'Dia pakai juga songket, tetapi bukan dengan aku...' Wanita dedah suami kahwin lagi ketika sarat hamil demi 'rasa sunyi', runtun hati warganet

No Image Caption
A
A
A

“DIA pakai juga songket, tetapi bukan dengan aku…”

Luahan ringkas wanita, dikenali sebagai Ain cukup buat hati tersentuh hati. Ketika sedang sarat mengandung, membawa zuriat hasil kasih bersama, si suami memilih untuk menikahi wanita lain demi mengisi “rasa sunyi dalam hati”.

Tindakan itu nyata mengundang kecaman ramai, bukan sahaja kerana waktunya yang begitu sensitif, tetapi juga kerana ia meninggalkan persoalan besar tentang erti tanggungjawab dan setia dalam rumahtangga.

Pengguna Facebook itu menceritakan realiti yang dihadapi pada perkahwinan yang sudah mencecah usia sedekad.

Dahulu berkahwin ketika bergelar siswazah dengan persediaan seadanya. Kedua-dua mereka berjanji menunaikan impian menyarungkan helaian pakaian pengantin diperbuat daripada songket pada ulang tahun ke-10.

Namun segalanya musnah apabila si suami mengkhianati. Si dia dikatakan hanya merealisasikan angan-angan itu hanya bagi dirinya sahaja yang akhirnya bersanding dengan isteri kedua dengan alasan ingin mengisi kesunyian diri.

No Image Caption

"Dulu aku pernah cakap… dan dia pernah angguk setuju.“Nanti… bila hidup kita dah senang, kita akan cipta semula moment sanding yang kita tak pernah mampu dulu.”

Artikel Berkaitan:

 

"Kalau kau dah lupa, mari aku ingatkan. Aku masih ingat angan-angan kita. Pakai songket. Berdiri berdua atas pelamin yang indah. Bergambar bagai raja dan ratu sehari. Tapi waktu tu, kita cuma mampu senyum atas pelamin berbusanakan persalinan yang kakak aku buatkan dengan tangan sendiri.

"Sebab dia tahu kita masih merangkak dalam menempa kejayaan di menara gading, kerana masa tu kita cuma ada cinta dan niat menghalalkan hubungan lillahi taala.

"10 tahun aku setia jadi penunggu. Jadi si setia yang lurus percaya. Aku simpan kemas angan-angan tu dalam-dalam," kongsinya.

"Tahun kesepuluh, dengan kandungan yang masih sarat dalam rahim aku, dia dengan tanpa ihsan meluahkan bahawa dia sudah berkahwin lain demi memenuhi rasa sunyi yang wujud dalam hatinya.

 

"Dan hari ini, dia pakai jugak akhirnya songket itu, bahagia dan naik pelamin. Tapi bukan aku yang berdiri di sebelah dia.

"Bukan aku yang dia tenung sambil senyum. Bukan aku yang dia rangkul kemas di sisi dengan bangga," titipnya.

Wanita tabah itu juga turut meluahkan kekecewaan diduakan suami sedangkan dialah yang bertahun-tahun sanggup bersusah payah bersama.

"Kalau dulu ruang tamu rumah mak penuh dengan sahabat universiti yang menjadi saksi penyatuan cinta kita kerana ALLAH.

"Tapi hari ini dewan kalian yang gah dipenuhi dengan semua orang yang menjadi saksi runtuhnya mahligai kita demi membina mahligai impian kalian.

"Mungkin perempuan itu lebih layak. Mungkin perempuan tu lebih segalanya.Atau mungkin… aku cuma persinggahan sebelum kebahagiaan sebenar dia datang.

"Mungkin akulah yang dikatakan hanya menjaga jodoh orang lain? Aku pernah jadi angan-angan. Tapi hari ni, aku cuma jadi kenangan.

"Dan tiada siapa pun yang akan tahu betapa peritnya rasa menunggu seseorang yang akhirnya pilih untuk bersanding dengan orang lain," kongsinya.

No Image Caption

Titipnya lagi, sang suami yang berikrar sebagai pelindung dan penjaga keluarga memungkiri kata-kata sendiri. Lebih menyedihkan kehadiran beliau dan anak-anak dipinggirkan seolah dialah pengganggu bahagia suami dan madu.

"Dahulu, dia paling lantang bersuara di dinding maya bahawa dia suami yang paling setia,penjaga hati dan pelindung jiwa tetapi kini ALLAH uji dengan setiap kata-katanya.

"Kini aku dan anak-anak dibuang ke tepi jauh dari alam maya, dihapuskan dari cerita dunia. Dahulu akulah ratu, sekarang aku hanya bayangan, dia bina mahligai lain.

 

"Dan yang lebih perit lagi aku yang pernah dia janji akan dijulang, kini bersembunyi seperti aku pula perampas dalam kisah cinta mereka.

"Demi menjaga hati orang baharu segala tentang kita kau simpan rapi dalam folder album telefonmu," coretnya.

Dalam hantaran sama, beliau sempat menitip luahan terakhir bahawa ikatan kasih sayang yang musnah turut dirasai anak-anak. Namun mereka jualah menjadi penguat semangat untuk terus melangkah.

"Wahai dunia, jika kau sedang melihat mereka bahagia jangan lupa di belakang senyuman itu ada luka yang aku dan anak-anak tanggung.

"Tapi aku masih di sini bukan kerana aku kuat tetapi kerana ada anak-anak yang masih memerlukan seorang ibu yang tidak hancur di hadapan mata mereka," tulisnya.

Kenalan rapat yang mengikuti perkongsian itu tidak menyangka sahabat mereka diduakan suami sementelah mereka adalah pasangan yang bahagia.

No Image Caption

Netizen juga turut meluahkan simpati memberikan kata-kata semangat buat Ain. Tidak kurang yang mengecam tindakan lelaki itu sanggup menyakiti isteri yang sedang membawa zuriat mereka.

"Sebenarnya, isteri bukan kurang. Tapi lelaki yang tak tahu erti bersyukur. Lelaki yang tahu menghargai, tidak akan minta lebih dari seorang isteri yang sudah melahirkan anak, yang ada di sisi waktu susah dan senang."

"Allahuakbar, peritnya melihat kenalan hadapi sebegini rupa. Tiada kata yang dapat diucapkan melainkan mendoakan semoga ALLAH aturkan kebahagian yang sebenar buat wanita bernama Ain. Kamu sangat kuat."

"Bukan perempuan itu yang layak tetapi Ain yang berhak untuk mendapat seseorang lebih layak melebihi dia."

"Tiada kata yang dapat mak ucapkan, hanya air mata yang jatuh membasahi pipi. Mak sentiasa mendoakan supaya anak mak kuat dan serahkan semuanya kepada ALLAH Yang Maha Bijaksana untuk menentukan segalanya."

"Mungkin dia yang sudah tidak layak untukmu. ALLAH Maha mengetahui. Semoga sentiasa dalam rahmat kasih sayang ALLAH. Terus tabah dan kuat kerana ALLAH, demi anak-anak. Moga dipermudahkan urusan dunia akhirat."

"Semoga dipermudahkan meniti hari-hari yang mendatang. Kuat ya."

"Allahu, sunyi macam mana tu maksudnya sebelah sana. Saya tak kenal Ain tapi tersentuh betul. Semoga tabah."

"Baby kecik lagi, kita czer selang sebulan saja kan? Moga Allah sembuhkan luka hati akak, balut luka dengan kasih sayang-NYA. Moga diberi ketabahan hati dan dipermudahkan urusan akak-anak."

Menerusi tinjauan SinarPlus, hantaran berkenaan yang tular menerima lebih 3,200 reaksi daripada warganet dan 1,700 perkongsian.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang