Pilu! Pensyarah UPSI mengalir air mata, tak mampu mulakan kuliah pagi. '5 anak didik terlibat kemalangan, 2 meninggal dunia...'

SUASANA suram dan pilu masih menyelubungi seluruh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selepas tragedi menyayat hati yang meragut 15 nyawa penuntut institusi itu dalam satu kemalangan bas carter awal pagi Isnin lalu.
Tiada siapa menduga, kepulangan mereka ke kampus untuk meneruskan pembelajaran selepas menyambut Hari Raya Aidiladha berakhir dengan pemergian beramai-ramai yang begitu memilukan.
Momen menyayat hati itu bukan sahaja merobek hati ahli keluarga mangsa, malah turut meninggalkan kesan yang mendalam pada seluruh warga universiti awam berkenaan.
Turut merasakan kehilangan yang sama, seorang pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Profesor Madya Dr Zulfiqar Shah A. Hadi tidak mampu menahan sebak ketika memulakan sesi kuliah pada pagi Selasa.
Dalam linangan air mata, kesedihan itu semakin mendalam apabila lima mahasiswi yang terlibat dalam kemalangan tragis itu rupa-rupanya merupakan pelajar dari fakulti yang sama.
Katanya, dua daripada lima mahasiswi tersebut disahkan terkorban dalam tragedi itu iaitu Allahyarhamah Sufea Adela Maslihaizan dan Allahyarhamah Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir.
Manakala, tiga lagi pelajar mengalami kecederaan serius dengan seorang daripadanya kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan telah menjalani pembedahan segera.
“Permulaan kelas tadi, suasana pilu di UPSI. Sungguh kami berduka. Lima mahasiswi, anak didik kami di FSK UPSI terlibat dalam kemalangan ini.
"Dua daripadanya meninggal dunia, seorang cedera kritikal (pembedahan segera di kepala), seorang cedera parah (dalam rawatan) dan seorang patah tangan. Moga ALLAH mudahkan segalanya,” tulis dalam hantaran di Facebook.
Dengan tanda pagar #UPSIberduka, hantaran tersebut turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada pengguna media sosial, khususnya dalam kalangan alumni yang nyata terkesan dengan tragedi menyayat hati itu.
Rata-rata menyifatkan insiden tersebut sebagai kehilangan besar kepada dunia pendidikan, dan berharap agar keluarga mangsa terus tabah dalam menghadapi dugaan berat ini.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang