Berlaku secara semula jadi atau akibat masalah kesihatan ibu dan anak. Kelahiran pramatang boleh dicegah

A
A
A

SEKURANG-KURANGNYA 12.4 juta bayi dilahirkan pramatang pada tahun 2020.

Ia menyaksikan satu daripada setiap 10 kelahiran itu adalah bayi tidak cukup bulan, demikian menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Mayo Clinic mengklasifikasikan kelahiran pramatang sebagai kelahiran yang berlaku tiga minggu sebelum tarikh jangkaan kelahiran bayi.

Menurut laman perubatan tersebut, si kecil yang baharu dilahirkan boleh dikategorikan seperti berikut:

  1. Pramatang lewat: bayi lahir di antara 34 hingga 36 minggu.
  2. Pramatang sederhana lewat: bayi lahir antara 32 hingga 34 minggu.
  3. Pramatang awal: bayi yang lahir antara 28 hingga 32 minggu.
  4. Pramatang sangat awal: bayi yang lahir sebelum berusia 28 minggu.

Dr Imelda Nasreen Nasruddin @ Balchin.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan itu, SinarPlus menemui Pakar Kehamilan Berisiko Tinggi, Hospital Pakar Damansara 2, Dr Imelda Nasreen Nasruddin @ Balchin.

Menurut beliau, istilah kelahiran pramatang bukan merujuk kepada kelahiran sebelum tarikh jangkaan bersalin.

Tarikh yang diberikan kepada ibu-ibu hamil adalah jangkaan bakal melahirkan iaitu 40 minggu kehamilan.

“Namun begitu, bayi sebenarnya sudah matang sejak usia kandungan 37 minggu.

"Justeru, walaupun bersalin lebih awal daripada tarikh jangkaan, tak semestinya itu adalah bayi pramatang.

“Ia sebaliknya melibatkan bayi yang dilahirkan sebelum 37 minggu,” jelasnya memulakan bicara.

Situasi itu terjadi dalam dua keadaan iaitu disebabkan kemudaratan kepada ibu dan anak atau secara semula jadi.

“Wanita yang mempunyai masalah kesihatan serius mungkin terpaksa menjalani pembedahan mengeluarkan bayinya demi menyelamatkan nyawa.

“Contohnya, ibu yang mengalami pendarahan teruk akibat uri plasenta yang lekang dari permukaan dinding rahim atau disebut sebagai plasenta abruption,” katanya.

Antara situasi lain yang memaksa bayi dikeluarkan lebih awal adalah disebabkan ibu mempunyai penyakit darah tinggi atau pre-eclampsia yang boleh mengakibatkan sawan atau strok.

Baca juga: Kelahiran bayi lelaki sempena Hari Malaysia hadiah terindah buat Julfekar & isteri selepas 10 tahun menanti!

Kelahiran kembar

Salah satu sebab lain kelahiran pramatang secara semula jadi pula ialah cervical insufficiency iaitu pangkal rahim terlalu lembut untuk menampung kehamilan.

Selain masalah kesihatan atau keradangan dalam badan yang tidak boleh dikawal, kehamilan bayi kembar juga meningkatkan risiko kehamilan pramatang.

Tambah Dr Imelda, antara faktor lain yang boleh menyumbang kepada masalah itu adalah jangkitan ketika hamil.

Mereka yang mempunyai sejarah kelahiran pramatang turut boleh berdepan risiko sama pada kehamilan masa depan. Dalam pada itu, pakar tersebut turut menggariskan beberapa komplikasi kelahiran tidak cukup bulan. Antaranya:

  1. Proses kelahiran terpaksa dilakukan melalui pembedahan kerana kedudukan bayi yang melintang.
  2. Bayi yang dilahirkan sebelum 32 minggu memerlukan ventilasi di unit rawatan insentif neonatal.
  3. Bayi yang lahir kurang 27 minggu mempunyai risiko tidak dapat diselamatkan.
  4. Kelahiran sebelum 22 minggu dinamakan sebagai keguguran kerana bayi tidak dapat diselamatkan.

Bukan itu sahaja, anak yang dilahirkan tidak cukup bulan mempunyai lebih risiko kesihatan yang serius seperti masalah penglihatan, Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), Cerebral Palsy atau kekurangan keupayaan.

Susulan itu, pakar tersebut menegaskan pencegahan hendaklah dilakukan bagi memastikan kesihatan ibu sebelum hamil.

Mereka disaran menurunkan berat badan yang obes sebelum mengandung dan mendapatkan rawatan sekiranya mempunyai masalah perubatan.

Para ibu juga perlu mengamalkan permakanan sihat supaya tidak mengalami keracunan makanan.

“Elakkan merokok dan lakukan senaman berintensiti rendah bagi mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan diabetes.

“Mereka yang menjalani rawatan persenyawaan in vitro hendaklah mengelak daripada sengaja meletakkan lebih embrio bagi mendapatkan kehamilan kembar,” katanya.

Hal ini kerana, wanita yang hamil janin kembar tidak kira dua, tiga atau empat mempunyai lebih risiko untuk berdepan masalah tersebut.

Kesihatan pesakit berisiko tinggi seperti asma, jantung dan diabetes juga perlu dipantau rapi.

Baca juga: Anak-anak disleksia bukan lembab atau cacat. Ada yang genius dan kreatif. Kenali jenis-jenisnya

Katanya, mereka yang mempunyai sejarah bersalin anak terlalu pramatang secara semula jadi pula disaran mendapatkan bantuan pakar.

“Di Hospital KPJ Damansara 2, kami menubuhkan Pusat Pencegahan Kelahiran Pramatang yang pertama di Malaysia.

“Pakar-pakar yang terlatih akan membantu ibu-ibu untuk mencegah kehamilan pramatang,” ujarnya.

Dr Nor Zubaidah Kadir.

Antibodi

Sementara itu, Pakar Padiatrik Neonatal Hospital Sultanah Zur Zahirah, Dr Nor Zubaidah Kadir berkata, bayi yang dilahirkan pramatang mempunyai fizikal yang lebih kecil.

“Bayi yang dilahirkan pada usia kandungan 25 minggu mungkin mempunyai berat sekitar 500 gram sahaja.

“Jika berusia 30 minggu, mereka mungkin boleh mencapai 1 hingga 1.5 kilogram (kg).

“Sekiranya si kecil itu lahir pada usia 32 minggu ke atas pula, mereka mungkin boleh mencapai berat sekitar 2kg,” katanya.

Disebabkan itu, bayi dilahirkan lebih 'lemah' dan memerlukan penjagaan khas kerana kebanyakan organ dalaman kurang matang dan belum bersedia untuk berfungsi dengan sendiri.

Paling penting, si kecil perlu dilindungi daripada jangkitan kuman. Situasi itu boleh berlaku disebabkan bayi masih belum menerima sepenuhnya antibodi.

Baca juga: Beri pujian, banyakkan bercakap. Itu antara cara atasi kalau anak alami masalah lewat perkembangan

Ia dibawa ibu kepada bayi dalam kandungan melalui plasenta sepanjang kehamilan terutamanya selepas trimester ketiga (usia kandungan 28 minggu ke atas).

“Lebih pramatang bayi dilahirkan, aras antibodi dalam tubuhnya juga lebih rendah. Sistem pertahanan badan mereka juga masih belum matang,” katanya.

Suhu badan dan kandungan gula juga perlu dipantau bagi mengelakkan risiko hipotermia dan gula rendah.

Tambah beliau lagi, aliran nutrisi akan dimasukkan melalui intravena supaya dapat membekalkan nutrien yang diperlukan. Susu ibu pula akan diberikan melalui tiub sehingga bagi boleh menyusu terus daripada ibu.

“Usia kandungan selepas kelahiran perlu mencapai paling kurang 35 minggu dan ke atas dengan berat lebih 1.7kg.

“Sebelum bayi dibawa pulang, ibu ayah perlu mengetahui penjagaan sesuai untuk bayi mereka,” ujarnya.

Baca juga: Wanita pakai mekap, perokok, individu tak sihat dan cirit-birit jangan sentuh bayi. Ini mungkin terjadi

Penjaga juga perlu bersedia dari segi mental kerana penjagaan bayi pramatang adalah lebih mencabar.

“Ibu bapa akan diajar beberapa asas resusitasi neonatal bagi menyediakan mereka kepada sebarang kejadian kecemasan seperti bayi tersedak hingga sukar bernafas atau mereka berhenti bernafas di rumah.

Tambah Dr Zubaidah lagi, ibu bapa juga akan diberikan kaunseling berkenaan keselamatan bayi melalui kepentingan penggunaan kerusi kanak-kanak di dalam kereta secara betul.

Selain itu, doktor juga akan menasihati ibu bapa supaya tidak tidur bersama anak di atas katil yang sama.

Baca juga: Dayana Roza lahir bayi perempuan pramatang

 

Sebaliknya, si kecil itu hendaklah diletakkan di dalam katil bayi. Bagi mengelakkan anak mudah jatuh sakit, sebaiknya si kecil tidak dibawa ke tempat yang mempunyai ramai orang atau bertemu dengan ahli keluarga yang tidak sihat.

Jika ibu ayah yang sakit, mereka hendaklah memakai pelitup muka.

“Bagi memastikan kesihatan yang optimum, bayi pramatang biasanya perlu menjalani rawatan berkala sehingga umur memasuki usia persekolahan iaitu tujuh atau lapan tahun.

“Jika disahkan mengalami masalah seperti lewat pembelajaran atau ketidakupayaan, mereka hendaklah menjalani rawatan dan terapi yang sepatutnya,” katanya.

#Koresponden

Dua anak Suhaszirina dilahirkan pramatang

PERGERAKAN bayi yang terhenti tiba-tiba boleh mengundang kegusaran kepada mana-mana ibu yang sedang hamil.

Itu situasi yang terpaksa dialami Suhaszirina Wahab. Atas nasihat doktor untuk menyelamatkan nyawa anaknya, beliau terpaksa melahirkan zuriatnya menerusi kaedah pembedahan.

Ujarnya kepada SinarPlus, pengalaman itu bukan kali pertama baginya kerana anak sulungnya juga dilahirkan pramatang ketika usia kandungan 30 minggu.

“Anak ketiga saya dilahirkan lebih awal dari tarikh jangkaan bersalin iaitu sewaktu usia kandungan 32 minggu.

“Bayi waktu itu hanya seberat 1.5 kilogram (kg) sahaja dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk bantuan pernafasan,” katanya mengimbau pengalamannya melahirkan bayi pramatang tahun lepas.

Setelah enam hari pemantauan, si kecil itu kemudiannya dipindahkan ke wad biasa.

Pun begitu, ada satu hari yang memaksa bayi comel tersebut terpaksa ditempatkan kembali di NICU apabila bacaan oksigennya berkurangan.

Beritahu Suhaszirina, penjagaan anak pramatang semasa di hospital sangat dititikberatkan.

Ibu-ibu perlu membersihkan tangan terlebih dahulu dan tidak dibenarkan memakai jam atau sebarang perhiasan bagi mengelakkan bayi terkena jangkitan kuman.

Perasaannya bagai disiat-siat apabila melihat anaknya tiba-tiba dipasangkan semula wayar-wayar pada hari ke-26 kelahirannya.

“Wajahnya pucat dan kelihatan lemah ketika saya datang menziarahinya. Waktu itu doktor beritahu anak saya mengalami najis berdarah dan ujian darah yang dijalankan mendapati terdapat jangkitan kuman pada usus,” katanya sambil menambah ia dipercayai daripada susu yang diberikan padanya.

Bukan itu sahaja, darah dan aras gula dalam tubuhnya juga berkurang.

Susulan itu, penyusuan si kecil itu terpaksa dihentikan seketika dan dimasukkan air, darah serta antibiotik.

“Syukur kepada ALLAH, bayi pramatang saya kuat dan boleh discaj pada hari ke-45. Ketika itu, beratnya1.8kg dan sudah dipastikan berada dalam keadaan sihat.

“Sebelum dibawa pulang, doktor terlebih dahulu menjelaskan risiko-risiko yang mungkin dihadapi anak pramatang semasa di rumah,” katanya.

Beliau telah diberikan penerangan cara pengendalian bayi sekiranya tersedak susu dan langkah yang perlu dilakukan sebelum dibawa ke hospital.

Wanita yang berasal dari Pasir Gudang dan kini menetap di Skudai, Johor itu turut dinasihatkan supaya memastikan kediaman sentiasa bersih daripada habuk dan asap rokok.

Tetamu juga tidak dibenarkan mendekati bayi bagi mengurangkan risiko si kecil itu daripada jatuh sakit.

Sementelah keadaan paru-paru anaknya yang belum cukup matang.

Antara cabaran lain yang terpaksa didepani Suhaszirina adalah perlu kerap berulang-alik ke klinik kesihatan untuk menimbang berat bayinya bagi memastikan ia mencapai berat 2kg.

“Memiliki anak pramatang ini memang agak mencabar. Selain penjagaan yang lebih teliti, banyak janji temu dengan doktor yang perlu diikuti dan kadang-kadang ia berselang sehari sahaja,” katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca