RAMAI mengeluh azam mahu kurus tahun lalu tidak kesampaian.

Mungkin kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, terlalu banyak cabaran untuk menahan nafsu makan.

Jadi, apa kata korang mulakan diet yang tidak kesampaian itu tahun ini. Cuba pula kaedah eat clean ini.

Eat clean adalah antara diet pemakanan yang popular terutamanya di media sosial yang diamalkan golongan muda.

Bagi yang masih asing dengan diet ini, jangan terkeliru kerana eat clean tiada kena mengena dengan tahap kebersihan suatu makanan.

Ia merujuk kepada usaha dan kesedaran untuk makan makanan yang memberikan manfaat dan nutrisi terbaik kepada tubuh.

Ini tip diet eat clean yang perlu korang amalkan;

1. Kurangkan pengambilan gula

Mengurangkan jumlah gula dalam diet harian boleh menjadi antara cabaran yang paling sukar untuk dilakukan bagi sesetengah individu, baik orang muda
mahupun tua.

Untuk mengurangkan pengambilan gula, kurangkan ambil makanan dengan gula tambahan seperti soda, gula-gula, kek, dan lain-lain.

Jika korang sudah terlalu ‘sangkut’ dengan gula, antara alternatif yang boleh dicuba adalah dengan memakan banyak buah. Gula yang terkandung di dalam
buah-buahan adalah sihat.

Ini kerana kesan gula dalam buah tidak dapat dilihat dengan segera. Ia berkait rapat dengan beberapa nutrien lain seperti protein, vitamin, dan serat.

Oleh itu, makanlah seberapa banyak buahan yang anda mahukan! Tetapi, jangan keterlaluan pula ya.

2. Makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan

Sayur-sayuran dan buah-buahan, sememangnya tidak dapat dinafikan amat menyihatkan.

Ia penuh dengan serat, vitamin, mineral, dan sebatian tumbuhan yang membantu melawan keradangan dan melindungi sel anda daripada kerosakan.

Sebenarnya, banyak kajian besar mengaitkan pengambilan buahan dan sayuran yang tinggi dengan pengurangan risiko penyakit seperti kanser dan penyakit
jantung.

Sayuran dan buah-buahan segar sangat sesuai untuk konsep diet eat clean, kerana kebanyakannya boleh dimakan mentah sebaik sahaja dipetik dan dicuci.

Manakala, memilih hasil organik pula dapat bantu anda mengamalkan diet ini selangkah lebih jauh dengan mengurangkan pendedahan racun perosak dan
berpotensi meningkatkan kesihatan.

3. Hadkan makanan yang diproses

Pengambilan makanan diproses adalah bertentangan dengan gaya hidup eat clean, kerana makanan tersebut telah diubah daripada keadaan semula jadinya.

Sebilangan besar makanan yang diproses kehilangan sebahagian serat dan nutrien malah dimasukkan pula gula dan bahan-bahan kimia lain.

Tambah lagi, makanan yang diproses dikaitkan dengan isu keradangan dan peningkatan terhadap risiko penyakit jantung.

4. Memasukkan sumber protein, karbohidrat, dan lemak dalam setiap hidangan

Untuk mendapatkan zat terbaik, anda harus mencuba masukkan seberapa banyak yang mungkin sumber-sumber protein, karbohidrat dan lemak dalam setiap
hidangan harian.

Iklan

Bagi kebanyakan individu, memasukkan sumber karbohidrat dan lemak dalam makanan, terutamanya untuk sarapan pagi dan makan tengah hari, tidaklah begitu
sukar.

Ini kerana cabaran sebenarnya adalah untuk memasukkan sumber protein ke dalam makanan harian.

Oleh itu, mulai sekarang, latih diri untuk sentiasa sertakan ketiga-tiga sumber ini setiap kali anda menyediakan makanan.

5. Baca label

Walaupun eat clean berdasarkan makanan segar, namun sesetengah jenis makanan tertentu boleh disertakan dalam diet harian, seperti sayur-sayuran, kekacang, dan daging yang dipek.

Namun, penting untuk membaca label bagi memastikan tidak ada bahan pengawet, gula tambahan, atau lemak yang tidak sihat.

Sebagai contoh, banyak kacang dipanggang menggunakan minyak sayuran, yang boleh menyebabkan kerosakan berkaitan suhu.

Sebaiknya makan kacang mentah atau panggang sendiri pada suhu rendah.

Selain itu, campuran salad yang sudah dicuci dapat menjimatkan masa tetapi mungkin mengandungi bahan tambahan terutamanya dalam dressing yang sering disertakan sekali.

Baca juga Mimifly kongsi resipi itik salai panggang, sesuai untuk pengamal diet keto

6. Bersenam

Anda mungkin tertanya-tanya kenapa senaman dikaitkan dengan diet eat clean pula, bukan?

Iklan

Sebenarnya, adalah sia-sia usaha kalian untuk kekal sihat tanpa melakukan sebarang aktiviti senaman.

Tidak kisah berapa banyak jumlah protein dan karbohidrat diambil, jika anda tidak bersenam langsung, adalah mustahil untuk kekal fit.

Sama seperti tip-tip lain, pastikan anda melakukannya secara sederhana.

Senaman yang sederhana seperti berjalan dan tali skipping bermanfaat untuk jantung dan paru-paru anda.

Dengan perubahan dalam gaya hidup dan pemakanan, korang mampu mempengaruhi jangka hayat dan kualiti kehidupan kalian. Selamat mencuba ya!

Sumber: Hello Health Group