Mangsa kongsi bau hangit tayar, dedah pemandu bawa laju. 'Semua berpaut sebelum bas menghempap pembahagi jalan...'

No Image Caption
A
A
A

"SAYA memang sedih bila dengar kawan-kawan meronta-ronta minta tolong."

Demikian luahan pilu, Aleeya Maisarah Azizzani yang masih trauma selepas terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas carter di Jalan Gerik–Jeli berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin lalu.

Berkongsi detik menyayat hati itu, Aleeya dengan nada sebak berkata, dia hanya mampu menyelamatkan diri sendiri walaupun mendengar rakan-rakannya memanggil-manggil meminta pertolongan.

Katanya, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.

Sebelum kejadian tragis itu, Aleeya yang juga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia ada menghidu bau hangit yang dipercayai datang daripada bahagian tayar bas ketika kenderaan itu melintasi kawasan Tanah Merah.

Menurutnya, beberapa penumpang lain sudah mula menyedari bau hangit itu sejak mereka menaiki bas di Jerteh, menandakan ada sesuatu yang tidak kena sejak awal perjalanan.

"Saya bau hangit tayar ketika lalu kawasan Tanah Merah, tapi orang lain dah mula sedar bau tersebut di Jerteh.

Artikel Berkaitan:

"Saya pun biarkan jelah, mungkin nanti dia (pemandu) akan berhenti dan jalan seperti biasa lalu saya tertidur," katanya menerusi satu video yang dikongsikan Sinar Harian.

Aleeya turut berkongsi detik mencemaskan apabila bas melintasi laluan sekitar Jeli, yang mana pemandu didakwa memandu dengan kelajuan membahayakan.

Lebih meresahkan apabila bas yang membawa 43 penumpang termasuk kelindan melanggar lopak di jalan sehingga menyebabkan kenderaan tersebut terasa senget seolah-olah mahu terjatuh sebelah kanan.

"Mungkin di Jeli, dia bawa laju sampai ada lopak air, bas macam nak terjatuh ke kanan.

"Saya rasa berdebar sebab berada di tempat duduk sebelah kanan dan hanya mampu berselawat ketika itu," kongsinya.

Susulan kejadian tersebut, pemandu sempat memperlahankan kenderaan buat seketika sebelum kembali memecut menyebabkan rasa kurang selamat oleh penumpang.

Situasi berbahaya itu mengakibatkan bas hilang kawalan secara tiba-tiba lalu terbalik dan menghentam pembahagi jalan di sebelah kiri.

"Lepas kejadian itu, dia bawa perlahan. Tiba-tiba pemandu bawa laju semula sampai semua orang berpaut pada sesuatu sehingga di selekoh bas terhempap ke kiri.

"Saya nampak bas daripada tegak lalu menyenget ke kiri dan terkena pembahagi jalan.

"Saya tak nampak pula kereta Perodua Alza tu, sebab saya berada di tempat duduk penumpang belakang.

"Walaupun keadaan waktu itu gelap, saya nampak ada rakan yang tersepit, meronta-ronta, ada yang senyap dan ada juga yang tercampak dalam longkang dengan keadaan kepala pecah," luahnya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini.

Selain mengalami kesakitan di bahagian belakang badan, Aleeya turut mengalami kecederaan di kepala serta terseliuh pada bahagian kaki akibat insiden terbabit.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang