'Bila pulang, penat macam mana pun akan bantu isteri' – Remy Ishak kongsi cara seimbangkan kerjaya & family

No Image Caption
A
A
A

WAJAHNYA mungkin sudah melewati usia 43 tahun, namun pesona Datuk Remy Ishak tetap teguh di mata peminat, seakan tidak pernah dimamah masa. 

Gelaran “Hero Malaya” yang sering melekat pada dirinya bukan sekadar kerana raut tampan atau aura yang menyinari layar, tetapi kerana kematangan jiwa, dedikasi dan kesungguhan yang tidak pernah goyah dalam perjalanan seni.

Bagi aktor berwibawa ini, setiap langkah kini bergerak selari dengan usia. Jika dahulu apa sahaja watak diterima tanpa banyak soal, hari ini pemilihan lebih berhati-hati, penuh pertimbangan dan sarat makna. 

“Saya rasa sekarang inilah waktunya untuk memilih watak yang benar-benar terbaik untuk disampaikan kepada masyarakat. Sama ada pembantu atau utama, setiap karakter itu ada nilai. 

"Bezanya, tiada lagi ruang untuk main-main,” ujarnya penuh tenang.

Pemilik nama penuh Mohammad Zalimei Ishak itu percaya lakonan bukan sekadar hiburan kosong. Ada sisi pendidikan, ada ruang mendidik, ada pantulan realiti kehidupan yang perlu digarap sebaiknya. 

Maka tidak hairan jika beliau lebih cenderung memilih karya yang bersifat universal, realistik dan meninggalkan kesan kepada penonton. Baginya, lakonan adalah medium infotainmen sebuah cara halus untuk generasi lama menitipkan pelajaran kepada generasi baharu.

Artikel Berkaitan:

Remy pada majlis memperkenalkan beliau sebagai duta Alicafe baru-baru ini.
Remy pada majlis memperkenalkan beliau sebagai duta Alicafe baru-baru ini.

Tatkala berbicara soal persaingan, anak jati Melaka itu tidak mudah gentar. Beliau pernah mendengar pesan Rosyam Nor bahawa jangka hayat seorang hero tidak panjang. Namun, keyakinan dalam dirinya menolak batas itu.

"Bagi saya kalau kita fikir jadi hero cuma untuk lima tahun, kita akan dapat tempoh itu. Kalau kita asyik fikir pasal orang lain, siapa nak fikir untuk diri saya sendiri?

"Atas sebab itu saya tolak tepi semua yang tidak perlu. Alhamdulillah saya dikaburkan dengan skrip yang bagus, tanggungjawab sebagai duta.

"Kalau kita sibuk dengan kehidupan orang lain, hati jadi tidak ikhlas, rezeki pun susah. Jadi lebih baik fokus dengan diri sendiri, rezeki itu akan datang dengan cara tersendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan beliau sebagai duta terbaharu jenama minuman Alicafe di TRX Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun semakin matang, Remy tidak pernah memandang enteng cabaran watak berat. Antagonis misalnya, sering menguji tenaganya. 

“Ada yang tanya, cukupkah lagi tenaga untuk watak penuh emosi besar ini? Saya jarang marah orang dalam kehidupan sebenar, tapi bila di set, tenaga itu tetap ada. Itu cabaran yang saya suka,” luahnya dengan senyum sederhana.

Relevan

Dalam dunia yang semakin terikat dengan media sosial, Remy memilih jalan berbeza. Dia sedar ada yang beranggapan dirinya tidak relevan kerana tidak terlalu aktif di alam maya. 

Namun, bagi pelakon ini, relevan sebenar lahir melalui karya. 

“Saya tidak mahu memperhambakan diri pada media sosial, bimbang nilai diri jadi rendah. Saya ada projek filem dan drama, itu sudah cukup untuk membuat saya kekal di hati penonton,” ujarnya jujur.

Selain lakonan, cita-cita untuk mengarah juga mula berputik. Ada cerita yang ingin dikongsikan, ada naskhah yang sudah dibayangkan. Namun buat masa ini, langkah itu masih ditangguhkan. 

“Kerusi pengarah itu mahal. Jalan cerita perlu kuat, tenaga kerja mesti mencukupi. Mungkin suatu hari nanti, apabila ALLAH sudah tentukan waktunya, saya akan benar-benar bersedia,” jelasnya ringkas.

Remy menyifatkan kini bukan masa lagi untuk main-main.
Remy menyifatkan kini bukan masa lagi untuk main-main.

Menyentuh tentang status Datuk yang diterima pada 2024, Remy menganggap ia bukan beban, tetapi amanah yang harus digalas dengan penuh wibawa. 

“Saya tidak rasa terbeban membawa gelaran itu cuma saya pastikan menjaga baik gelaran yang diberikan kerana ia mencerminkan prestij dan nama baik individu bergelar Datuk di Malaysia. Jadi saya perlu menjaganya sebaik mungkin,” ujarnya.

Ketua keluarga

Di sebalik kesibukan, bintang yang mula dikenali menerusi filem Anak Halal itu tidak pernah lupa bahawa peranan terbesarnya bukan sekadar menghidupkan watak di layar, tetapi menjadi sandaran sebuah keluarga kecil yang memerlukan sentuhan kasih dan perhatian.

Gelaran “Hero Malaya” yang digalasnya di layar perak tidak lebih besar daripada tanggungjawab yang menanti setiap kali dia melangkah pulang ke rumah.

Biarpun sibuk dengan kerjaya seni, keluarga tetap jadi keutamaan.
Biarpun sibuk dengan kerjaya seni, keluarga tetap jadi keutamaan.

Mengakui jadual seninya adakalanya merampas masa bersama anak, Tuah Alam, 2 tahun, Remy tidak menafikan ada ketika si kecil lebih mesra dengan isterinya, Ezza Yusof yang banyak menguruskan keperluan harian. 

Namun, jauh di sudut hati, pelakon berusia 43 tahun itu tetap berusaha mengekalkan ikatan kasih sayang meskipun jarak waktu sering menjadi penghalang.

“Alhamdulillah saya dikurniakan isteri yang memahami. Walaupun saya sibuk, dia akan curi masa bawa anak datang ke set supaya saya tidak terlepas momen membesar. 

"Bila saya pulang, penat macam mana pun saya akan bantu dia uruskan rumah kerana dia juga ada tugas kerja dan anak yang perlu di jaga.

"Jadi saya harap selepas ini, saya ada masa untuk bercuti panjang sedikit mungkin dua bulan bagi meluangkan lebih masa bersama keluarga,” ujarnya yang sentiasa cuba menyeimbangkan antara kerjaya dan rumah tangga.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang