Tular tinggal seorang, kisah anak yatim piatu undang sayu, pilih jurusan ERT demi ibu ayah. 'Arwah pesan jaga solat'
BARU-baru ini tular di laman sosial seorang pemuda yang hidup sendirian sejak berusia 17 tahun. Nik Mohamad Alis Nik Ab Rashid, yang merupakan anak yatim piatu, menimbulkan rasa sayu dalam kalangan warganet apabila kisah ketabahannya mengejar ilmu meskipun serba kekurangan mendapat perhatian ramai.
Meneruskan hidup sendirian dan menyara diri dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan sebagai jurulatih silat, Alis tekad untuk berdikari dan mencapai impiannya menjadi seorang pendidik.
Alis, 20, yang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tahun lepas menjadi yatim piatu pada usia 17 tahun selepas ayahnya Nik Ab Rashid Nik Jusoh meninggal dunia pada 2021 akibat jangkitan kuman, disusuli ibunya Nik Jah Yusoff setahun kemudian akibat komplikasi kencing manis dan strok.

Sejak itu, dia memilih untuk berdikari dengan menyewa rumah kecil berdekatan Kota Bharu, Kelantan dan menjadi jurulatih silat persatuan dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.
"Saya pegang pesanan emak untuk menjaga solat sebab ALLAH sahaja tempat kita bergantung dan meminta selain sentiasa berbuat baik dengan orang. Jangan berkira kerana kita tidak tahu kebaikan mana diterima ALLAH. Mungkin ada satu kebaikan itu membawa saya sampai ke sini," katanya.
Dalam pada itu, Alis memilih jurusan Ekonomi Rumah Tangga (ERT) di UPSI kerana mengenang kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa yang membesarkannya dengan pekerjaan sebagai tukang jahit serta tukang masak.
Bercita-cita menjadi seorang guru sejak di bangku Tingkatan Satu, Nik Mohamad Alis yang hidup bersendirian sejak usia 17 tahun berkata, dia sentiasa berpegang kepada prinsip untuk mencipta semangat sendiri demi mencapai kejayaan dan bukannya mengharap motivasi daripada orang lain.

"Saya dapat semangat ini daripada arwah mak dan ayah. Walaupun susah, mereka tetap berusaha mencari nafkah untuk membesarkan saya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi) UPSI Dr Khalizul Khalid berkata setakat ini Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pejabat Wakaf, Endowment Zakat dan Sedekah UPSI (WEZAS) telah menyediakan bantuan yuran pendaftaran dan pengajian untuk Alis.
Terdahulu, kisah ketabahan Alis tular selepas dikongsi pengguna TikTok @ceokuterer atau Pokdi yang mendoakan agar urusannya dipermudah.
Menerusi ruangan komen, ramai yang memberikan semangat buat anak muda itu.

"Begitu kuat semangat, tinggi pegangan hidup, dan kental hatinya. Entah apa perjanjian yang telah ALLAH tetapkan untuknya sebelum kelahirannya ke dunia ini, sehingga diuji sedemikian rupa. Semoga dia terus tabah dan diberikan kekuatan yang berpanjangan."
"Alis seorang yang rajin dan berdikari. Semoga Alis dapat belajar dengan baik dan menjadi insan memberi manfaat kepada orang lain suatu hari nanti."
Malah ada yang berkongsi Alis menjaga ibu bapanya dengan baik semasa hayat.
"Demi ALLAH, saya dan keluarga menjadi saksi, dan kami sangat terharu dengan cara Alis melayani arwah orang tuanya (arwah Kak Jah dan Abang Sid) semasa mereka masih hidup. Dia menjaga kedua-dua orang tuanya ketika mereka sakit, sebagaimana mereka menjaga dan membesarkannya ketika kecil. Malah, ketika arwah Kak Jah meninggal dunia, saya sempat berbual dengan Alis, dan dia pernah berkata, “Saya reda dan puas hati dapat jaga Umi sebelum dia pergi selamanya.”
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
