Perhimpunan motosikal bertukar pilu, 3 nyawa pergi selamanya dalam perjalanan RXZ Members 7.0
TIGA penunggang motosikal maut dalam tiga kemalangan tragis ketika dalam perjalanan menuju ke sebuah perhimpunan motosikal, RXZ Members 7.0 di Gong Badak, Kuala Terengganu.
Kejadian yang berlaku di Bera, Hulu Terangganu dan Dungun itu meragut tiga nyawa serta-merta, sekali gus menukar detik yang sepatutnya menjadi lambang semangat dan perpaduan permotoran kepada satu episod duka.
KEMALANGAN 1 : 6.30 PAGI
Kehilangan pertama melibatkan seorang eksekutif jualan bank, Mohd Syukri Shahrudin, 33, yang berkonvoi ke program berkenaan.
Trip santai bersama 60 motosikal lain bertukar menjadi tragedi selepas motosikal ditunggangi Mohd Syukri kemalangan di Jalan Palong 8, Bera kira-kira jam 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa dari Rembau menghala ke Terengganu dan apabila sampai di tempat kejadian, motosikal Yamaha RXZ yang sepatutnya membelok ke kanan di simpang tiga telah bergerak lurus tanpa membelok lalu melanggar tebing di bahu jalan.
"Kemalangan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan serta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Zulkiflee berkata, bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Bera manakala kenderaan terbabit akan menjalani pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Tambahnya, siasatan lanjut sedang diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pemergian Allahyarham Mohd Syukri meninggalkan isteri, Nurul Wahida Aziz, 33 dan tiga cahaya mata.
KEMALANGAN 2: 12 TENGAH HARI
Kehilangan kedua, Roslinawati Ramli, 33, seorang jururawat maut selepas motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditungganginya terbabas di Kilometer 394, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)
Roslinawati dilaporkan dalam perjalanan dari Simpang Renggam, Johor untuk menyertai program himpunan RXZ Members 7.0 bersama 12 lagi penunggang motosikal lain.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa menunggang motosikal di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari rumah sekitar jam 1 pagi menuju ke Kuala Terengganu. Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya.
Menurutnya, motosikal digunakan mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan selain beberapa kerosakan lain.
"Jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
KEMALANGAN 3: 12 TENGAH HARI
Kehilangan ketiga ialah Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, dari Seri Kembangan, Selangor yang terlibat dalam nahas di Kilometer 370 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran hentian rehat dan rawat Bukit Besi, Dungun.
Hariz Fahmi bersama beberapa rakan menunggang motosikal jenis sama dalam perjalanan ke Gong Badak, Kuala Terengganu bagi menghadiri program RXZ Members 7.0.
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal rakannya sebelum terbalik menyebabkan dia tercampak ke atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Sekadar info, RXZ Members 7.0 berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu dijangka menghimpunkan 100,000 peminat dan pemilik Yamaha RXZ seluruh negara termasuk negara jiran iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura.
Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

