Cakna awal tanda kanser payudara

No Image Caption
A
A
A

KANSER payudara adalah kanser yang paling kerap terjadi dalam kalangan wanita hari ini. Pengetahuan tentang kanser ini boleh membantu pengesanan awal dan mencegahnya.

Melalui penulisan di portal Myhealth, dianggarkan 31 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser payudara berbanding 11 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser kolorektal (penyebab kedua kanser yang sering berlaku dalam kalangan wanita) di Malaysia.

Dalam setahun dianggarkan seramai lebih daripada 3000 kes baru didiagnosis sebagai kanser payudara.

Menurut Pegawai Perubatan dari Jabatan Pembedahan Am Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Dr Amira Alisha Ir Azhan, kanser payudara adalah satu ketumbuhan yang memang terbentuk di payudara.

Tanda-tanda yang biasanya terjadi kepada pesakit yang datang ke hospital apabila mereka mendapati terdapat bengkak pada bahagian berkenaan.

“ Pesakit mengadu ada ketulan di payudara dan biasanya ia tidak sakit.

“Selain itu, ada juga pesakit yang mengalami perubahan pada kulit di sekitar payudaranya. Nampak seakan-akan berkedut, kadang-kadang sama seperti kulit buah oren.

“Seterusnya, boleh dilihat di puting payudara, iaitu masuk ke dalam ataupun ada keluar cecair.

“Kadangkala, tanda lain juga mungkin ada ketulan pada bahagian ketiak pun kita boleh suspek kanser payudara,“ katanya.

No Image Caption

Faktor risiko utamaDalam pada itu, Dr Amira juga sempat berkongsi faktor utama seseorang itu boleh mendapat kanser payudara, iaitu mereka adalah seorang:

  • Wanita.Umur - lebih daripada 40 tahun.
  • Mempunyai sejarah keluarga – terutamanya sebelah keluarga ibu.
  • Usia pertama datang haid yang terlalu awal.
  • Individu yang pernah mengambil pil perancang.

Lelaki juga boleh mendapat kanser payudara walaupun jarang berlaku. Biasanya, lelaki yang menghidap kanser payudara sudah berada pada tahap yang serius kerana tidak menyedari tanda-tanda awal atau malu untuk memeriksa.

Tambah Dr Amira, bagi mengesan kanser payudara pada seseorang, kaedah triple assessment telah digunakan yang melibatkan pemeriksaan payudara.

Pertama, pemeriksaan di bahagian payudara sama ada terdapat ketulan atau tidak.

Kedua, menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi terutamanya wanita yang lebih 40 tahun disarankan untuk menjalani mammogram secara berkala.

Ketiga, pengambilan sampel untuk dihantar ke makmal.

Manakala, untuk mengenal pasti tahap kanser seseorang itu, boleh ditentukan melalui TNM staging (Tumor, Nodes, Metastasis), iaitu:-

  • Tahap 1: kanser yang kurang dari 2 sentimeter (cm).
  • Tahap 2: kanser saiz 2 hingga 5 cm dan mungkin ada bengkak di kelenjar ketiak.
  • Tahap 3: lebih dari 5 cm atau ada bengkak di kelenjar ketiak.
  • Tahap 4: kanser telah merebak ke organ lain. Pengimejan seperti CT scan diperlukan untuk melihat kanser merebak di bahagian tertentu.

No Image Caption

Pilihan rawatan termasuk pembedahan, kemoterapi, radioterapi, dan terapi hormon. Pemilihan rawatan bergantung kepada saiz ketulan dan respons terhadap terapi. Jika ketulan besar, kemoterapi mungkin diberikan dahulu untuk mengecilkan saiz sebelum pembedahan. Terapi hormon diberikan jika kanser sensitif terhadap hormon tertentu.

Oleh itu, Dr Amira juga sarankan pada pesakit untuk sentiasa menjalani pemeriksaan susulan bagi memastikan kanser tidak kembali.

“Di hospital tempat saya bekerja kini memang ada buat rawatan untuk kanser payudara. Kebanyakan pesakit yang datang memang sudah lama tahu dan perasan ada perubahan pada payudara, namun tidak mengambil tindakan segera.

“Jadi, ketumbuhan itu semakin lama semakin membesar dan merebak. Kesannya, daripada boleh dirawat bertukar menjadi situasi yang sukar dirawat secara sepenuhnya berbanding jika datang lebih awal.

“Contohnya, ada seorang pesakit yang datang ke hospital, setelah selesai mengambil sampel, buat imbasan mammogram dan biopsi, terbukti dia menghidap kanser.

“Namun, selepas mendapat tahu tentang keadaannya itu, beliau memilih untuk berubat kampung terlebih dahulu. Apabila usahanya itu gagal, yang mana rawatan tradisional tidak berjaya dan apabila dia kembali untuk mendapatkan rawatan di hospital, sudah terlambat kerana penyakitnya sudah merebak,“ ujar pakar itu lagi.

Breast cancer month, a woman in a white T-shirt with a satin pink ribbon on her chest, a symbol for breast cancer awareness campaign in October
Breast cancer month, a woman in a white T-shirt with a satin pink ribbon on her chest, a symbol for breast cancer awareness campaign in October

Sokongan keluarga penguat semangat

Tambah beliau, sokongan keluarga sangat penting untuk pesakit kanser. Bila seseorang itu didiagnos dengan penyakit, pasti emosinya akan terganggu. Oleh sebab itu, pentingnya ahli keluarga untuk menenangkan pesakit sekali gus berperanan untuk menjaga mereka ketika rawatan sedang dijalankan.

Selain itu, terdapat banyak persatuan kanser yang boleh disertai oleh pesakit. Pertubuhan tersebut sangat aktif dalam berkongsi cerita masing-masing dan memainkan peranan untuk menyokong satu sama lain.

Mereka juga turut membuat aktiviti untuk menaikkan semangat seperti bersenam. Inisiatif berkenaan sangat baik kerana melibatkan komunikasi antara pejuang kanser atau cancer fighter, jadi mereka faham antara satu sama lain kerana sama-sama berjuang dalam melawan penyakit.

Sebagai penutup, tidak kiralah berapa usia kita, tidak salah untuk membuat pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan. Jika ada kesan sebarang perubahan, terus dapatkan rawatan daripada doktor.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang