Semangat juang mekanik genius cetus inspirasi! Yakin doa tanpa hijab dan kerja keras mampu ubah nasib anak OKU

No Image Caption
A
A
A

KECINTAAN dalam dunia automobil sejak bangku sekolah lagi mendorong Mohd Sofian Mohd Yazid mendalami ilmu turning kuasa enjin, meski tidak mampu berjalan seperti insan normal lain.

Lebih membanggakan anak jati Pendang, Kedah yang disahkan menghidap polio sejak kecil itu sudah memiliki bengkel sendiri, Reiber Northern yang sebelum itu dikenali dengan jenama Hanturbo.

Kepada SinarPlus, Mohd Sofian mengakui dunianya tidak semudah manusia sempurna yang lain kerana perlu bekerja keras untuk mendapatkan segala dikecapi sekarang ini.

“Kalau nak diceritakan daripada awal, dahulu memang saya bercita-cita nak sambung belajar kerana fikir segulung sijil ijazah boleh beri peluang kerja yang lebih baik.

“Cuma masa belajar di Tingkatan Enam aliran sastera, saya terpaksa pendamkan semua impian itu disebabkan banyak kekangan, termasuk mahu menguruskan diri pun perlukan bantuan orang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Akui anak kedua daripada empat beradik itu, jiwanya kemudian memberontak dan mula terjebak dengan kawan-kawan yang terlibat dengan aktiviti lumba haram.

“Masa itu saya masih mentah disebabkan sangat kecewa bila fikir ALLAH sudah ambil anggota kaki sampai tak boleh berjalan dan tiada masa depan. Jadi, saya pada saat itu sudah tak fikirkan soal pelajaran lagi.

“Walaupun hanya mampu tengok kawan-kawan berlumba tetapi sejak dari situlah saya mula belajar tentang enjin, cuma masa itu belum ada keyakinan nak buka bengkel sendiri,” ceritanya yang menetap di Sungai Petani.

No Image Caption

Pun demikian, satu peristiwa yang membuatkan pemuda berusia 36 tahun itu tersentak selepas menyertai Temasya Sukan Paralimpik mewakili Kedah bagi kategori catur.

“Saat itu barulah saya sedar sebenarnya ada golongan OKU yang situasinya lebih teruk. Masa itu saya terfikir, kalau masih boleh hidup pakai kerusi roda, kenapa perlu marahkan diri sendiri dan salahkan takdir?

“Saya mula sedar kekurangan diri bukanlah penamat segala-galanya dan sedikit demi sedikit berani untuk menyimpan impian memiliki bengkel sendiri,” kongsinya.

No Image Caption

Berkat usaha berjualan kecil-kecilan alat ganti kereta dan telefon pintar, akhirnya mekanik genius itu berjaya memiliki bengkel kereta sendiri pada tahun 2015.

Rahsia ALLAH

Penerima Anugerah OKU Cemerlang Kedah dan Anugerah Motivasi Jabatan Tenaga Kerja itu berkata, tahun 2020 merupakan detik kejatuhannya dalam bisnes sehingga terpaksa menanggung hutang keliling pinggang.

“Tipulah saya tak kemurungan tetapi nasib baiklah ada isteri setia di sisi,” tuturnya yang turut mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang hamba ALLAH iaitu pemilik Reiber Auto, Eezuan Osman untuk keluar daripada kepompong hutang.

No Image Caption

Hasil khidmat nasihat dan tunjuk ajar Eezuan atau dikenali dengan gelaran Boss Wan, beliau kemudian membuka cawangan Reiber Auto yang dinamakan Rieber Northern untuk pelanggan di wilayah Utara mendapatkan servis tambah baik enjin.

No Image Caption

Tatkala berbicara tentang pengorbanan isterinya yang begitu luhur, nada suara Mohd Sofian berubah menjadi sebak dan perbualan kami terhenti seketika.

Kredit: Suria FM

Sambil menghela nafas panjang, Mohd Sofian berkata, Habibah Alias, 35, ialah bidadari diimpikan seperti didoakan sebelum ini yang telah dimakbulkan Ilahi.

No Image Caption

“Sebelum kahwin, setiap hari saya memohon doa dan membaca Yasin supaya dapat dijodohkan dengan wanita yang sanggup bersama ketika saya susah dan senang.

“Alhamdulillah, saya dapat semua itu. Isteri sanggup korbankan duit dan siapkan pakaian serta makan minum sebelum pergi kerja. Begitu juga kebajikan ibu bapa saya,” ceritanya.

No Image Caption

Kini, bapa kepada dua cahaya mata tersebut kembali bangkit membina semula perniagaan bengkel, dengan dibantu empat pekerja termasuk adik bongsunya yang juga menghidap penyakit polio, Mohd Akmal, 25.

Tanpa berselindung, Mohd Sofian mengakui berkat kejayaan yang dicapai ketika ini adalah asbab doa tanpa putus, selain usaha keras berterusan dan sokongan keluarga.

No Image Caption

“Jika dahulu nak beli sesuatu pun, saya akan mohon kepada-Nya, cuma bila sudah hidup senang, saya jadi terleka dan kurang meminta dengan ALLAH. Saya percaya semua dugaan ini sebab ALLAH sudah susun jalan terbaik dan nak beri nikmat yang lebih besar.

“Percayalah, orang OKU seperti kami sebenarnya ada kelebihan doa tanpa hijab. Paling penting, hati mesti bersungguh-sungguh memohon pertolongan Ilahi,” kongsinya penuh optimis.

No Image Caption

Sebelum menutup perbualan, Mohd Sofian percaya jika golongan kurang upaya diberi peluang sama termasuk dalam dunia perniagaan, tidak mustahil mereka juga mampu berjaya.

“Sebab itu saya mahu bimbing anak OKU yang mempunyai masa depan supaya mereka boleh menjadi insan berguna untuk kemajuan negara suatu hari nanti. Saya tidak mahu mereka terus dimomokkan dengan kekurangan diri dan sentiasa rendah diri sedangkan kita sebenarnya boleh.

“Malah, saya terbuka untuk membantu jika golongan OKU memerlukan khidmat nasihat,” pesannya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang