RAMAI di antara kita yang kurang jelas mengenai penyakit hepatitis. Kebanyakannya berfikiran, ia hanya mempunyai perkaitan dengan penyakit HIV. Pun demikian, hakikatnya, tidak begitu.

Justeru, sempena sambutan Hari Hepatitis Sedunia, SinarPlus ingin menjelaskan lebih lanjut apa itu hepatitis?

Secara ringkasnya, ia merupakan penyakit keradangan hati sama ada disebabkan virus yang berjangkit atau bukan jangkitan yang boleh mendatangkan banyak masalah pada kesihatan. Jika semakin memburuk, ia boleh membuatkan nyawa melayang.

Jika anda memandang enteng isu kesihatan itu, lebih baik berfikir semula. Ini kerana jangkitan dengan mudah boleh berlaku. Antaranya ketika kita berada di dalam tandas, salah memilih makanan, ketika melakukan transfusi darah, berkongsi barang peribadi seperti pisau cukur, waima pengetip kuku sekalipun.

Secara umum, terdapat lima jenis hepatitis yang disebabkan virus iaitu A, B, C, D dan E. Setiap daripadanya mempunyai perbezaan dari segi cara jangkitan, tahap keterukan penyakit dan pencegahan.

Berdasarkan statistik yang dikongsi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 354 juta orang hidup dengan hepatitis B dan C kronik di seluruh benua.

Menerusi Strategi Hepatitis Global, WHO, pertubuhan itu berusaha untuk mengurangkan jangkitan baharu sebanyak 90 peratus dan kematian sebanyak 65 peratus bermula tahun 2016 hingga 2030.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, menjangkakan lebih 500,000 rakyat Malaysia mempunyai hepatitis C, tetapi tidak disedari oleh individu itu.

Sementara National Library Of Medicine, Amerika Syarikat (AS)melaporkan, sepanjang tahun 2000, kira-kira 4,067 kes hepatitis virus dikesan. Daripada jumlah itu, kira-kira 497 kes disebabkan oleh hepatitis A, 2,863 kes disebabkan oleh hepatitis B dan 550 kes (hepatitis C).

Untuk membicarakan secara terperinci tentang penyakit berbahaya itu, SinarPlus mendapatkan Pakar Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit, Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Nor Hayati Shaharuddin.

Bagi memberi pencerahan, Dr Nor Hayati menghuraikan satu persatu penyebab berlakunya hepatitis:

i) Hepatitis A
– Virus tersebar melalui makanan atau minuman.

ii) Hepatitis B
– Virus hepatitis B boleh tersebar melalui darah atau cairan badan seperti air mani dan susu badan.
– Seseorang boleh terdedah kepada jangkitan melalui perkongsian jarum suntikan dan alatan untuk tatu atau berbekam yang telah tercemar dengan cairan pesakit hepatitis B.
– Bagaimanapun, virus ini tidak menjangkiti anak dalam kandungan. Jangkitan berlaku semasa kelahiran bayi daripada ibu yang mempunyai hepatitis B dan juga apabila bayi menyusu daripada ibu berkenaan.
– Untuk mengelakkan jangkitan kepada bayi yang lahir daripada ibu yang mempunyai hepatitis B, si kecil itu perlu diberikan hepatitis B immunoglobulin dan vaksin selepas kelahiran.

iii) Hepatitis C
-Penularan hepatitis C sama seperti hepatitis B.

iv) Hepatitis D
-Penularan hepatitis D sama seperti hepatitis B. Virus ini boleh membiak secara automatik di dalam sel-sel hati, tetapi ia memerlukan sel hati yang telah dijangkiti hepatitis B untuk merebak.

v) Hepatitis E
-Penularan hepatitis E sama seperti hepatitis A.

Baca juga: Pembunuh senyap rakyat Malaysia. Lebih 70 peratus kanser kolorektal disaring pada tahap 3 atau 4

Dalam pada itu, portal perubatan AloDokter menyenaraikan empat lagi jenis hepatitis (bukan disebabkan virus) iaitu:

i) Hepatitis akibat ketagihan alkohol
Minum secara berlebihan boleh mengundang peradangan pada hati dan menimbulkan kerosakan kekal pada sel-sel hati. Hal ini akan mengganggu fungsi hati. Jika tidak ditangani, kondisi ini membolehkan seseorang mendapat sirosis dan kegagalan fungsi hati.

ii) Hepatitis akibat ubat-ubatan tertentu


– Ia disebut juga sebagai toxic hepatitis. Ia terjadi akibat daripada mengambil ubat dengan dos yang berlebihan. Hati akan rosak atau mengalami peradangan kerana bekerja terlalu keras dalam ‘memecahkan‘ ubat yang dihadam.

iii) Hepatitis akibat penyakit autoimun
– Sistem imun tubuh secara keliru akan menyerang sel-sel hati sehingga menimbulkan peradangan dan kerosakan hati.

iv) Hepatitis akibat cacing hati
– Peradangan hati juga boleh terjadi akibat infeksi cacing hati iaitu opisthorchiidae dan fasciolidae. Salah satu spesies cacing hati jenis opisthorchiidae yang sering menyebabkan infeksi ialah clonorchis.
– Seseorang berupaya terkena jenis hepatitis ini jika termakan makanan dimasak mentah yang mengandungi larva cacing hati tersebut.

Hati rosak
Berkongsi mengenai gejala umum yang muncul kepada penderita hepatitis, Dr Nor Hayati berkata, selain demam, mual dan muntah, seseorang akan kekurangan selera makan serta kulit akan kelihatan pucat dan berwarna kekuningan.

“Biasanya, gejala-gejala itu akan muncul setelah beberapa minggu atau telah terjadi gangguan pada fungsi hati. Pun begitu, sesetengah pesakit mungkin tidak mempunyai gejala. Maka, amatlah perlu untuk mereka mendapatkan permeriksaan kesihatan sekiranya telah terdedah kepada risiko jangkitan,“ ujarnya.

Merujuk laman web Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC), AS ramai penghidap hepatitis tidak mempunyai simptom. Malah, lebih membimbangkan pesakit juga tidak mengetahui bahawa mereka telah dijangkiti.

Beberapa kes hepatitis kronik juga kata CDC, mengambil masa yang lama untuk berkembang.

Menyentuh mengenai komplikasi, Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sheikh Anwar Abdullah berkata, penyakit hepatitis kritikal dan kronik yang melebihi enam bulan ke atas berkemungkinan boleh menyebabkan organ hati rosak.

“Disebabkan itu, lama-kelamaan hati akan bertukar menjadi tisu fibrosis dan boleh meninggalkan parut pada hati yang dipanggil sirosis hati.

Antara tanda-tandanya adalah seperti abdomen membengkak, mudah lebam, tingkah laku dan kepekaan boleh berubah, muntah darah serta najis berwarna hitam.

Ujar Dr Sheikh Anwar, apabila sirosis hati tidak mengekalkan fungsi-fungsinya dan komplikasi sudah lagi tidak dapat dikawal, pemindahan organ hati menerusi prosedur transplan (hati) diperlukan untuk pesakit meneruskan hidup.

Dalam pada itu, menurut Healthline, dampak lain yang boleh terjadi adalah kanser hati dan ia lebih berpotensi menyerang penghidap hepatitis B dan hepatitis C.

“Jika kedua-dua jenis hepatitis tersebut sudah mencapai tahap kronik, ia akan berkembang menjadi kanser hati lebih-lebih lagi jika tidak ditangani dengan tepat,“ kata portal yang menjadi rujukan pengamal perubatan dunia itu.

Tahap kesembuhan
Menurut Dr Sheikh Anwar, hepatitis A boleh sembuh secara sendiri tanpa vaksin. Pada masa sama, ia juga mengikut sistem ketahanan badan seseorang.

Sementara itu, CDC mengesyorkan vaksin hepatitis A diberikan kepada mereka yang disenaraikan. Antaranya:

Kanak-kanak berusia setahun atau lebih tua yang tidak menerima vaksin pada zaman kanak-kanak.

Bayi berumur enam hingga 11 bulan termasuk orang dewasa yang melancong di negara yang mencatatkan peratusan tinggi dalam kes hepatitis A.

Iklan

Mereka yang mengambil anak angkat dari negara yang mempunyai statistik tinggi penyakit hepatitis.

