Usia 38 tahun, Dr Amalina raih PhD Imperial College London. 'Kepada semua wanita terutama ibu, ia tidak mustahil'
PAKAR bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri menitipkan kesyukurannya selepas selamat menerima Ijazah Doktor Falsafah dari Imperial College London hari ini.
Berkongsi berita gembira itu menerusi Instagram, Dr Amalina menyifatkan ia bukan sekadar catatan kejayaan akademik, tetapi satu refleksi tentang pengorbanan sebagai pelajar, isteri, ibu dan doktor perubatan dalam satu masa.
"Alhamdulillah, hari ini saya menerima sijil PhD saya. #DrDr.
"Ketika saya memulakan pengajian PhD, saya sangkakan cabaran terbesar adalah untuk mengimbangi antara kerja akademik dan klinikal.
"Ujian klinikal, analisis data, tarikh akhir dan penulisan yang tiada penghujung dan syif di hospital. Namun, rupanya perjalanan ini membawa saya kepada sesuatu yang jauh lebih besar dan bermakna," titipnya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga menyifatkan kejayaan itu tidak datang dari laluan yang mudah. Kejayaan PhD bukanlah semata-mata hasil daripada usaha akademik tetapi adalah simbol kekuatan, pengorbanan dan cinta kepada ilmu, keluarga dan diri sendiri.

"Sepanjang pengajian ini, saya mendirikan rumahtangga, menjadi seorang isteri, dan kemudian seorang ibu kepada dua cahaya mata. Hidup saya bukan lagi sekadar tentang jurnal penyelidikan dan panggilan hospital. Ia kini turut merangkumi sesi menyusu waktu malam, anak tumbuh gigi dan mencuri sedikit masa untuk berehat di celah-celah kesibukan.
"Mengimbangi antara pengajian, kerjaya dan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah. Ada malam saya mendukung anak yang tidak sihat sambil menyiapkan tugasan yang perlu dihantar.
"Ada pagi saya ke hospital dengan hanya dua jam tidur. Sewaktu saya selesai pembentangan viva dan menyerahkan tesis, saya sedang hamil anak kedua iaitu momen yang menambahkan lagi erti perjalanan ini.
"Ia mengingatkan saya betapa rapatnya hubungan antara pengajian ini dengan peranan saya sebagai seorang ibu. Setiap bab dalam tesis saya seolah-olah bergerak seiring dengan fasa kehidupan yang baharu," kongsinya.
Dalam masa yang sama, Dr Amalina menyifatan kejayaan itu bukan dicapai seorang diri, malah turut dikongsikan bersama mereka yang sentiasa menyokong di sisi termasuk suami, keluarga, dan penyelia yang sentiasa memberi bimbingan.
Tambahan pula, pengajian Ijazah Doktor Falsafahnya berkait rapat dengan kanser payudara, Dr Amalina berharap ia memberi manfaat kepada pesakit.

"Dalam semua ini, saya belajar bahawa kekuatan bukanlah tentang melakukan segalanya dengan sempurna. Ia tentang terus melangkah walaupun penat, dan sentiasa ingat kembali mengapa kita mula.
"Saya belajar melepaskan tuntutan kesempurnaan, memberi tumpuan pada apa yang benar-benar penting, dan bersandar pada insan-insan yang menjadi tulang belakang saya iaitu suami, keluarga, serta para penyelia dan mentor.
"Mereka adalah sumber kekuatan saya. Ijazah ini juga untuk mereka.
"Penyelidikan saya memberi tumpuan kepada teknologi boleh pakai (wearable tech) dan bagaimana ia boleh membantu pesakit pulih selepas pembedahan kanser payudara. Setiap kali saya rasa hampir berputus asa, saya akan teringat akan para wanita yang saya harap akan mendapat manfaat daripada penyelidikan ini. Wanita hebat, cekal dan berani, yang menjadi inspirasi saya untuk terus melangkah," kongsinya.
Dalam pada itu, Dr Amalina juga memberitahu, kejayaan boleh dicapai sama ada dalam kerjaya mahupun akademik tanpa perlu mengorbankan keluarga. Beliau juga memberi semangat buat kaum Hawa untuk melepaskan tekanan menjadi 'superwoman' dan lebih menghargai usaha yang konsisten walau kecil. Progres lebih penting daripada kesempurnaan.
"Kepada semua wanita, terutamanya ibu-ibu yang sedang menggalas pelbagai peranan dalam satu masa bekerja, belajar, menjaga keluarga, percayalah, ia tidak mustahil.
"Kita tidak perlu jadi sempurna. Cukup sekadar teruskan, langkah demi langkah.
"Jika ada satu perkara yang benar-benar saya pelajari sepanjang perjalanan ini, ia adalah: kita tidak perlu memilih antara impian dan keluarga. Kedua-duanya boleh dibina dan dibajai dengan kasih sayang, keberanian dan kesungguhan. Jangan sesekali meragui kekuatan diri. Anda jauh lebih mampu daripada apa yang anda bayangkan," tulisnya.
Terdahulu, Dr Amalina pernah mengharumkan nama negara apabila disenaraikan sebagai 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di seluruh United Kingdom.
Wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Johor Bahru itu pernah menggemparkan negara kerana memperoleh keputusan cemerlang 17A dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia 2004.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
