Bakal raja sehari meninggal dunia sebelum majlis, sempat edar kad undangan. ‘Dua tahun lalu hilang abah, hari ini adik pula…’
SEGALA impian untuk disatukan dengan cinta hati terkubur apabila Siti Nur Syamira Samsol, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Khamis.
Mangsa yang sepatutnya dinikahkan Sabtu ini maut selepas kereta yang dinaiki bersama tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid terlibat dalam kemalangan di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurut kakak mangsa, Siti Nor Syamila Samsol, arwah dalam perjalanan pulang ke Kampung Benaung, Mersing bersama bakal suaminya.
Ini kerana Allahyarham telah berjanji dengan ibunya untuk membeli beberapa keperluan terakhir menjelang majlis perkahwinan, selain menghadiri majlis tahlil arwah bapanya yang dirancang berlangsung hari ini.
Dalam nada penuh sebak, keluarga memaklumkan arwah sempat dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), namun menghembuskan nafas terakhir.
Siti Nor Syamila memaklumkan kehilangan adik perempuannya itu benar-benar mengejutkan seluruh ahli keluarga yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kesedihan pemergian bapa tercinta.
"Dua tahun lalu, kami kehilangan abah, hari ini adik pula. Kesedihan kami belum terubat, ditambah pula pemergian adik dua hari sebelum majlis berlangsung," ujarnya.
Lebih menyentuh hati, Siti Nor Syamila berkata, segala persiapan menyambut hari bahagia adiknya itu telah pun siap sepenuhnya, malah kad undangan digital yang disediakan sendiri oleh arwah sebelum menghembuskan nafas terakhir telah pun diedarkan kepada semua tetamu.
"Kami sudah buat persiapan sepenuhnya dan hanya tunggu hari majlis berlangsung, namun bila dapat berita sedih ini, tak tahu nak cakap apa.
"Semua termasuk barang hantaran sudah siap lebih awal, arwah pun nampak gembira bila hari majlis semakin dekat. Persiapan dia minta nak uruskan semua, kami hanya bantu dalam hal tertentu," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
