PANORAMA indah yang amat mengagumkan telah melonjakkan nama Tanjung Balau sebagai lokasi pelancongan utama di Johor. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa di tepi pantainya yang indah menghasilkan irama lautan yang amat mengasyikkan.

Keindahan tarikan pelancongan yang terletak di daerah Kota Tinggi, Johor itu pastinya menggamit perhatian sesiapa sahaja untuk berkunjung ke situ.

Terletak kira-kira 74 kilometer (km) dari bandaraya Johor Bahru, Tanjung Balau memiliki keindahan pantai, kehijauan hutan paya bakau, ketenangan menelusuri sungai, keunikan tradisi, budaya dan makanan eksotik.

Kompleks Tanjung Balau merupakan salah satu produk dan destinasi pelancongan yang dibangunkan dan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Keindahan pantai yang menghadap Laut China Selatan menjadi tarikan utama Kompleks Tanjung Balau selain pelbagai kemudahan yang disediakan kepada para pengunjung termasuk tapak perkhemahan, tandas, bilik bilas, kedai makan dan surau.

Pihak KEJORA menganjurkan program dan aktiviti promosi pelancongan di Tanjung Balau atau di Muzium Nelayan pada setiap tahun antaranya Karnival Seni (FESENI), Night@Museum, Treasure Hunt, Explorace serta Karnival Aspirasi Pendidik.

Pantai Tanjung Balau kini menjalani kerja-kerja menaik taraf dan apabila siap kelak ia akan berwajah baharu dengan kemudahan dan fasiliti yang ditambah baik untuk keselesaan pengunjung seperti laman food truck, dataran, plaza serta banyak lagi.

TANJUNG BALAU
PANTAI Tanjung Balau yang mendamaikan.

Selain Kompleks Tanjung Balau, terdapat banyak lagi destinasi pelancongan berhampiran yang boleh dilawati para pelancong.

Bayu Balau Beach Resort tawar penginapan menarik

Terdapat kemudahan penginapan bajet ideal untuk seisi keluarga ditawarkan di Bayu Balau Beach Resort yang diuruskan anak Syarikat Kejora iaitu Kejora Development Holding Sdn Bhd.

Bayu Balau Beach Resort menawarkan penginapan chalet, resort atau dormitori untuk jumlah ahli yang lebih ramai.

Kemudahan penginapan juga boleh diperolehi di Tiara Desaru Seaview Residence yang terletak kira-kira 5km sahaja dari Bayu Balau Beach Resort.

Tarikan sejarah Muzium Nelayan

Selain aktiviti pantai, para pengunjung boleh mendalami peradaban kehidupan masyarakat nelayan tradisional Malaysia di Muzium Nelayan yang merupakan satu-satunya muzium seumpama itu yang terdapat di Asia.

Terdapat lima galeri yang disediakan iaitu Galeri Utama yang memaparkan diorama Perkampungan Nelayan Tradisional, Galeri Geologi, Galeri Kapal Karam Desaru, Galeri Keselamatan Laut dan Galeri Bermusim yang memaparkan tema-tema berbeza pada setiap tahun.

Taman Warisan Geologi dan Perkampungan Nelayan Tradisional Taman Warisan Geologi pula menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung yang ingin mendapatkan informasi berkaitan geologi atau menikmati pemandangan indah dengan melalui board walk yang disediakan.

Taman Warisan Geologi merupakan salah satu lokasi yang termasuk di dalam jajaran kawasan antara Tanjung Balau –Batu Layar yang kini dalam proses pewartaan oleh Jabatan Warisan Negara.

Pengunjung juga boleh melawat Tanjung Balau Perkampungan Nelayan Tradisional yang terletak di dalam Kompleks Tanjung Balau bagi melihat sendiri kehidupan sebenar masyarakat nelayan.

Aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh para pengunjung adalah menaiki ATV, melawat taman arnab, memancing laut dalam, menaiki kereta kuda dan menunggang kuda.

Belangkas di Sedili Kecil

Lawatan ke Tanjung Balau tidak lengkap jika pengunjung tidak ke Sedili Kecil yang terletak kira-kira 32km dari Tanjung Balau.

Para pengunjung boleh melawat Pusat Ternakan dan Penetasan Belangkas yang merupakan sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar.

TANJUNG BALAU
PUSAT Penetasan Dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil.

Darah belangkas berwarna biru dan digunakan untuk tujuan perubatan manakala daging dan telurnya sangat enak untuk dimakan.

Panorama hutan paya bakau

Terletak kira-kira 4km dari Pusat Ternakan dan Penetasan Belangkas ini, para pengunjung boleh mengunjungi The Wetlands Belukar Durian yang menawarkan pengalaman menelusuri Sungai Sedili Kecil dengan pemandangan hutan paya bakau yang sangat mendamaikan.

Eksplorasi hutan paya bakau boleh diteruskan dengan melalui board walk, yang disediakan dan pengunjung boleh menjamu selera di Restoran Terapung yang terletak di dalam kawasan yang sama.

Pengunjung juga boleh memilih untuk menginap di chalet atau di dormitori kerana eksplorasi The Wetlands Belukar Durian pastinya memerlukan masa yang panjang.

Iklan

Taman Air Desaru Coast

Selain ke Sedili Kecil, dari Kompleks Tanjung Balau, pengunjung boleh memilih untuk berekreasi di Taman Tema Air Desaru Coast yang terletak kira-kira 11km sahaja.

Pelbagai pilihan penginapan bertaraf lima bintang terdapat di sekitar Desaru seperti Lotus Desaru Beach Resort, Sand & Sandals Desaru Resort & SPA, Tunamaya Beach & SPA Resort, Hard Rock Hotel, Westin Desaru Coast Resort, Anantara Desaru Coast dan One & Only Desaru Coast.

Terletak kira-kira 24km dari Tanjung Balau, pengunjung boleh berkelah di Pantai Punggai dan terdapat juga kemudahan penginapan berupa chalet iaitu D’Punggai Chalet.

Burung unta dan mendaki Bukit Belungkor

Jika berminat dan ingin mengetahui lebih mendalam tentang burung unta, pengunjung boleh melawat Taman Ostrich.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pengalaman eko pelancongan di Linting Wetlands yang terletak kira-kira 50km dari Tanjung Balau.

Antara aktiviti lain yang boleh diterokai ialah mendaki Bukit Belungkor setinggi 283 meter, menelusuri Sungai Johor, explorasi Hutan Paya Bakau, memancing di rakit dan banyak lagi.

TANJUNG BALAU
TANJUNG BALAU memiliki keindahan pantai, kehijauan hutan paya bakau, ketenangan menelusuri sungai, keunikan tradisi, budaya dan makanan eksotik.

Bagi menambah pengetahuan, pengunjung boleh melawat enam galeri yang terdapat di Kampung Tanjung Surat atau Kampung Linting iaitu Galeri Warisan Sejarah dan Budaya, Galeri Eko Bakau, Galeri Nelayan Rumah Rakit, Galeri Warisan Jong, Galeri Pendidikan Pulau Tanjung Surat dan Galeri Hidup – Gedung Dato’ Penggawa Timur.

Iklan

Taman Buaya Teluk Sengat

Terletak kira-kira 30km dari Tanjung Balau, Taman Buaya yang terletak di Teluk Sengat antara destinasi menarik yang boleh dikunjungi.

Pengunjung boleh melawat ke Muzium Johor Lama, menikmati makanan laut, memancing di rumah rakit, melawat tapak-tapak peninggalan sejarah Kota Johor Lama dan boleh memilih penginapan di homestay atau chalet.

Desaru Fruit Farm

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati buah-buahan tropika di Desaru Fruit Farm yang terletak 9km dari Tanjung Balau sebelum bertolak pulang kerana lokasi itu terletak kira-kira 2km sahaja dari Plaza Tol Penawar.

INFO

  • Tanjung Balau terletak kira-kira 74km dari Bandaraya Johor Bahru.
  • Akses pengangkutan udara – Lapangan Terbang Senai kira-kira 80km untuk ke Tanjung Balau.
  • Pengangkutan air – Terminal Feri Tanjung Belungkor dan Terminal Feri Tanjung Pengelih.
  • Pelancong dari Batam, Indonesia boleh menggunakan Terminal Feri Belungkor.
  • Pelancong dari Singapura boleh menggunakan Terminal Feri Tanjung Pengelih.

Oleh NOR AZURA MD AMIN

Foto LEMBAGA KEMAJUAN JOHOR TENGGARA (KEJORA)