18 das tembakan depan mata — Isteri sarat hamil saksi suami terkorban di Sungai Golok, anak tak sempat kenal bapa

No Image Caption
A
A
A

PILU! Isteri yang sedang menunggu detik kelahiran anak sulung berdepan kejadian tragis meragut nyawa suami tersayang di depan mata.

Dalam kejadian di  di Sungai Golok, Thailand, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, berkata, kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu menyaksikan suami, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, ditembak bertubi-tubi hingga rebah dalam pangkuannya.

Mohd Fuad Fahmie dikatakan sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) tidak sempat menyelamatkan diri apabila dua lelaki dipercayai sepupunya sendiri muncul dari arah belakang sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi sehingga habis peluru, meninggalkannya nazak sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Golok kira-kira jam 9 malam.

No Image Caption

Jelas Wan Fatihah, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mampu mendapatkan suami serta memeluknya selepas lelaki itu rebah ditembusi peluru.

“Dua suspek itu datang dari arah belakang dan menembak suami menggunakan masing-masing dua pistol.

“Tembakan demi tembakan dilepaskan ke arah suami. Saya berlari ke arah suami dan sempat memeluknya selepas rebah.

“Selepas itu kedua-dua lelaki itu masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru. Kemudian mereka berjalan pergi.

Artikel Berkaitan:

“Saya menjerit meminta tolong orang sekeliling,” katanya.

No Image Caption

Ditemui Sinar Harian, Wan Fatihah dalam sebak berkongsi suaminya ditembak pada bahagian tubuh, leher dan beberapa bahagian lain dan jumlah 18 das tembakan disahkan selepas selesai urusan bedah siasat.

Wan Fatihah kelihatan tidak dapat menahan kesedihan sepanjang proses pengebumian dan beberapa kali mengusap kandungannya yang dijangka lahir pada 10 Disember ini, tarikh sama ulang tahun kelahiran suaminya.

Jenazah Mohd Fuad Fahmie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Apam pada jam 2.30 petang Ahad. 

Difahamkan Wan Fatihah akan menjalani tempoh iddah serta melahirkan bayi di kediaman ibu mentuanya.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah ibu arwah, Zaiton Abdul Rahman, 64, ahli keluarga dan kenalan terdekat.

Suspek sepupu sendiri

Ahli keluarga mendedahkan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan itu merupakan abang dan adik kandung.

"Mereka (suspek) adalah sepupu kepada Wan Fatihah,”

“Sehingga kini, kami belum mengetahui perkembangan terkini sama ada kedua-duanya sudah berjaya ditangkap polis atau belum,” kata waris dikenali sebagai Ahmad.

Sebelum ini, Polis Narathiwat mengesahkan seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Golok pada Sabtu, sebelum disahkan meninggal dunia.

Menerusi kenyataan awal, jurucakap polis Narathiwat berkata siasatan awal mendapati kes dipercayai berpunca daripada masalah hutang hasil temu bual dengan saksi berhampiran lokasi kejadian.

“Mangsa merupakan warganegara Malaysia yang berkeluarga dan tinggal di kawasan perbandaran ini.

“Suspek pula seorang lelaki rakyat tempatan disyaki menyerang mangsa menggunakan pistol 9 milimeter (mm). Selepas menembak mangsa, suspek melarikan diri,” katanya.

Katanya, identiti suspek telah dikenal pasti dan gerakan memburunya sedang dijalankan.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang