Dilakukan suspek seorang diri, ladang kelapa sawit dipercayai lokasi ditamatkan riwayat Nur Farah Kartini
PERKEMBANGAN kes penemuan mayat Nur Farah Kartini, 25, terus menjadi perhatian ramai. Kenyataan daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan merungkai lokasi kemungkinan Nur Farah Kartini dibunuh.
Polis mengesyaki kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang adalah lokasi wanita malang itu dipercayai dibunuh oleh seorang individu.
"Kami percaya ia berlaku di sini (lokasi kejadian) dan dilakukan suspek seorang.
"Motif masih dalam siasatan dan tidak boleh bagi satu keputusan yang terlalu awal.
"Namun kami percaya kes pembunuhan berlaku di sini, maksudnya sini ialah 'primary scene'," katanya.
Beliau turut mendedahkan penahanan suspek pada 15 Julai lalu telah membawa kepada penemuan mayat Nur Farah Kartini di lokasi kejadian dan barang bukti.
SUSPEK TUNJUK LOKASI
Dalam pada itu, beliau memaklumkan siasatan mendapati suspek dan mangsa mengenali antara satu sama lain namun pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan mereka.
"Suspek kami tahan, siasat dan membawa kepada penemuan mangsa dan beberapa barang bukti," ujarnya.
Hussein turut memaklumkan operasi pencarian bahan bukti di lokasi pada Rabu menemukan sebuah telefon bimbit dalam kawasan parit yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Katanya operasi pencarian bahan bukti akan diteruskan sehingga pasukan siasatan berpuas hati dengan bahan siasatan.
Beliau pada sama memaklumkan, operasi juga akan diteruskan di satu lagi lokasi di kawasan Perak yang jaraknya kira-kira 20 minit dari lokasi tersebut.
26 ORANG DIRAKAM KETERANGAN
Dalam pada itu, Hussein juga mendedahkan 26 individu telah dirakam keterangan mereka termasuklah rakan Allahyarham Nur Farah Kartini, rakan sekerja suspek dan saksi awam.
Beliau turut memaklumkan reman suspek yang akan tamat Isnin ini kemungkinan akan disambung lagi dan suspek yang juga anggota polis kini ditahan kerja secara automatik.
PADANAN DNA DIPERLUKAN, PENGECAMAN SECARA VISUAL GAGAL
Sementara itu, Hussein berkata laporan bedah siasat mangsa masih belum diperolehi dan pihaknya masih menunggu keputusan daripada pihak hospital dan makmal.
Mayat mangsa katanya, kini masih di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh Hussein dan beberapa prosedur perlu dilakukan termasuk ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dilakukan oleh Jabatan Kimia berikutan pengecaman mayat yang tidak dapat dilakukan secara visual.
"Mayat mangsa akan diserahkan kepada keluarga bergantung kepada ujian padanan DNA menerusi ibu dan adik-beradiknya yang akan dilakukan Jabatan Kimia.
"Saya rasa (mayat) tidak dapat dibawa keluar hari ini (Rabu), mungkin mengambil masa beberapa hari lagi dan dalam masa sama kami akan meminta Jabatan Kimia percepatkan proses terbabit," katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai, ditemukan enam hari kemudian ladang kelapa sawit berkenaan, dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Gadis berusia 25 tahun yang berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan gagal dikesan selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.
Suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Kontinjen Perak telah direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Sinar Harian, Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang