Hilang lebih 24 jam lepas solat Maghrib di masjid, lelaki ditemui terapung di Sungai Pahang. Kakak buat pengecaman berdasarkan pakaian & tanda pada badan
KISAH kehilangan lelaki di Pekan, Pahang ini menjadi perhatian ramai. Masakan tidak, Mohd Suffian Abu Bakar,39, yang terdahulu keluar rumah untuk menunaikan solat Maghrib di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan hilang hampir 12 jam sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin memaklumkan berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa dikatakan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas pergi menunaikan solat Maghrib di masjid berkenaan pada Ahad.
Katanya, mangsa keluar rumah tidak membawa apa-apa barang keperluan.
"Ahli keluarga berusaha mencari mangsa di kawasan Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj tetapi tidak menemukannya.
"Kali terakhir dilihat memakai baju warna ungu, seluar slack berwarna coklat, berkopiah putih dan selipar hitam," katanya.
Pilu dan tragis, selepas lebih 24 jam dilaporkan hilang, pemuda berkenaan ditemui terapung oleh penduduk kampung kira-kira jam 9.35 pagi di Sungai Pahang berdekatan tangki air Kampung Pasir Panjang di sini pada Selasa.
Mayat arwah yang dilaporkan tidak bekerja dibawa ke unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut selepas mendapat bantuan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Difahamkan, kakak arwah kemudian membuat pengecaman dan mengesahkan mayat tersebut adalah adiknya berdasarkan pakaian serta tanda pada badannya.
"Hasil bedah mendapati tiada sebarang unsur dan mencurigakan pada tubuh badan si mati dan mengklasifikasikan kematian sebagai 'drowning'.
"Mayat telah diserahkan kepada pihak keluarganya untuk urusan pengebumian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Warga maya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Suffian dan mendoakan agar tabah menerima ujian berat ini. Ujar mereka:
"Innalillahiwainnailahirajiun. Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh."
"Adakah arwah perlu melalui sungai tersebut untuk ke masjid? Takziah kepada ahli keluarganya, moga diberi ketabahan."
"Orang-orang baik ALLAH pilih mati syahid."
"Risaunya, banyak kes orang hilang. Takziah buat keluarga Allahyarham, al-Fatihah."
"Pertama arwah solat (jumpa ALLAH waktu matahari turun terbenam) dan kedua mati meninggal lemas dalam air. Sungguh berita gembira, syahid kecil ALLAH berikan kepadanya."
Sumber: Sinar Harian (NORAWAZNI YUSOF)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang