Pad brek yang baik mampu menyelamatkan nyawa pemandu dan penumpang          

UMUM tahu fungsi asal pad brek sangat penting. Bagaimanapun, barangkali disebabkan urusan harian yang sentiasa sibuk,  lazimnya penjagaan alat untuk memperlahankan dan memberhentikan kenderaan itu sering terabai.

Apa pun, keselamatan brek seharusnya dipantau rapi. Kondisinya dalam keadaan selamat digunakan mustahak bagi mengelak berlakunya kejadian kemalangan seperti terbabas atau perlanggaran dengan kenderaan lain.

Turbo berkesempatan menemubual pemilik bengkel Fateh Tyre & Auto Sdn Bhd, Mohd Effendi Abdul Talib yang berkongsi tentang penjagaan pad brek.

MOHD Effendi Abdul Talib

“Pada kebiasaannya, jangka masa untuk pad brek bertahan bergantung kepada cara dan jarak pemanduan. Namun, secara puratanya ia boleh bertahan sehingga 80,000 kilometer.

“Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi ketahanannya iaitu jenis pad brek yang digunakan, jarak perjalanan dan beban bagi sesebuah kenderaan itu,“ kongsinya baru-baru ini.

Menariknya, menurut beliau, pad brek organik yang agak murah kini kian digunakan. Akan tetapi, ia tidak akan bertahan dalam tempoh yang lama.

“Pad brek jenis low metalik pula akan mengeluarkan bunyi bising, tapi ia mempunyai tempoh ketahanan yang lebih lama berbanding pad brek organik.

“Pad brek jenis seramik adalah yang paling tahan lama. Harganya lebih mahal berbanding yang lain,“ jelas Mohd Effendi.

PERBEZAAN antara minyak brek baru (kiri) dan lama (kanan).

Berikut perkongsian beliau tentang tanda-tanda pad brek haus dan perlu ditukar:

1.Lampu amaran brek menyala.

Lampu amaran tersebut akan menyala apabila brek tangan tidak dilepaskan ataupun minyak brek di dalam takungan (reservoir) berkurangan. Keadaan tersebut berlaku yang minyak menjadi kurang disebabkan oleh ketebalan pad brek yang juga berkurang.

2.Cecair brek kurang dari takatnya

Ketahuilah pad brek kereta harus ditukar apabila cecair brek berada di tahap yang minimum atau berkurang dari paras takatnya.

3.Terdapat bunyi yang kuat bahagian brek kereta

Pad brek perlu ditukar apabila ia menghasilkan bunyi yang nyaring. Apabila pad brek melepasi tahap minimum, terdapat satu pelapik besi yang akan bergesel dengan cakera brek. Oleh itu, bunyi berkenaan ‘seolah-olah‘ memberi amaran kepada pemandu bahawa pad brek tersebut dalam keadaan haus dan perlu ditukar.

4.Terdapatnya ketidaknormalan di dalam kereta

Pad brek perlu ditukar apabila berlaku ketidaknormalan dalam kenderaan setiap kali brek ditekan seperti stereng dan pedal brek bergegar dengan kuat.

5. Jarak kenderaan untuk berhenti semakin bertambah

Sebelum ini, kereta yang digunakan hanya mengambil jarak 10 meter untuk berhenti. Pun begitu, jika brek pad sudah haus, jarak untuk berhenti bertambah lebih dari 10 meter. Itu bermaksud pad brek kereta anda harus ditukar!

Iklan

6. Pemeriksaan secara visual dan berkala oleh mekanik

Pad brek boleh dilihat melalui celahan rim untuk mengesan kehausan. Ia merupakan bahagian yang bersentuh secara langsung dengan cakera brek. Ia juga perlu mempunyai ketebalan minima tiga milimeter. Jika kurang daripada itu, segera hantar ke bengkel untuk diperiksa ataupun ditukar baharu.

APA KATA MEREKA?

“Ketahanan pad brek bukan sahaja bergantung kepada kilometer jarak pemanduan. Ini kerana ada sesetengah kereta digunakan di pekan, kampung dan ada juga yang hari-hari akan naik dan turun bukit. Oleh itu, pemeriksaan secara berkala diperlukan bagi mengetahui keadaan sebenar pad brek itu”.

– Muhammad Nafiz Hamizan, 26, Ipoh, Perak

Iklan

“Saya kurang tahu mengenainya, namun sentiasa peka dengan jarak pemanduan kilometer kereta. Jika kereta saya berhadapan masalah, saya akan terus ke bengkel bagi membuat pemeriksaan dan mengetahui tahap ‘kesihatan’ kereta saya”.

– Hajar Bahar, 23, Bayan Lepas, Pulau Pinang

“Saya akan menukarnya apabila mula rasa brek kereta saya tidak berfungsi dengan baik. Kadangkala, ia bukan disebabkan pad brek semata-mata, tetapi akibat kurang minyak brek”.

– Muhammad Amir Hakim Radzali, 25, Klang, Selangor