MENJELANG musim perayaan ini, pastinya ramai yang teruja untuk menyambutnya terutamanya kanak-kanak.

Apatah lagi apabila berjumpa saudara-mara dan sepupu ketika berkunjung, mereka akan bermain sepuas-puasnya.

Disebabkan itu, ibu bapa perlu mengutamakan keselamatan kanak-kanak kerana mereka lebih senang jatuh dan terhantuk ketika bermain.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, jatuh merupakan kecederaan yang kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun.

Baca juga Wanita maut terjatuh, tergelincir ketika rakam foto, ini kronologi kejadian

Hal ini kerana mereka berada dalam fasa sifat ingin tahu. Pada masa yang sama, mereka juga sedang mengalami pertumbuhan badan dan tulang.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Trauma dan Ortopedik Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Maria Wong, kes kecederaan seperti terjatuh dan patah tulang dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan peningkatan yang ketara ketika musim perayaan disebabkan aktiviti kunjung-mengunjung dan pelancongan dilakukan pada waktu itu.

“Lazimnya, kes patah tulang yang dialami mereka terjadi pada bahagian siku, tulang lengan dan pergelangan tangan kerana mereka cenderung menghimpit atau menekan tangan semasa jatuh,” katanya sambil memberitahu, jenis patah tulang juga berbeza dan dinilai berdasarkan kumpulan umur kanak-kanak.

Bagi golongan yang berusia bawah empat tahun, kes tidak patah tulang sepenuhnya berlaku tanpa menunjukkan perubahan bentuk tulang yang serius dan ketara seperti plastic deformation (tulang berubah bentuk), buckle (apabila tulang saling berhimpit sesama sendiri) dan greenstick fractures (tulang bengkok dan retak).

Sementara yang berusia lebih empat tahun pula, mereka boleh mengalami keadaan yang dipanggil Growth Plate Injury. Pun begitu, kesemua keadaan ini sering dipandang remah kerana dianggap sebagai lebam atau kecederaan tisu lembut yang tidak bahaya.

Dr Maria turut berkongsi panduan untuk mengesan kesan yang dialami seseorang sama ada ia merupakan jatuh biasa atau tidak. Antaranya:

Iklan

i. Melihat reaksi anak-anak terhadap anggota badan yang terjejas.
- Kanak-kanak mungkin tidak mampu memberitahu simptom yang dialami atau menunjukkan bahagian yang sakit kepada ibu bapa.
- Jadi, ibu bapa perlu memahami riak wajah serta reaksi mereka semasa dan selepas berlakunya insiden jatuh itu.

ii. Rasa sakit dan bengkak pada anggota yang terjejas berlarutan selepas 48 jam.
- Ia boleh menjadi petanda awal mereka patah tulang.
- Kanak-kanak yang cedera akan mengelak daripada menggunakan bahagian anggota badan yang cedera.
- Mereka juga akan menangis apabila bahagian badan yang terkesan disentuh atau digerakkan

DAPATKAN RAWATAN SEGERA

Dalam pada itu, Pengarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Wee Tong Ming berkata, ibu bapa perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya anak mengalami kesakitan yang berlanjutan atau terdapat perubahan bentuk pada anggota badan yang terjejas ketika jatuh.

Baca juga ‘Tersungkur dan jatuh atas jalan…’ – Awal Ashaari dedah punca Lara Alana patah tangan

Iklan

“Selain itu, sila ketemu sekiranya anak tidak mahu menggerakkan anggota badan atau berlaku pembengkakan yang tidak surut selepas 48 jam.

“Rawatan awal sangat penting kerana sekiranya berlaku tulang patah dan serpihan tulang menjadi tidak selari, splint (alat untuk menyokong anggota yang patah dan terseliuh) diperlukan bagi mengawal pergerakan supaya tidak berlebihan yang boleh mengakibatkan kecederaan lain di bahagian struktur saraf dan salur darah,” kongsinya.

Tambah beliau lagi, patah tulang sukar dikesan tanpa bantuan ujian pemeriksaan seperti ujian X-ray.

Bukan itu sahaja, diagnosis dan rawatan yang lewat untuk kecederaan seperti growth plate structure boleh menyebabkan masalah tumbesaran pada bahagian tulang terkesan sehingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak.

Dr Tong Ming turut berkongsi mengenai proses penyembuhan. Jelasnya, ia boleh mengambil masa enam hingga 12 minggu bergantung kepada tahap kecederaan itu sendiri.

Serentak dengan itu, pakar itu menyarankan ibu bapa untuk sentiasa memastikan anak mereka mengikuti pelan rawatan yang disarankan doktor seperti balutan simen (casting), menggunakan alat sokongan (splinting) atau pembedahan.

“Sokongan emosi juga penting dalam situasi itu agar anak-anak faham bahawa semua yang dialami merupakan sebahagian daripada proses penyembuhan,” katanya.

Justeru, kepada ibu bapa di luar sana, beraya tetap beraya, namun pastikan anak anda sentiasa dipantau dengan baik. Kita tak mahulah, waktu lebaran ini kita terpaksa 'singgah' di hospital pula.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI