BANGUNAN terbengkalai sering dikaitkan dengan kisah misteri dan mistik. Bagi pengikut cerita seram, pasti tahu kisah-kisah popular dan legenda di Malaysia yang mampu membuat bulu roma meremang.

Terbaharu, filem Town Mall menampilkan kisah inspirasi daripada kisah benar yang diadaptasi daripada novel bergenre seram terlaris karya Hasrudi Jawawi terbitan Buku Prima.

Filem terbitan Enuja Production ini awalnya dijadualkan untuk tayangan pawagam pada 26 Mac lalu, namun kini, Astro Shaw dengan sukacitanya membawa terus ke pawagam rumah anda menerusi saluran Astro First (480) mulai 25 Jun 2020.

Pembikinan filem Town Mall yang mengambil masa 25 hari penggambaran itu menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti  Datuk Seri Eizlan Yusof, Reen Rahim, Intan Ladyana, Nynaa Harizal, Adam Shahz, Datuk Jalaluddin Hassan, Erry Putra, Hafizuddin Fadzil, Nor Albaniah, Ku Faridah dan Faradhiya.

EIZLAN YUSOF
Eizlan membawakan watak utama dan juga menggalas tanggungjawab selaku pengarah filem.

Lebih mengujakan, ini merupakan naskhah pertama Eizlan yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem.

Penerbit, Zainuddin Mohd Ismail menzahirkan rasa penuh keterujaan kerana filem Town Mall akhirnya bakal menemui penonton.

“Saya selaku penerbit bersama barisan kru dan pelakon tidak sabar untuk menunggu reaksi penonton kelak.

“Sokongan daripada pihak Astro Shaw yang membuka ruang buat penerbit untuk menayangkan filem dalam tempoh sekarang ini, memberikan saya lebih keyakinan dan percaya potensi filem ini untuk mendapat sambutan positif.

Iklan

“Saya berharap kehadiran filem ini mampu menjadi pencetus dan mencipta penanda aras baru dalam adaptasi filem daripada novel seram, kerana sebelum ini amat jarang kita lihat naskhah-naskhah novel seram diangkat ke layar perak,” katanya.

Town Mall mengisahkan tentang projek pembinaan yang telah terbengkalai selama 10 tahun akibat gangguan halus dan kini sebuah syarikat pembinaan terkenal cuba menyambung semula kerja-kerja dengan harapan bangunan itu akan menjadi sebuah pusat beli-belah terkemuka.

Pengurus projek iaitu Rusdi ditugaskan untuk memantau projek baru itu. Pada awalnya pembinaan itu berjalan dengan lancar, sehingga suatu hari kejadian sama dari 10 tahun lalu berlaku semula.

Iklan
town mall
Antara babak di dalam filem Town Mall.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kisah seram menerusi filem Town Mall yang ditayangkan terus ke pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480 bermula 25 Jun 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.