'RM26,000 untuk 2 batang geraham.' Gigi isteri rosak susukan 7 anak, suami tak berkira balas pengorbanan. Ini pula respons pakar pergigian

No Image Caption
A
A
A

MENYUSUKAN sendiri setiap cahaya mata adalah impian kebanyakan ibu. Namun, tidak ramai yang benar-benar menyedari, di sebalik titisan susu yang membesarkan anak-anak, ada tubuh yang perlahan-lahan menyimpan luka dan pengorbanan yang tidak kelihatan.

Itulah yang dilalui seorang wanita apabila giginya didakwa rosak teruk selepas menyusukan tujuh orang anak dan demi cinta serta penghargaan terhadap pengorbanan itu, si suami sanggup berhabis RM26,000 hanya untuk memulihkan dua batang geraham isteri tercinta.

Menerusi satu hantaran di Facebook,  seorang lelaki, Mod Yazid Ismail mendedahkan keseluruhan kos rawatan gigi isterinya.

"Kos rawatan gigi kali ni RM26k. Mahal tapi saya sanggup bayar untuk kebaikan dia," titipnya.

Dakwa Yazid, isterinya memerlukan rawatan berikutan mengalami kerosakan gigi selepas hamil dan melahirkan tujuh orang anak.

"Isteri saya Widyana Ali banyak berkorban mengandung dan menyusukan ketujuh-tujuh anak kami dengan susu ibu sepenuhnya.

"Tapi pengorbanan itu meninggalkan kesan sampingan  pada dirinya. Ramai ibu-ibu yang yang menyusu mengalami masalah yang sama. Kalsium banyak disalurkan ke anak, gusi bermasalah, giginya rapuh, akhirnya beberapa batang gigi geraham rosak dan terpaksa dicabut.

"Geraham sangat penting untuk  untuk proses pencernaan makanan. Boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lain jika makanan tidak dicerna dengan baik," titipnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Dalam hantaran yang sama, Yazid memaklumkan tidak mahu isteri menunggu lama dan memilih suri hati ke klinik swasta. Tambah Yazid lagi, kesihatan isteri adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai suami selain yakin rezeki adalah kurnian ALLAH SWT.

"Saya banyak buat research sebelum buat keputusan untuk implant. Walaupun kosnya bukan murah, RM26k hanya untuk dua batang gigi. Tetapi demi untuk kebaikannya saya sanggup.

"Boleh buat di hospital kerajaan dengan kos yang lebih murah RM4,000 sebatang. Tapi kena menunggu lama untuk sampai giliran kita.

"Pada saya, tiada harga yang boleh dibandingkan dengan kesihatan dan senyuman seorang isteri.

"Dia telah berkorban tubuh badan demi anak-anak, maka sudah menjadi tanggungjawab saya untuk buat apa yang perlu untuk kebaikannya.

"Setiap sen yang dikeluarkan, insya-ALLAH, ALLAH  ganti dengan keberkatan dalam keluarga kami," ujarnya.

Difahamkan, proses implan gigi berkenaan belum lagi selesai dan akan dilakukan pada Oktober akan datang.

PEMERIKSAAN GIGI SECARA BERKALA

Sementara itu, menurut Pegawai Pergigian Pusat Sejahtera, Universiti Sains Malaysia, Dr Iqbal Rosali menjelaskan proses kehamilan dan menyusukan bayi bukanlah satu-satunya punca kerosakan gigi dalam kalangan wanita.

“Asal mengandung je, gigi mesti rosak. Gigi saya semua habis rosak sejak menyusu badan. Bukan seorang dua ibu yang mengadu begini apabila datang klinik gigi.

"Tak dinafikan pengorbanan ibu yang mengandung dan menyusukan tetapi ini memang jelas salah faham ketara orang ramai," kongsinya.

Dr Iqbal menjelaskan terdapat empat elemen yang menyebabkan kerosakan gigi iaitu gigi itu sendiri, asid daripada makanan atau minuman, bakteria dan tempoh masa apabila dibiarkan lama tidak dibersihkan.

Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan

"Jika tidak mahu gigi rosak, buang salah satu elemen di atas. Contohnya, gosok gigi  boleh singkirkan elemen asid dan bakteria. Tapi kena ingat, cara gosok gigi pun kena betul," kongsinya.

Dalam pada itu, Dr Iqbal turut menyarankan agar pemeriksaan gigi dilakukan secara berkala untuk mengesan kerosakan pada peringkat awal.

“Kenapa walaupun sudah digosok, gigi masih rosak? Bila kali terakhir jumpa doktor gigi dalam tempoh mengandung dan menyusu? 

"Tahu tak dalam tinjauan peringkat kebangsaan, kenapa orang tak pergi klinik gigi? Jawapannya sebab tak sakit atau tak ada sebab nak pergi, kedua sebab tak ada masa. dan rasa takut bukan sebab utama.

Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan

"Kenapa digalakkan jumpa doktor gigi? Ini kerana gigi yang berlubang peringkat awal tidak sakit. Ya, percayalah anda tidak akan tahu ada gigi rosak kalau tak periksa. 

"Itu pun ada juga yang cuma sakit sikit-sikit atau rasa ngilu sahaja buat keputusan tidak datang juga klinik gigi sebab masih boleh tahan. Akhirnya gigi mereput dan menjadi semakin sakit, barulah serah diri ke klinik gigi.

"Kesimpulannya, mengandung dan menyusukan anak tidak menyebabkan kerosakan pada gigi pada wanita," kongsinya.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang