SETELAH hampir beberapa bulan ‘menanti’, akhirnya, salah satu taman tema terbesar di dunia, Desaru Coast Adventure Waterpark bersedia menyambut pengunjung kembali.

Korang pun mesti excited kan nak main air?

Taman tema itu sudah mula beroperasi semula sejak semalam dan pastinya korang boleh berseronok di sana.

Menariknya, bermula semalam hingga 31 Ogos akan datang, Desaru Coast Adventure Waterpark bakal menawarkan pelbagai makanan menarik bagi pengunjung terutama rakyat Malaysia sebagai tanda penghargaan terima kasih di atas kerjasama dan ketabahan semua dalam bekerjasama untuk memerangi pandemik Covid-19.

Pengurus Besarnya, Shahrul Nizar Ahmad berkata, walaupun masih dalam keadaan waspada, Malaysia harus meraikan dan bersyukur kerana jumlah kes Covid-19 yang aktif di negara telah mengalami trend menurun sejak kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan medianya, Desaru Coast Adventure Waterpark bakal menawarkan harga yang sangat rendah kepada pemegang Mykad yang sah sebagai sebahagian daripada penghargaan kepada rakyat Malaysia.

Dengan harga serendah RM59 untuk dewasa dan RM39 pula untuk kanak-kanak dan warga emas, korang dah boleh jejak ke sana tau!

Lebih gempak, terdapat juga promosi ‘Buy One, Free One’ namun ia tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan.

Pengunjung turut boleh menikmati potongan lebih daripada 50 peratus untuk tiket masuk biasa pada harga RM75 untuk pas dewasa (harga biasa: RM151) dan RM49 untuk kanak-kanak yang berumur antara 3 hingga 11 tahun serta warga emas berumur 60 tahun ke atas (harga biasa: RM113).

Dalam masa yang sama, menyahut seruan kerajaan, Desaru Coast Adventure Waterpark akan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan untuk semua pengunjung dan pekerja bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan terjamin.

Kapasiti maksimum harian turut dikurangkan kepada 1,500 pengunjung sahaja bagi memudahkan SOP dipatuhi.

Bukan itu sahaja, protokol kecemasan yang ketat juga akan dilaksanakan sementara pekerja taman akan berada di sekitar taman untuk membantu para pengunjung sepanjang memanjakan diri di sana.

Iklan

Tahap kualiti air dan klorin di semua tempat di situ akan dijaga dengan ketat yang mana pemeriksaan akan dilakukan setiap dua jam.

Paling penting, semua pekerja dan pengunjung disarankan memakai topeng muka ketika tidak melibatkan aktiviti di dalam air.

Bagi memudahkan urusan korang, topeng muka juga akan dijual di tempat-tempat strategik di seluruh kawasan taman tema ni tau…

Langkah-langkah lain yang telah dilaksanakan termasuk pembersihan tempat-tempat menarik dan kemudahan taman secara berkala; kapasiti terkawal dan pembersihan bilik mandi dan loker; garis panduan yang ketat untuk mengendalikan dan menghidangkan makanan dan minuman serta pemeriksaan suhu untuk semua pekerja dan pelawat.

Iklan

Desaru Coast Adventure Waterpark juga sangat mengalukan pengunjung untuk menggunakan pembayaran secara elektronik dan e-wallet ketika membuat pembelian tiket.

Untuk menebus potongan harga, pengunjung boleh membuat tempahan dalam talian di www.desarucoast.com dan menunjukkan kad pengenalan masing-masing di pintu masuk taman tema.

Maklumat lebih lanjut mengenai Desaru Coast Adventure Waterpark juga boleh didapati di www.desarucoast.com atau https://www.facebook.com/AdventureWaterparkDesaruCoast/.