Zara Qairina 'kecil' tular, lahir tanpa diazan bapa & hanya ada selawat ibu. Titipan Misi Konah viral 4,000 share meruntun hati

No Image Caption
A
A
A

NAMA Zara Qairina yang menjadi sebutan sejak lebih sebulan lalu. Keperibadiannya yang tenang dan lembut, rajin menjaga solat, ditambah pula dengan kisah tentang jenazahnya yang dikatakan masih utuh dan harum mewangi di sekitar pusara. Semua itu menguatkan rasa kagum dan hormat orang terhadap arwah.

Tidak hanya itu, laungan solidariti 'Justice For Zara' bergema seantero dunia. Nama itu bukan sahaja sedap didengar, ia memiliki maksud yang baik. 

Menurut satu huraian pengguna sosial Instagram,  Zara Qairina mempunyai gabungan makna yang menarik. 'Zara' dalam bahasa Arab, jika dieja زهرة (Zahra), bermaksud 'bunga.' 

Manakala 'Qairina' dalam bahasa Arab, jika dieja خيرنا (Khairina), bermaksud 'kebaikan kita atau kami.' Jadi, secara keseluruhan, nama 'Zara Qairina' boleh diertikan sebagai 'bunga kebaikan kita' atau 'bunga kebaikan kami.'

Baru-baru ini, seorang bayi dinamakan dengan bersempena nama remaja itu dan tular di laman sosial. Jururawat, Norazlina Sadzali di Facebook mendedahkan bayi dinamakan sempena nama remaja itu.

No Image Caption

Namun, menurut Norazlina, kisah si kecil tersebut sebenarnya bermula dalam serba kekurangan dan cukup meruntun hati sesiapa yang mendengarnya.

Rumah tangga ibu dan ayah dikatakan sedang meniti fasa perpisahan, manakala si abang pula tidak lagi bersekolah akibat tekanan hidup yang makin menghimpit.

Artikel Berkaitan:

"Nama saya Zara Qairina, baru berusia 10 hari. Tiada suara bapa mengiqamatkan saya masa saya lahir. Saya hanya dengar suara mak berselawat di telinga sesekali (menangis) teresak-esak..  

"Saya ada abang berumur 11 tahun. Abang saya tidak sekolah sebab sekolah jauh. Mak saya tidak mampu hantar abang ke sekolah kerana kekangan kewangan. 

"Semasa mak saya mengandungkan saya, abang  jadi teman setia mak. Kadang-kadang pergi klinik naik e-hailing, adakala tumpang kawan atau jururawat. Ada masa mak dan abang berjalan kaki lebih 5 kilometer.  Berpanas, berhujan itu perkara kecil untuk mak dan abang," ujarnya.

No Image Caption

Norazlina yang membahasakan dirinya Misi Konah bertugas merawat si ibu faham keperitan hidup dilalui pesakitnya. Susulan melalui pelbagai kekangan, beliau adakala mengambil inisiatif ke rumah untuk merawat.

"Mak selalu kena datang klinik kerana alami kencing manis. Misi pun sudah faham kalau mak tak dapat datang, mak lewat sampai. Misi selalu datang ke rumah cari mak di rumah. 

"Mak menumpang rumah saudara sejak membawa diri. Mak saya seorang wanita yang kuat. Selepas saya lahir mak dan ayah (yang tidak pernah saya dengar suaranya itu) akan berpisah. Kenapa agaknya mak dan ayah nak berpisah?

"Hari ini mak bawa saya ke klinik untuk cek kuning. Bacaan kuning saya tinggi tetapi mak tak mampu bawa saya selalu datang klinik selalu kerana tidak mampu. 

No Image Caption

"Doakan rezeki saya, mak saya dan abang saya murah ye orang-orang budiman. Terima kasih nurse yang selalu tumpangkan mak, belanja mak dan abang makan.

"Misi Konah tanya siapa nama baby comel ni? Mak kata nama pelajar sekolah agama yang meninggal di Sabah, Zara Qairina. ALLAH, sebaknya.

"Doakan saya menjadi anak yang berhati waja macam mak saya, dan menjadi anak solehah seperti bidadari syurga, Zara Qairina," kongsinya.

Difahamkan, susulan perkongsian Norazlina, warga maya tersentuh hati dan berniat membantu. Menghargai keprihatinan yang ditunjukkan namun beliau mendedahkan ibu bayi kecil itu tidak mempunyai akaun bank bagi menerima apa sahaja bantuan.

Tentang status abang yang tidak bersekolah, rupanya sudah ada pihak berwajib menghubungi untuk membantu proses pepindahan sekolah dari Kuala Lumpur ke Perak.

Malah jaundis Zara juga sudah semakin pulih walaupun paras bilirubin masih belum mencapai paras normal.

Dalam masa yang sama, warga maya mendoakan agar si kecil itu membesar dengan sihat dan urusan keluarga kecil itu dipemudah. Tidak kurang juga yang memuji tindakan dan keprihatinan Norazlina mengambil tahu serta cakna pesakit di bawah jagaannya.

"Satu yang pergi, seluruh dunia merasai pemergiannya. Tapi hari ini ada beberapa Zara Qairina (yang kecil) lahir.  Semoga menjadi anak yang solehah dan rezeki keluarga baby melimpah ruah seperti air zam zam.

"Saya pun berkenan nama Zara Qairina. Kalau ada anak kecil lagi nak namakan Zara Qairina."

"Terima kasih banyak misi yang baik hati. Teruskan memberi maklumat pada kami. Semoga baby Zara, abang dan emaknya dipermudah kan segala urusan."

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang