BULAN Ramadan dilihat sebagai peluang terbaik kepada si perokok untuk cuba berhenti merokok kerana mereka akan bebas daripada merokok selama lebih kurang 14 jam berpuasa pada siang hari sepanjang Ramadan.

Namun, cubaan untuk berhenti merokok ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah dilakukan oleh perokok kerana kesan ketagihan nikotin adalah amat ketara terutamanya pada peringkat awal cubaan untuk berhenti merokok.

Walau bagaimanapun, melalui keberkatan bulan Ramadan ini, hasil kajian mendapati 95 peratus perokok muslim menyatakan bahawa mereka lebih mudah untuk berhenti merokok ketika dalam bulan Ramadan.

Perokok juga boleh amalkan tip 8M untuk membantu mereka dalam proses menahan diri daripada merokok:
1. Melengah-lengahkan diri setiap kali teringat untuk merokok semula
2. Menarik nafas panjang setiap kali teringat untuk merokok
3. Minum segelas air setiap kali terfikir untuk merokok (Bukan air bergula)
4. Membuat sesuatu seperti melakukan ibadat solat tarawih bagi mengalih perhatian daripada menghisap rokok
5. Mengunyah sesuatu seperti gula-gula getah agar perhatian terhadap rokok dikurangkan
6. Membasahkan tangan agar menghalang diri daripada memegang rokok. (Perokok tidak memegang rokok dalam keadaan tangan yang basah)
7. Melakukan senaman ringan
8. Memohon doa agar dikuatkan azam untuk berubah kepada seseorang yang bebas rokok.

Kesimpulannya, individu yang merokok digalakkan untuk mengambil peluang pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan keampunan ini untuk berubah menjadi individu yang berjaya berhenti merokok buat selamanya.

Iklan

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga ada menyediakan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok. Orang awam boleh rujuk ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan untuk berhenti merokok daripada profesional kesihatan yang terlatih.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang.

Iklan

Sumber: Medical Mythbusters Malaysia (M3)