri ditambah bebanan kerja yang semakin berat walau bekerja dari rumah, membuatkan juruanalisis itu semakin tertekan.

“Pada suatu pagi ketika saya bangkit daripada tidur, tiba-tiba saya rasakan muka sebelah kanan saya kebas dan ‘keras‘. Mata juga tak boleh berkerdip. Bila saya lihat wajah saya di cermin, saya terkejut kerana sudah herot.

Saya takut dan terus menghubungi rakan saya yang juga seorang pegawai perubatan. Ketika itu saya juga susah nak bercakap. Air mata saya mula menitis. Penerangan dia yang menjangkakan saya menghidap Bell‘s palsy membuatkan air mata saya terus menderu laju,“ katanya ketika dihubungi melalui mesej langsung di Instagram.

Disebabkan PKP, ujar Din, beliau hanya berpeluang mendapat rawatan di hospital pada keesokan harinya.

Diagnosis dan hasil perbincangan dengan doktor menemukan jawapan kemungkinan Bell‘s palsy yang dihadapinya adalah disebabkan oleh penyakit diabetes, hipertensi termasuk ketidakcukupan rehat diri, bukan disebabkan virus.

“Ya, ia bukan satu lagi hipotesis, apa yang doktor katakan ada kebenarannya. Rutin kerja saya memang teruk. Sebagai juruanalisis, waktu kerja mengikut masa di Amerika Syarikat. Sejak dulu lagi, tidur saya tak menentu dan makan pun ‘ke laut‘,“ ujarnya yang mengakui beliau seorang lelaki obes.

Mengetahui masih ada harapan untuk sembuh, Din diberi ubat steroid, ubat titis mata, krim sapu termasuk dicadangkan melakukan terapi akupuntur.

Sebagai alternatif, lelaki itu turut membuat urutan tradisional bersama seorang tukang urut dari Indonesia.

“Pada awalnya, saya tak suka lihat wajah saya. Namun, selepas hampir tiga bulan, muka saya semakin normal. Saya boleh makan dengan mudah, bercakap dan paling penting mata saya berfungsi dengan baik.

“Paling menggembirakan, saya sudah dapat tidur dengan baik sekarang. Saya juga jaga makan dan minum. Tiada lagi air manis dan sekarang masih lagi berusaha menurunkan berat badan,“ katanya yang mengharapkan penderita Bell‘s palsy lain tidak cepat berputus asa dan terus melakukan perawatan yang disarankan pakar.

FOTO PEXELS & CANVA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca