'Tujuh tahun tunggu saat ini, selamat kembali kepada fitrah mak.' Muhammad Mikhael syukur doa 12 hari di Tanah Suci makbul
SETIAP anak mengimpikan untuk melihat ibu yang disayangi hidup tenang dan bahagia, lebih-lebih lagi apabila dapat bersama menuju jalan yang diredai ALLAH.
Itulah yang dirasai Muhammad Mikhael Sathayah apabila doanya dimakbulkan. Saat yang dinanti selama ini datang dengan penuh air mata, ibunya kini mendapat hidayah Islam, selepas bertahun-tahun berdoa dan menanti.
"Selamat kembali kepada fitrah Puan Maimunah Sathayah Binti Muniandy atau Mak Titew. Hidayah sesungguhnya milik ALLAH.
"Syukur Alhamdulillah, akhirnya mak kita masuk Islam. Rasa macam mimpi saat ini. Tujuh tahun tak pernah berani nak ajak mak.
"Pengorbanan mak besar sangat. Ketika kita mencari jiwa, mak benarkan saya masuk Islam. Tak ada balasan yang dapat membalas jasa mak.
"Terima kasih mak. Seorang ibu yang hanya nak lihat anaknya bahagia, besarnya pengorbanan mak," titipnya.
Harapan pempengaruh dari Tambun, Perak itu cukup besar untuk melihat ibunya, Maimunah menjadi Muslim. Malah beliau tidak putus berdoa agar wanita itu diberi hidayah dan terbuka hati untuk menerima Islam ketika di Tanah Suci.

Pempengaruh memiliki hampir 600,000 pengikut di TikTok itu juga amat menghargai pengorbanan si ibu yang terpaksa berdepan tekanan dan penolakan daripada keluarga sendiri selepas beliau memeluk Islam. Tidak kurang salah faham dan tekanan budaya yang sering dialami oleh mualaf apabila menukar agama.
"Hanya mampu berdoa ketika di umrah 12 hari. Doa, "Ya ALLAH, berikanlah hidayah kepada ibuku. Bukalah pintu hatinya."
"Mak, saya nak mak sentiasa bersama saya. Walaupun di luar nampak bahagia dan gembira di lubuk hati itu sentiasa mendoakan hidayah mak.
"Mak ialah ibu yang terbaik di dunia, saya sayang mak. Dengan kecaman dan ancaman daripada keluarga sendiri. Yang kata masuk Islam, kena tukar nama bapa dan macam-macam.
"Dengan berkat doa mak, dapat berkahwin. Dapat pulak menantu yang betul-betul sayangkan mak. Mak pula -sangat sayangkan menantu. Ya Allah, rezeki.
"Ya ALLAH, dua bidadari hatiku. Kami bertiga sangat bahagia tapi lubuk hati masih menanti hidayah mak," tuturnya.

Dalam pada itu, Muhammad Mikhael mendedahkan bonda tercinta pernah jatuh sakit. Rasa bimbang kehilangan insan tersayang dan keinginan melihat ibunya memeluk Islam semakin kuat hingga beliau perlu mengambil ubatan.
Namun segala urusan akhirnya dipermudahkan selepas Maimunah bersetuju melafazkan syahadah dan menjadi Muslim. Malah proses yang dijangka memakan masa tiga bulan berlaku dalam masa sehari.
"Mak sentiasa bersama dalam semua kejayaan saya sehingga baru-baru ini mak kurang sihat. Mak dengan nada bergurau. Kata "Kalau mak sudah tiada nanti, Mika dengan Murni jaga diri."
"Saya tidak mahu kehilangan mak. Saya hendak mak sentiasa bersama saya. Saya beranikan juga diri ajak mak. "Mak ikutlah saya. Masuk Islam mak, kita bertiga saja, mak. Saya hendak sentiasa bersama dengan mak."
"Daripada kemurungan sampai makan ubat tekanan jiwa fikirkan apa akan jadi pada mak. Satu hari nanti kalau mak tak ada, apa akan jadi pada saya?

"Syukur Alhamdulillah hidayah ALLAH. Hidayah-NYA sangat kuat. Semasa itu saya telefon ustaz, (saya katakan) mungkin lagi dua hingga tiga bulan.
"Ustaz kata, datang esok boleh tak? Rasa macam semuanya berjalan dengan sendiri. Hidayah ALLAH memang hebat.
"Tak sangka begitu mudah ALLAH berikan hidayah kepada mak. Terima kasih, Mak. Terima kasih, sayang. Murni Azwar yang menjadi menantu yang sangat baik dan memberikan segala kebahagiaan.
"Terima kasih mak. Sekarang kita dah bersama, bertiga. Terima kasih, pengorbanan mak sangat besar. Selamat kembali kepada fitrah," kongsinya.
SinarPlus terdahulu berkongsi berita proses Muhammad Mikhael menerima hidayah hdan memeluk Islam pada September 2018.
Meskipun berlainan agama ketika itu, Maimunah tidak pernah jemu memberikan sokongan, malah menghadiahkan kelengkapan solat buat Muhammad Mikhael dan sanggup menunggu di luar masjid setiap kali anaknya menunaikan solat berjemaah.
Sumber: TikTok
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
