'Esok ihram sunat, ayah doakan Ajak...' Pemuda tabah hadapi pemergian ayah, sempat uruskan jenazah sebelum melangkah ke dewan peperiksaan
![No Image Caption](https://website-sinarharian.sinarharian.com.my/sinarplus/uploads/images/2025/02/11/thumbs/900x900/3003230.jpg)
UJIAN kehidupan datang dalam pelbagai bentuk, namun dugaan yang menimpa pemuda ini benar-benar menguji ketabahan hati.
Beliau terpaksa menguatkan hati menghadapi dua perkara besar dalam satu hari iaitu pemergian insan tercinta dan menduduki kertas peperiksaan terakhir.
Menerusi perkongsian pihak universiti di Tiktok, lelaki yang dikenali sebagai Abdul Razak Hazman kehilangan bapa tercinta pada 6 Februari lalu.
Abdul Razak yang juga pelajar tahun akhir Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah menerima perkhabaran itu sebelum kertas peperiksaan terakhirnya pada hari yang sama.
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu terlebih dahulu membantu menguruskan jenazah ayahnya, Hazman Hassan sebelum kembali ke kampus untuk menjawab kertas peperiksaannya.
"Abdul Razak menerima berita kematian ayahnya sebelum kertas peperiksaan terakhirnya.
"Beliau sempat membantu menguruskan jenazah ayah sebelum pulang semula ke universiti pada hari yang sama," tulisnya.
Meskipun pihak universiti menawarkan untuk menggantikan pada hari lain, pemuda yang mesra disapa Ajak memilih untuk mendudukinya pada hari yang sama.
Kata Ajak, itu janji yang perlu ditunaikan demi arwah ayah yang ingin melihatnya berjaya menggenggam segulung ijazah.
"Walaupun diberi pilihan untuk menduduki peperiksaan gantian oleh pihak universiti, dia tetap bertekad untuk meneruskan untuk menyempurnakan pengajiannya.
"Semuanya demi menunaikan harapan arwah ayah yang ingin melihat beliau berjaya," katanya.
Lebih menyentuh hati, Ajak turut berkongsi tangkap layar perbualan terakhir bersama arwah yang sempat mendoakan kejayaan dan kebahagiaannya ketika menunaikan umrah seminggu sebelum pemergian.
"Esok kita umrah ihram sunat dengan family.
"Nanti ayah umi akan doakan untuk Ajak agar sentiasa sukses berjaya dalam pengajian kampus, berjaya dalam hidup. Amiin," kongsinya.
Ajak dengan sayu menceritakan ayahnya sempat menunaikan umrah kali pertama bersama isteri tercinta beberapa minggu sebelum dijemput ilahi.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai dengan lebih 100 ribu tontonan dan ribuan ucapan takziah buat keluarga berkenaan.
Pemuda itu turut mengenakan baju Melayu biru gelap yang dipakai semasa pengebumian ayahnya ketika menduduki peperiksaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang