'Dia manja, suka peluk. Saya rasa sunyi...'  Bapa kongsi majlis graduasi bertukar tragedi, anak bongsu pergi selamanya 

No Image Caption
A
A
A

SIAPA sangka detik bangga melihat anak menerima sijil graduasi bertukar menjadi igauan ngeri dalam masa tidak sampai sejam. 

Itulah yang merentap hati pasangan Noor Muhamad Asun, 46, dan isterinya apabila si bongsu, Nur Dhiya Azzalea, 5, ditemui tidak sedarkan diri di dalam kolam sejurus selepas majlis graduasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berakhir.

Rindu. Itulah perasaan yang diluahkan Noor Muhamad mengenang puteri kecil yang dikenal sebagai anak manja, suka memeluk dan gemar mengusiknya di dapur. 

Kini semua kenangan itu tinggal sepi apabila Nur Dhiya disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

"Saya terasa sangat kehilangan. Dia seorang anak yang manja suka peluk dan suka bergurau dengan saya di dapur.

"Tapi sekarang, semua itu dah tiada. Macam semalam (kelmarin) bila dia tiada, saya rasa sunyi sangat," luahnya. 

Dia memaklumkan sedang bekerja ketika kejadian pilu menimpa Nur Dhiya Azzalea. Katanya, hanya isteri serta dua anaknya hadir dalam majlis berkenaan berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

Artikel Berkaitan:

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari ketika mangsa mandi di kolam renang berhampiran dewan berkenaan.

"Ketika majlis penyampaian hadiah tabika terbabit, kanak-kanak itu sedang mandi bersama rakan-rakannya.

“Namun secara tiba-tiba, mangsa hilang daripada penglihatan ibunya yang kemudian menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bergerak di dalam kolam," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) telah diberikan oleh orang awam sebelum ambulans membawanya ke Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) di sini untuk tindakan lanjut.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Jelasnya, kira-kira jam 1.06 tengah hari, mangsa tiba di Zon Merah Jabatan Kecemasan HTJ dan sekali lagi diberi rawatan CPR, namun telah disahkan meninggal dunia.

"Laporan polis berkaitan kejadian itu yang dibuat oleh ibu mangsa telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah pada jam 3.32 petang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan mati mengejut(SDR). Perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan dijalankan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tabika KEMAS terbabit, Habualwazie Bujang berkata, kejadian itu sememangnya mengejutkan mereka yang berada di lokasi kerana berlaku secara drastik ketika barisan ahli jawatankuasa (AJK) sedang berkemas untuk pulang.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

"Kejadian itu berlaku selepas berakhirnya majlis graduasi seramai 24 murid tabika kami dan aktiviti mandi bukan sebahagian daripada atur cara yang dianjurkan di rumah kelab berkenaan.

"Waktu itu kebanyakan ibu bapa sudah pulang melainkan barisan AJK yang sedang berkemas di dewan, manakala ada anak-anak sedang mandi di kolam sambil diawasi ahli keluarga masing-masing," katanya.

Bagaimanapun kata Habualwazie, secara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kejadian terbabit dan seorang AJK yang merupakan jururawat sempat memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum ambulans sampai.

Tambahnya, ketika itu, kanak-kanak berkenaan sudah dilihat tidak bernyawa dan telah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di sini.

"Saya tak berani nak komen lebih kejadian berlaku. Ini kali kedua kami anjurkan program di situ. Takziah kepada keluarga," katanya.

Jenazah Allahyarham selesai dibedah siasat kira-kira jam 11.50 pagi dan kemudian di bawa ke Mantin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, Jalan Mantin, Seremban pada Ahad.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang