Pernah dengar bayi bernafas seperti berdengkur? Ini sebabnya yang mak ayah perlu tahu

BUAT kaum Hawa yang pertama kali bergelar ibu, sudah pasti kalian berasa kekok dan berdebar saat menguruskan anak buat pertama kali.

Masakan tidak, segala gerak-geri dan perilaku si comel perlu diperhatikan dengan begitu teliti kerana mereka masih lagi kecil dan tidak boleh untuk mengadu apa-apa.

Jadi, menerusi perkongsian pada kali ini, SinarPlus ingin membincangkan tentang masalah kesihatan si kecil yang perlu ibu bapa ambil tahu.

Mungkin ada di antara kalian yang pernah berhadapan keadaan bayi bernafas dengan begitu kuat seperti berdengkur lebih-lebih lagi ketika menangis.

Kredit foto: Emma Bauso

Jika situasi itu pernah terjadi, anak anda berkemungkinan menghidap laryngomalacia.

Untuk mengulas lanjut tentang permasalahan itu, SinarPlus merujuk penulisan perubatan MedTweetMY Official di laman sosial Twitter.

Beritahu MedTweetMY, laryngomalacia merupakan masalah kongenital dalam kalangan bayi yang disebabkan oleh salur pernafasan pada bahagian tisu larinks (kotak suara) yang lembut atau pramatang.

Tambahnya lagi, nafas berbunyi merupakan masalah paling biasa berlaku dalam kalangan bayi terutamanya bayi yang lahir tidak cukup bulan.

Bagaimanapun, MedTweetMY berkata, penyebab utama ia berlaku masih belum diketahui.

Kredit foto: Lisa Fotios

Namun, faktor penyumbangnya adalah berpunca daripada struktur kotak suara yang kekurangan otot atau rawan yang rapuh dan mengakibatkan tisu larinks menutupi saluran pernafasan.

Laman sosial perubatan itu turut menyenaraikan gejala-gejala lain, antaranya seperti:

i) Bayi yang ada masalah itu akan mengalami gangguan penyusuan seperti tersedak.
ii) Mengalami masalah pertambahan berat badan.
iii) Si kecil yang ada laryngomalacia akan mengalami perubahan warna kulit menjadi kebiru-biruan.
iv) Apnea (pernafasan bayi terhenti dengan begitu lama).

Tidak lengkap sekiranya penulisan jika hanya membincangkan tentang perkara itu sahaja. Jadi untuk mendapatkan penerangan mengenai perawatan, SinarPlus merujuk laman perubatan Healthline.

Healthline yang memetik kenyataan Children’s Hospital of Philadelphia berkata, kebanyakan kanak-kanak yang ada laryngomalacia tidak mendapatkan apa-apa rawatan selagi umur mereka tidak mencecah usia dua tahun.

Bagaimanapun, sekiranya si kecil berhadapan kesukaran untuk menyusu sehingga berat mereka tidak bertambah, mereka berkemungkinan memerlukan pembedahan segera.

Iklan
Kredit foto Polina Tankilevitch

Berikut penjelasan mengenai kaedah perawatan yang bakal diberikan:

i) Laryngoscopy: Pemeriksaan bahagian dalam larinks dengan menggunakan laringoskop.

ii) Bronchoscopy: Ujian ini bertujuan untuk memeriksa salur pernafasan si kecil dengan menggunakan alatan bronkoskop (teropong).

iii) Supraglottoplasty: Setelah melalui proses laringoskopi dan bronkoskopi, pembedahan diteruskan dengan menggunting atau melaser. Pembedahan itu melibatkan bahagian rawan kotak suara dan epiglotis (struktur rawan nipis di pangkal lidah) tisu di kerongkong yang menutupi salur udara apabila makan.

Iklan

Bagi ibu bapa yang berhadapan dengan keadaan anak-anak nafas berbunyi dengan begitu kuat, jangan ambil mudah sebaliknya segera dapatkan konsultasi bersama doktor untuk mengetahui masalah yang dihidapi si kecil.

Baca juga:Para ibu kena kawal pemakanan, ubatan dan penyakit kencing manis untuk elak bayi menderita jantung berlubang

Baca juga:Ibu dakap, kucup bayi tidak bernyawa, meninggal dalam bas ekspres, tidak sempat pergi hospital

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi