Ariana bertarung nyawa, ketumbuhan sampai ke otak. 'Setahun saja kata doktor, tapi kami masih percayakan keajaiban'

PADA mulanya, simptom lemah kaki yang dihidapi Nur Ariana Dalisha Saiful Bahrizar, 10, hingga tidak mampu berjalan secara tiba-tiba disangkakan hanyalah masalah tekanan pada otot (muscle stress) semata-mata.
Pun demikian, keadaan kanak-kanak perempuan yang manja disapa Ariana itu semakin hari semakin memburuk apabila tulang belakang membengkok hingga 20 darjah.
Lagi mencemaskan, struktur tulang belakangnya semakin melengkung hingga mencecah 28 darjah dalam tempoh dua minggu, manakala tulang bahu pula terangkat sebanyak 1 sentimeter.
Kepada SinarPlus, bapanya, Saiful Bahrizar Noor Faisol, 39, memberitahu, keadaan puteri sulungnya sebelum ini pernah dirujuk di dua hospital di Banting dan Klang, namun tiada apa-apa yang berlaku.
“Pemeriksaan imbasan sinar x sebelum ini menunjukkan mungkin Ariana berdepan masalah musclestress, tapi bila nampak tulang belakangnya jadi bentuk S, kami syak dia ada skoliosis.

“Tanpa berlengah, kami terus ke PPUM untuk pemeriksaan lanjut. Hasil ujian pengimejan resonans magnet (MRI), ada sesuatu tak kena pada saraf tunjang dan terdapat ketumbuhan,” katanya yang terus bersetuju untuk prosedur pembedahan selepas didiagnosis selama dua minggu.
Meski pembedahan pada Februari lalu berjalan lancar, namun ketumbuhan yang dihadapi oleh Ariana jenis aktif dan disahkan panel perubatan PPUM, Australia dan Kanada sebagai Epndymoma tahap tiga.

Ia merupakan tumor yang jarang-jarang berlaku pada saraf tunjang yang berupaya menyerang sel dalam badan hingga 60 peratus lebih pantas berbanding mana-mana barah lain.
Tanpa berselindung, akui bapa dua cahaya mata itu, beliau dan isteri tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya yang sebelum ini ceria kini hanya terlantar lemah.
“Apa yang membuatkan hati kami semakin luluh, jangka hayat Ariana dikatakan hanya mampu bertahan dalam tempoh enam bulan atau paling lama pun setahun.

“Kami benar-benar rasa sangat sedih sampaikan mengganggu urusan harian. Nasib baiklah ahli keluarga dan kawan-kawan banyak beri kata-kata semangat,” ceritanya yang menetap di Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.
Rawatan di China
Berkongsi perkembangan terbaharu, suami kepada Siti Salwa Abd Samad, 39, itu memaklumkan, anaknya semakin lemah yang mana kedua-dua kakinya sudah tidak dapat bergerak, kecuali dua jari kaki kanannya.
“Sekarang ini, ketumbuhan itu sudah sampai ke otak. Ariana juga bergantung sepenuhnya pada lampin pakai buang sebab dia tak mampu nak kawal pundi kencing lagi.

“Soal makan dan minum, memang kami akan suap sebab nak pegang sudu pun dah tak boleh. Kadang-kadang, kami jadi sayu bila Ariana pernah cakap dia rindukan kawan-kawan dan mahu pergi sekolah,” ujarnya sebak.
Mengenangkan anak perempuannya yang sangat suka melukis sehingga mahu menjadi seorang guru pendidikan seni apabila besar nanti membuatkan jiwa peniaga pakaian terpakai berkenaan semakin kental.
Mereka sekeluarga juga sanggup berhabis wang ringgit demi mendapatkan rawatan tradisional di merata-rata tempat asalkan keadaan Ariana semakin membaik.

“Sekarang ini, kami berharap Ariana dapat bertahan sementara menunggu kos rawatan sel stem yang mencecah anggaran kos RM300,000 di China mencukupi.
“Mungkin itulah ikhtiar terakhir buat Ariana,” katanya yang turut mengharapkan sumbangan orang ramai untuk menampung perbelanjaan yang diperlukan.

Selain Ariana yang menanggung sakit bukan kepalang, keluarga itu juga mempunyai seorang lagi anaknya, Muhammad Aryaan Mikhail yang berusia tujuh tahun.
Kepada orang ramai yang ingin membantu, dana kalian boleh disalurkan terus ke akaun Bank Hong Leong 10751043529 atas nama Saiful Bahrizar Noor Faisol.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang