'Berani buat, berani tanggung.' Suka berkebun & rapat dengan ibu, 10 fakta berkaitan suspek kematian Nur Farah Kartini
PENEMUAN mayat bekas penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris, Nur Farah Kartini di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor sehingga kini menjadi bualan ramai.
Penahanan suspek yang merupakan anggota polis berusia 26 tahun merungkai pelbagai petunjuk termasuk penemuan jasad Nur Farah dan bahan bukti. Luahan bapa kepada suspek menyentuh hati warganet.
"Siapa yang tidak sayang anak, pada saya tiada yang pelik mengenai perangainya.
“Saya tidak pernah didik dia yang bukan-bukan, apa yang berlaku ini adalah atas dirinya sendiri, berani buat berani tanggung,” katanya.
Reda dengan ujian yang sedang melanda keluarga, petani berusia 64 tahun itu tetap mahu anaknya perlu menerima hukuman jika benar bersalah.
SUDAH MELANTIK PEGUAM
Warga emas itu mengesahkan pihak keluarga telah melantik peguam bagi mewakili anaknya dalam siasatan dan perbicaraan kes.
“Namun, saya kena tabah dan berbuat seperti tiada apa yang terjadi untuk terus berkerja.
“Takdir penentu segalanya, apa saya nak buat. Perkara sudah terjadi bukan di depan mata dan tidak boleh saya halang,”ujarnya.
“Saya difahamkan, baru-baru ini polis membawa anak saya ke rumahnya di Bukit Katil dan dia sempat membuat panggilan video kepada saya.
“Selain itu, polis juga memeriksa dan mengambil telefon bimbit isterinya untuk siasatan berkaitan termasuk mesej dihantar wanita itu (mangsa),” dakwanya.
MINAT BERKEBUN
Warga emas itu mengakui berkongsi minat berkebun yang sama dengan anak kelapan daripada 10 beradik itu. Malah suspek difahamkan aktif berkebun di balai tempatnya bekerja di Perak.
“Dia (anak) merayau ke merata tempat termasuk di kampung Orang Asli dan membelikan saya benih anak pokok pisang.
“Jika bercuti pula, laman rumah kami akan bersih dan dia akan memarahi adik-beradik jika melihat sampah atau barangan bersepah di persekitaran rumah,” katanya.
Bapa itu berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes tersebut.
"Silap anak saya, dia tidak membuat laporan polis bila diugut dan mengambil tindakan sendiri," katanya sebak.
Berikut adalah fakta mengenai suspek kes bunuh Nur Farah Kartini:
1-Anggota PDRM berpangkat Lans Koperal
Media melaporkan suspek sudah lima tahun berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di Tanjung Malim, Perak.
2-Menjalankan perniagaan kereta sewa
Menurut si bapa, suspek juga terlibat dalam perniagaan kereta sewa sebagai pendapatan sampingan.
3-Anak harapan keluarga
Suspek disifatkan seorang anak yang baik dan bertanggungjawab, suspek adalah harapan keluarga.
4-Berkahwin dan bapa seorang anak
Suspek didakwa sudah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata berusia lapan bulan. Malah media juga melaporkan, suspek sempat pulang ke rumah mentuanya di Kampung Pulau Melaka, Rabu lalu untuk berjumpa isteri dan anak.
5-Berdisiplin
Ujar si bapa, anaknya sebagai amat berdisiplin dan memiliki personaliti suka bergurau.
6-Rapat dengan arwah ibu
Suspek dimaklumkan bapanya memiliki hubungan rapat dengan arwah ibunya yang kembali ke rahmatullah pada Ramadan lalu.
Malah lelaki itu yang mengikuti kursus pengurusan jenazah awal Julai lalu meminta dikebumikan di sebelah pusara ibunya sekiranya meninggal dunia.
7-Sugul sebelum bertolak pulang
Bapanya mendedahkan suspek yang sedang bercuti selama seminggu tidak banyak bercakap dan kelihatan sugul sebelum bergerak pulang ke balai dia bertugas selepas menerima panggilan untuk berbuat demikian.
8-Direman atas tuduhan membunuh
Suspek ditahan sejak Isnin lalu dan direman bagi membantu siasatan. Ketua Polis Selangor mendedahkan reman suspek yang akan tamat Isnin ini kemungkinan akan disambung lagi dan suspek yang juga anggota polis kini ditahan kerja secara automatik.
Pada 16 Julai lalu, media melaporkan Nur Farah Kartini, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan pada 10 Julai lalu.
Allayarham ditemukan mati di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang dipercayai akibat dibunuh individu dikenali mangsa.
Dipercayai dilakukan oleh seorang pelaku, kematian Nur Farah cukup tragis. Malah hasil siasatan juga mendapati ia dilakukan oleh seorang pelaku.
Lebih menyayat hati, jenazah yang sudah mereput menyebabkan kegagalan proses pengecaman secara visual.
Sumber: Buletin TV3, Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang