Kemalangan tragis! Perodua Alza dirempuh bas pelajar UPSI, isteri Ustaz Lutfi patah 5 tulang rusuk & anak tercampak keluar

PERODUA Alza yang terlibat dalam kemalangan tragis dirempuh bas yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) amat mengerikan keadaannya.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan membawa sebuah keluarga iaitu Ustaz Mohd Lutfi Radzi, 37.
Impak nahas pada jam 1.10 pagi itu mengakibatkan tiga ahli keluarga beliau mengalami kecederaan yang bukan ringan seperti didakwa sebelum ini.
Menerusi satu hantaran pengguna Facebook, Mohd Zaidi Bin Desa, Ustaz Mohd Lutfi yang merupakan guru Pendidikan Islam SK Malau, Kedah hanya cedera ringan.

Namun dua anak berusia enam dan tiga tahun serta isterinya mengalami kecederaan yang serius tetapi stabil sedang dirawat di Hospital Baling, Kedah.
"Mohon doakan Ustaz Lutfi dan keluarga. Khabarnya, anak lelaki beliau tercampak keluar. Anak perempuan patah tulang pada lutut manakala isteri beliau mengalami patah lima tulang rusuk.
"Isteri serta dua anaknya masih dalam rawatan dan dalam keadaan stabil," kongsi Mohd Zaidi.
Menurutnya, Ustaz Mohd Lutfi juga sudah dibenarkan keluar wad.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata MPV berkenaan dinaiki Ustaz Mohd Lutfi, isteri bersama dua anak mereka dalam perjalanan pulang ke Baling, Kedah.
“Apabila tiba di tempat kejadian, bas yang disewa khas oleh pelajar UPSI untuk pulang ke Tanjung Malim telah melanggar belakang Perodua Alza sebelum hilang kawalan," katanya.
Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) sudah tampil untuk membantu siasatan berhubung nahas bas tragis. Rakaman dimuat naik menerusi Facebook, Hanz Hanz berdurasi 38 saat kemudian tular.
Noor Hisam Noordin berkata, kenyataan daripada pemilik ‘dashcam’ itu akan diambil dalam masa terdekat memandangkan rakaman tular itu dijangka menjadi bukti penting dalam menentukan punca sebenar kemalangan.
“Setakat ini, rakaman dashcam itulah yang kita peroleh dan akan teruskan dengan mengambil keterangan pemilik dashcam terbabit.

“Berdasarkan rakaman itu, dapat dilihat bagaimana bas tersebut meluncur laju dan lebih memburukkan keadaan apabila penghadang jalan menembusi ke dalam bas dari arah hadapan, sekali gus menyebabkan kematian.
“Kebanyakan mangsa yang cedera mengalami kecederaan di bahu kiri selepas tercampak dari bahagian kanan ke kiri apabila bas terbalik," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan akan menyiasat nahas itu secara menyeluruh.
Terdahulu, SinarPlus melaporkan seramai 15 pelajar universiti terbabit disahkan maut dalam satu kemalangan tragis yang melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Bas dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu itu yang membawa 44 adalah penumpang dalam bas merangkumi 42 pelajar UPSI, seorang pemandu dan seorang pembantu.
15 penuntut gugur manakala 27 lagi pelajar yang lain tercedera dalam perjalanan untuk menuntut ilmu.
Difahamkan pemandu bas dan pembantunya juga mengalami kecederaan.
Takziah buat keluarga mangsa yang terlibat.
Sumber: Facebook, Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang