ISTERI kepada pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar iaitu Datin Zulhaila Siregar Sulaiman, 64, meninggal dunia akibat masalah pernafasan di kediamannya di Bangsar, jam 2 pagi tadi.

Menurut Ahmad Tarmimi sebagaimana dilaporkan sebuah portal hiburan, Allahyarhamah menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) sejak tujuh tahun lalu dan kesihatannya semakin merosot dalam tiga tahun kebelakangan ini.

“Sakit dialami sudah tujuh tahun, tapi mulai merosot sejak tiga tahun lalu yang mana dia sudah tidak boleh keluar rumah. Kalau keluar pun, kena bawa oksigen bersama. Itu pun sesekali saja.

“Sejak dua minggu lalu dia sudah tidak berapa ingat, malah minggu ini pernafasannya tidak menentu. Jadi, saya bercakap pada diri, saya reda jika Allah mahu mengambilnya. Ambillah dia,” katanya yang kali terakhir bercakap dengan arwah sekitar jam 11 malam tadi.

Iklan

Difahamkan jenazah Allahyarhamah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, sebelum Zuhur hari ini.

Iklan

Allahyarhamah meninggalkan empat anak dan lima orang cucu.