'Abang dah tak sempurna, sanggup ke sayang jaga?' Isteri sebak kongsi keadaan suami anggota FRU patah tulang rusuk, paru-paru ditebuk

No Image Caption
A
A
A

SETIAP saat yang berlalu menjadi detik paling getir buat ahli keluarga mangsa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang masih setia menanti perkembangan positif insan tersayang di Hospital Teluk Intan.

Dalam nada sebak, isteri kepada Koperal Mohd Izwan Ishak memaklumkan bahawa suaminya mengalami pendarahan dalaman yang serius selain trauma pada bahagian perut.

Nor Diyana Nor Mohamad turut berkongsi rasa luluh di hati apabila suami tercinta turut mengalami kecederaan pada kedua-dua tulang selangka, empat tulang rusuk kiri dan dua lagi di sebelah kanan yang dikatakan patah susulan insiden tragis pada Selasa lalu.

Lebih merisaukan, tahap kecederaan pada bahagian pinggang suaminya masih belum dapat dipastikan.

"Paru-paru telah ditebuk bagi mengeluarkan pendarahan pada organ itu manakala satu buah pinggang turut mengalami kecederaan dalaman,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Nor Diyana memaklumkan bahawa dia sempat meluangkan masa sebelum Mohd Izwan pergi menjalankan tugas di bawah operasi ‘Ops Chariot’.

Suaminya itu sempat meluahkan kebimbangan sekiranya dia ditimpa kecacatan kekal dan tak mampu lagi menguruskan diri sendiri.

"Kalau abang lumpuh tak sempurna, sayang jaga tak orang cacat macam abang?," soal Mohd Izwan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nor Diyana lagi, Mohd Izwan turut menyertai program larian di Pantai Remis pada Ahad lalu. Namun, sebaik pulang ke rumah, suaminya mengadu pening kepala.

Nor Diyana tidak menyangka, aduan kecil suaminya itu sebenarnya petanda awal yang membawa kepada kejadian malang beberapa hari kemudian.

"Dia beritahu seperti nak muntah, macam kena goncang dalam kereta kotak. Saya beritahunya mungkin akibat tidak cukup tidur, tetapi apabila terjadi insiden ini mungkin itu petanda awal suami ditimpa kemalangan," katanya.

Sebelum ini, sebuah trak membawa 18 anggota dari Unit 5, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam dilaporkan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori sarat membawa batu kerikil.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.50 pagi Selasa ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menamatkan tugasan pada Isnin.

Akibat insiden menyayat hati itu, lapan anggota disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan yang lain pula dilaporkan mengalami pelbagai jenis kecederaan.

SUMBER: SINAR HARIAN

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang