JIKA anak kecil anda sering bersin, hidung berhingus atau tersumbat, mata berair dan kelihatan lesu sebaiknya bawalah mereka berjumpa doktor.

Kemungkinan besar gejala yang dialaminya itu disebabkan oleh resdung iaitu tindak balas melampau sistem imun (sistem pertahanan tubuh yang lazimnya membantu melindungi tubuh kita daripada zarah-zarah tidak berjangkit yang disedut) terhadap alergen (bahan-bahan yang boleh menyebabkan alahan seperti debunga, hama habuk, bulu haiwan dan asap rokok).

Resdung boleh diwarisi atau dengan kata lain penyakit keturunan dan apabila pada tahap kronik.

Ia juga boleh menyebabkan radang teruk dan kegatalan pada membran mukus di dalam hidung, mata dan tekak ketika proses menyingkirkan alergen daripada tubuh.

Penyakit itu juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jika tidak dirawat segera, kata Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak serta Pakar Bedah Kepala dan Leher di Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Juani Hayyan Abdul Karaf.

AMBIL MASA UNTUK PULIH

Dr Juani berkata, beliau mendapati ada peningkatan ketara kes resdung dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dalam tempoh dua tahun lepas.

Menurutnya, angka itu dijangka terus meningkat jika tiada tindakan pantas diambil oleh ibu bapa.

Baca juga: Sebelum jalani ujian pap smear untuk kesan kanser serviks, berikut 5 perkara yang tak boleh wanita lakukan

Kata beliau, jika seseorang anak kecil mengalami resdung kronik dan kemudian dijangkiti sama ada Covid-19 atau influenza, si anak akan mengambil masa yang lama untuk pulih berbanding mereka yang tiada resdung kronik.

Itu kerana apabila radang kronik yang dicetuskan oleh resdung di dalam rongga hidung dan di dalam tiub eustachio (saluran kecil yang menghubungkan tekak dengan telinga) tidak dikawal, badan akan mengambil masa lebih lama untuk melawan jangkitan lain.

“Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang tidak disedari mempunyai resdung atau resdung yang tidak dirawat juga lebih cenderung dijangkiti influenza atau Covid-19 kerana radang resdung kronik yang sedia ada akan menjejaskan sistem imun tubuh dan juga kerana keadaan hidung itu sendiri. Itu akan menyebabkan virus mudah merebak, sekali gus menjadikan keadaan tubuh bertambah teruk.

“Bagi jangkitan Covid-19 atau influenza, lazimnya seseorang pesakit akan pulih dalam masa lima hingga tujuh hari dan demam adalah antara gejala paling ketara.

“Namun bagi penghidap resdung kronik, ia (jangkitan Covid-19 atau influenza) akan mengambil masa satu hingga dua minggu untuk sembuh dan biasanya pesakit tidak demam. Itu juga adalah perbezaan paling ketara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa,” kata beliau kepada Bernama.

RISIKO OME

Dr Juani juga mengingatkan bahawa seseorang anak kecil yang dibiarkan menghidap resdung kronik tanpa dirawat akan berisiko tinggi untuk mendapat otitis media berefusi (OME) iaitu takungan cecair di dalam rongga telinga yang boleh mencetuskan ketidakselesaan serta menjejaskan kualiti hidup si kecil.

Baca juga: ‘Kacang cerdik’ boleh kurangkan risiko kanser kolon? Berikut 6 kebaikan pistachio yang perlu tahu

“Tiub eustachio menyalurkan cecair keluar dari telinga ke bahagian belakang tekak. Jika tiub itu tersumbat, ia boleh menyebabkan OME iaitu takungan cecair di belakang gegendang telinga yang boleh mengganggu transmisi bunyi dari telinga luar ke telinga dalam, menyebabkan kehilangan pendengaran konduktif.

“Kanak-kanak yang mengalami OME juga boleh berdepan masalah keseimbangan dan pertuturan selain sukar memberi tumpuan terutamanya ketika belajar. Jika gejala itu semakin teruk, pesakit akan mengalami masalah sukar tidur disebabkan sakit telinga yang berulang,” jelas beliau dan menambah keadaan itu juga boleh menyebabkan gegendang telinga pecah jika tidak dirawat dengan sewajarnya dan terkena jangkitan bakteria.

Memetik kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Otorinolaringologi, Pembedahan Kepala dan Leher Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang diterbitkan pada tahun 2020, Dr Juani berkata, kebarangkalian resdung dan OME berlaku di Malaysia adalah sekitar 80.3 peratus.

Mengimbas semula kes kritikal yang pernah beliau kendalikan, katanya kes itu melibatkan seorang kanak-kanak yang nyaris-nyaris kehilangan pendengaran disebabkan OME kronik.

“Saya rawat kanak-kanak yang berusia sembilan tahun ini pada 2020, apabila dia digegaskan ke unit kecemasan akibat sawan tidak terkawal dan altered consciousness (keadaan separa sedar).

Baca juga: Jangan pandang remeh masalah tonsil, selain boleh cetuskan kanser, ia boleh akibatkan kematian

“Ketika pemeriksaan, kami mendapati bahawa jangkitan telinga dengan komplikasinya agak serius. Kami menggunakan antibiotik yang kuat untuk merawatnya selama dua minggu. Ubat yang digunakan itu merentasi rintangan darah ke otak, sekali gus membolehkan telinga dan otak dirawat serentak,” jelas beliau lagi.

Tambahnya, jika kanak-kanak itu tidak dirawat segera, mereka mungkin tidak boleh menjalani kehidupan yang normal.

Iklan

“Bukan itu sahaja, mereka juga boleh meninggal dunia jika jangkitan telinganya semakin teruk dan menyebabkan jangkitan tulang temporal atau abses otak. Resdung merupakan keadaan perubatan yang harus didiagnosis serta dirawat secepat mungkin,” ujarnya.

RAWATAN

Resdung boleh didiagnosis menerusi sejarah klinikal dan gejala. Selain itu, kini terdapat ujian makmal diagnostik untuk alahan yang mengukur tahap imunoglobulin E (IgE) iaitu sejenis antibodi.

Baca juga: Tunda ujian MRI akibat takut berada di ruangan sempit, pakar ini kongsi cara atasi ketakutan itu

Jika seseorang itu mempunyai alahan, paras lgE dalam darah mereka adalah lebih tinggi berbanding paras normal.

“Satu daripada perkara yang kita perlu tahu tentang resdung adalah jenis alergen yang menjadi alahan kepada pesakit. Di hospital kami, darah akan diambil dan uji di makmal bagi mengesan 51 alergen utama. Ia merangkumi, antaranya alergen makanan, hama habuk dan bulu haiwan.

“Daripada keputusan ujian darah yang boleh diperoleh dalam tempoh dua jam itu, kami akan lihat paras lgE yang dikeluarkan oleh tubuh pesakit akibat tindak balas alergi,” katanya.

Iklan

Rawatan lain bagi resdung termasuk semburan kortikosteroid intranasal yang berfungsi sebagai terapi awal yang selamat dan berkesan bagi resdung, kata beliau.

Jelasnya, steroid dalam semburan nasal bertindak secara topikal pada lapisan mukosa yang mengalami radang selain berperanan sebagai agen antiradang dan mengurangkan bengkak pada mukosa dengan risiko kesan sampingan steroid secara sistemik yang sangat rendah.

Pemilihan tablet atau ubat cecair antihistamin yang tepat juga boleh merawat resdung dengan mengurangkan keradangan yang disebabkan tindak balas alahan di dalam hidung.

Dr Juani turut menasihati orang ramai, khususnya mereka yang menghidap penyakit itu, agar mengubah gaya hidup seperti kerap membasuh tangan dan mengelak daripada menyentuh muka atau menggosok mata dan hidung.

“Kenal pasti perkara yang mencetuskan gejala dan elak daripada benda-benda itu. Pastikan persekitaran tempat kerja dan rumah dalam keadaan bersih dan tidak berhabuk. Jika anda ada gejala resdung dan ia menjejaskan aktiviti harian, sila berjumpa doktor dan mulakan rawatan bagi mengawal gejala,” nasihatnya.

Baca juga:  Uri di bawah ketika hamil, ini komplikasi-komplikasi yang perlu ibu wajib tahu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan