Gred N1 tapi PhD! Kisah pembantu setiausaha pejabat Dr Norliyana 13 tahun berkhidmat, jadi inspirasi ramai
DALAM dunia sekarang, tidak ramai yang sanggup terus setia dengan kerjaya asal bila sudah memiliki ijazah tertinggi namun wanita ini lain daripada yang lain.
Seorang pembantu tadbir gred N1 berkelulusan Doktor Falsafah (PhD), Dr Norliyana Zakaria menjadi tular selepas kisahnya dikongsi di media sosial baru-baru ini.
Walaupun memiliki kelayakan akademik tinggi yang membuka lebih banyak peluang, beliau memilih untuk berkhidmat sebagai penjawat awam.

"Seluruh warga Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) merakamkan ucapan selamat satang dan selamat bertugas kepada Pembantu Setiausaha Pejabat (Gred N1) Dr Norliyana binti Zakaria yang kini bertugas di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia berkuat kuasa 21 Oktober 2025.
"Semoga kehadiran beliau menambah kekuatan dan semangat baharu dalam keluarga besar FABU. Selamat maju jaya dan selamat menempuh tugasan baharu! " kongsinya.
Dalam hantaran yang sama, dimaklumkan Norliyana yang memiliki PhD dari Fakulti Pengurusan merupakan staf berpengalaman 13 tahun di UTM dan baru sahaja mendapat PhD.
Difahamkan, beliau kini sedang mencari jawatan yang setara dengan kelayakannya.

"Untuk makluman, Dr Liyana adalah staf di UTM yang telah berkhidmat selama 13 tahun. Beliau baru mendapat PhD pada Februari 2025, dan sedang memohon jawatan yang lebih sesuai dengan kelayakan beliau," titip fakulti berkenaan.
Terdahulu, Fakulti Pengurusan berkongsi Norliyana lulus lulus Viva Voce PhD dengan pembetulan pada 10 Jun 2024.
Tesis beliau bertajuk Personaliti Big Five, Strategi Daya Tindak, Kecergasan Emosi dan Hubungannya dengan Kesejahteraan Psikologi dalam Kalangan Pekerja Pengurusan Sektor Pembuatan.
Hantaran berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada warga maya, yang rata-rata kagum dan merasa terinspirasi.
Tidak kurang juga yang memaklumkan bahawa kini kebanyakan penjawat awam termasuk gred pelaksana memiliki kelulusan PhD.
"Saya sangat kagum ya. Bukan senang belajar part time PhD. Tahniah Dr Norliyana. Insya-ALLAH moga murah rezeki."
"Saya ingat saya silap tengok jawatan dia. Jawatan Penolong Setiausaha pun nak kena ada PhD ya."
"N1 ada PhD. Tok Bok kata, orang Sarawak memang hebat!"
"Kini gred N1 ramai terdiri daripada pemegang PhD, pemegang ijazah sarjana dan pemegang ijazah sarjana muda. Jarang lagi hanya memiliki SPM sahaja."
“Sesuatu yang menarik. Gred N1 tetapi tahapnya lain daripada yang lain. Tahniah, Dr Norliyana!”
Sumber: Facebook
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