  • Mereka yang berhubung terus dengan penghidap hepatitis A.
  • Para pekerja makmal yang mungkin bersentuhan dengan virus hepatitis A.
  • Mereka yang menggunakan jenis ubat terlarang, bukan hanya disuntik sahaja.
  • Mereka yang mempunyai penyakit hati kronik, termasuk hepatitis B atau hepatitis C.

Sementara itu, jelas Dr Sheikh Anwar, hepatitis B pula sukar untuk sembuh sepenuhnya, tetapi terdapat antivirus yang boleh mengawal jangkitan daripada sebarang komplikasi penyakit.

“Pemberian vaksin hepatitis B sangat penting untuk melindungi daripada jangkitan penyakit berkenaan.

“Vaksin akan diberikan dua atau tiga dos iaitu dos pertama, dos kedua selepas tiga bulan dan dos ketiga selepas enam bulan,“ katanya.

Beritahu pakar itu lagi, hepatitis B boleh terjadi kepada penghidapnya sepanjang hayat. Jika boleh sembuh pun, ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun selepas rawatan antivirus seperti tenofovir dan entacavir diberikan.

Bagi jangkitan hepatitis C pula, walaupun tidak mempunyai sebarang vaksin untuk mencegahnya, tetapi penghidap boleh baik sepenuhnya dalam masa tiga bulan selepas rawatan antivirus.

Sementara itu, Heatlhline yang memetik kenyataan WHO berkata, Interferon Alpha Pegylated adalah rawatan untuk hepatitis D. Pun begitu, ubat tersebut mempunyai kesan sampingan yang teruk dan tidak disyorkan untuk mereka yang mengalami sirosis, individu yang mempunyai masalah psikiatri dan pesakit autoimun.

Bagi hepatitis E, tiada terapi perubatan khusus kerana jangkitan boleh sembuh dengan sendirinya. -MAZLINA ABDUL MAJID dan NUR SUHAIMA NORDIN

 

Didiagnosis hidap hepatitis B selepas menderma derma darah banyak kali

NIAT baik Fatin Afifah (bukan nama sebenar) untuk menderma darah bertukar mimpi ngeri apabila beliau disahkan mengalami penyakit hepatitis B.

Wanita berusia 30 tahun itu berkata, pakar di sebuah hospital di pantai timur mengesahkan kondisinya. Ketika itu, dirinya baru berusia 18 tahun.

“Sebelum ini saya pernah juga menderma darah sebanyak dua kali di hospital lain, tetapi tidak dimaklumkan mengenai penyakit ini. Apabila tiba-tiba saya diberitakan ada hepatitis, saya memang terkejut besar.

Iklan

“Sudah pasti saya risau dengan hasil pendermaan darah saya sebelum ini. Saya betul-betul harap darah saya dibuang, tapi entahlah. Semuanya seperti sudah terlambat,“ katanya.

Ujar beliau, selepas disahkan mengalami penyakit tersebut, seluruh ahli keluarganya diminta melakukan ujian darah.

“Hasilnya memang memeranjatkan kerana ibu dan adik perempuan saya turut menghidap hepatitis B. Doktor maklum pada kami ia mungkin penyakit bawaan keluarga kerana hepatitis B boleh tersebar melalui pemindahan darah atau cecair dalam badan.

“Saya sedikit lega kerana suami, ayah dan anak-anak yang masih belum divaksin bebas daripada jangkitan,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fatin Afifah berkata, sejak didiagnosis, keadaan kesihatannya secara keseluruhan bertambah baik, namun dinasihatkan tidak mengambil ubat tanpa preskripsi daripada doktor terlebih dulu.

Antaranya adalah seperti ubat kurus, mahupun jamu daripada apa jua jenama.
“Pada masa sama, saya diminta melakukan pemeriksaan seperti mengambil darah dan berjumpa dengan pakar setiap enam bulan sekali.

“Selain pengambilan pemakanan yang sihat dan seimbang, saya juga perlu kurangkan makanan berminyak, di samping digalakkan untuk sentiasa bersenam,“ katanya.

Fatin Afifah yang kini hamil anak ketiga memberitahu, beliau diminta untuk melakukan pemantauan di klinik setiap dua minggu sekali bagi memastikan kandungannya sentiasa dalam keadaan baik.-NUR SUHAIMA NORDIN

Baca juga: Terlebih minum air boleh bawa maut, pesakit buah pinggang, jantung diminta lebih berwaspada

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.