'Hari ni cuti masak' - Baru pukul 1 lauk kenduri licin 'ditapau' tetamu, tuan rumah terpaksa hidang ikan masin & telur dadar

No Image Caption
A
A
A

TIDAK beradab dan tamak. Demikian perkataan yang sesuai dalam situasi yang berlaku pada wanita ini. Majlis perkahwinan yang sepatutnya cukup menghidangkan makanan untuk 5,000 orang  licin, bukan kerana ramai tetamu, tetapi kerana habis 'ditapau' awal-awal.

Menerusi hantaran di Threads, Farhana Rosli berkongsi majlis perkahwinan kakaknya di Perak baru-baru ini meninggalkan momen kurang manis untuk dikenang buatnya sekeluarga susulan kehabisan makanan yang disediakan untuk tetamu.

Beliau yang dihubungi SinarPlus mahu hal yang berlaku menjadi pengajaran kepada masyarakat. Jelasnya, tiada rewang atau bergotong royong, segala urusan penyediaan hidangan tetamu dan lauk-pauk dikendalikan oleh kakak dan ibu saudaranya.

Namun, menurut Farhana, seawal pukul 11 pagi ketika majlis baharu bermula, sudah ramai tetamu yang sudah sibuk ingin membungkus makanan tanpa keizinan tuan rumah. 

"Baru-baru ini kakak saya kahwin di kampung sebelah mak. Majlis baru bermula sekitar pukul 11 lebih, tapi orang kampung dah mula datang dan ramai yang terus sibuk cari plastik untuk bungkus makanan. 

"Sumpah, saya betul-betul terkilan dengan perangai macam tu. Makanan jadi tak cukup sebab makcik-makcik ni tak malu langsung.

"Siap kemas dan tapau tanpa minta izin tuan rumah. Ada pula yang sempat 'update status' seolah-olah bangga dengan apa yang dibuat. 

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Semasa semua ini berlaku, saya tak perasan pun sebab sibuk urus macam-macam hal majlis. Kakak saya yang seorang lagi yang beritahu. Tolonglah mak cik-mak cik, jangan buat perangai macam ni lagi. Malu sikit," kongsinya.

Tidak hanya mengambil makanan secara senyap-senyap, foto makanan yang dibungkus turut dimuat naik di laman sosial dengan status "Hari ini cuti masak. Makan masakan kenduri kahwin," kongsinya.

Menurut Farhana, daripada lapan sajian dipaparkan, tujuh adalah daripada kenduri keluarganya.

Dia dan keluarganya pula terpaksa menggoreng ikan masin dan telur dadar untuk tetamu selepas lauk-pauk disediakan habis. 

"Apabila tetamu lain tiba sekitar pukul 1 petang, makanan utama sudah pun habis. 

"Kalian bayangkan. Sedangkan kami sudah sediakan makanan melebihi jumlah jemputan," titip Farhana penuh kesal.

Dalam hantaran yang sama, Farhana luahan rasa kecewa dan memberi teguran terbuka terhadap sikap segelintir individu terutamanya golongan makcik yang suka membungkus makanan kenduri secara berlebihan dan tanpa izin, bahkan sebelum majlis kenduri benar-benar bermula.

"Yang tolong urus semua pun hanya ahli keluarga. Ketua masak pun cuma kakak dan makcik saya seorang saja. Memang kami tak jemput orang kampung pun untuk bantu sebab keluarga dah sepakat nak buat semuanya sendiri. Jadi, yang datang tu memang datang untuk makan saja. Tak tolong apa pun, tapi siap tapau macam-macam.

"Kalau perangai sesetengah mak cik macam ni, jamu untuk 5,000 orang pun belum tentu cukup. Belum masuk bab dessert table. Ada yang siap tapau berpinggan-pinggan, macam tak pernah makan kek atau puding seumur hidup. 

No Image Caption

"Tolonglah ya, siapa yang ada mak atau saudara yang suka sangat pergi kenduri, nasihatkan elok-elok. Janganlah buat perangai memalukan macam ni. Kecuali kalau tuan rumah dah beri izin atau kenduri dah selesai, barulah sesuai nak bungkus. Bayangkan, majlis baru nak mula, tapi dah ada yang sibuk duduk kat meja lauk dan mula membungkus. Memang menyedihkan tengok sikap macam ni.

"Kalau ikutkan, memang tuan rumah dah masak banyak melebihi jumlah jemputan. Tapi kalau seorang tetamu bungkus makanan yang cukup untuk 3 hingga 5 orang lain, bayangkan kalau ada 10 orang yang buat perkara sama... Memang tak cukuplah makanan tu," luahnya lagi.

Warga maya turut meluahkan rasa kecewa dengan situasi yang menimpa keluarga wanita tersebu dan berharap agar perbuatan tidak sopan dan kurang beradab itu dapat dihentikan serta tidak lagi menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

"Masa kenduri di kampung dulu, mak dengan mak saudara sempat sorok plastik. Tapi tiba-tiba ada juga yang berjaya bungkus makanan. Rupa-rupanya, mereka keluar beli plastik sendiri dan datang semula ke majlis untuk bungkus lauk. Waktu tu baru pukul 1 petang, sedangkan masih ramai tetamu belum datang nak makan," titip mcnad91

"Kalau rewang masa kenduri, memang biasanya tuan rumah akan asingkan siap-siap lauk untuk tetamu dengan lauk untuk team rewang. Tapi kalau jenis datang kenduri, tak tolong apa pun, terus tapau itu dah bukan kategori lapar, tapi lebih kepada tamak. Lagi satu, kalau tapau tanpa izin daripada tuan rumah, bukankah makanan tu dah jatuh haram? Lepas tu bagi makan kat keluarga pula," tulis_nrlftni_

"Itu adalah lauk kenduri, bukan untuk dibawa pulang sesuka hati. Jumlah yang diambil pula bukan sedikit. Perbuatan seperti ini sudah tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘tapau’ biasa, malah lebih kepada mencuri. Jika saya berada di tempat mereka, saya tidak akan halalkan langsung makanan yang diambil tanpa keizinan," kongsi Ainez Beauty.

Menerusi tinjauan SinarPlus, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberikan garis panduan mengenai hal berkenaan. 

Hukum membungkus makanan kenduri adalah harus sekiranya mendapat keizinan daripada tuan rumah atau tuan majlis. Begitu juga, pada setengah keadaan, adat kebiasaan setempat atau sebarang petunjuk lain membenarkan perbuatan membungkus makanan. 

Namun, sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan majlis atau adat setempat menunjukkan perbuatan tersebut tidak dibenarkan meskipun untuk kuantiti yang sedikit, maka hukumnya adalah haram.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang