Jangan sembarangan buang karang gigi dari rumah! Dapat nasihat doktor khuatir kerosakan teruk dari dalam

No Image Caption
A
A
A

PENJAGAAN kesihatan pergigian yang baik membantu mencegah masalah gigi rosak dan penyakit gusi baik kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Malah, situasi mulut yang tidak sihat terutamanya mengundang masalah nafas berbau dan ini boleh menyebabkan seseorang berasa rendah diri dan kurang berkeyakinan ketika berhadapan dengan orang ramai.

Walaupun sebelum ini ramai yang waswas atau takut untuk mendapatkan rawatan di klinik gigi, namun pendedahan dan maklumat daripada pakar di media sosial banyak membantu membuka mata ramai tentang kepentingan penjagaan kesihatan mulut.

Sementelah, kini terdapat rawatan yang lebih canggih berbanding dahulu, selaras dengan kemajuan teknologi.

Pun begitu, masih ada segelintir masyarakat yang memilih untuk melakukan rawatan sendiri di rumah. Apatah lagi, peralatan tersebut mudah didapati terutama dalam talian.

Menurut Pakar Periodontik di Artius Encia Dental Specialist, Dr. Jeanette Chua, kebanyakan orang tidak menyedari bahawa penskaleran dan pengetaman akar melibatkan proses pembersihan yang lebih mendalam, jauh ke dalam gusi untuk membuang plak dan karang gigi.

No Image Caption

“Penting bagi doktor gigi melakukan pemeriksaan menyeluruh untuk mengetahui kedalaman poket gusi dan sejauh mana kerosakan yang telah berlaku pada tulang. Proses X-ray juga diperlukan untuk mengenal pasti kedalaman poket tersebut. Selepas itu, barulah gigi dibersihkan untuk membuang karang yang tersembunyi.

“Pembersihan gusi melibatkan rawatan mendalam dan jika dilakukan sendiri boleh menyebabkan kecederaan pada bahagian tersebut. Rawatan sebenar untuk gusi sering kali melibatkan pendarahan dan memerlukan anestetik bagi mengurangkan rasa sakit semasa pembersihan mendalam dilakukan,“ jelas Dr Jeanatte pada SinarPlus ketika ditemui di majlis Straumann meraikan sambutan ketujuh dekad dalam menerajui inovasi pergigian.

No Image Caption

Tambah beliau, jika pembersihan hanya pada permukaan dan doktor gigi tidak memeriksa dengan teliti, karang gigi yang masih terkumpul di dalam gusi mungkin tidak disedari. Walaupun permukaan gusi kelihatan baik, karang di dalam akan terus berkembang dengan lebih cepat, merosakkan gusi dan tulang. Ini akan menyebabkan gusi bengkak dan berdarah.

“Sama juga situasi perokok yang gusinya tidak berdarah kerana telah menebal akibat merokok, tetapi masih mengalami penyakit gusi yang terus merosakkan gigi hingga longgar. Apabila itu berlaku menandakan kerosakan sudah terlalu teruk.

“Peralatan penjagaan gigi di rumah tidak cukup kuat untuk menghilangkan karang gigi yang melekat pada akar. Oleh itu, pembersihan mendalam mesti dilakukan oleh doktor gigi dengan kaedah penskaleran dan perancangan akar, terutamanya bagi mereka yang mengalami penyakit gusi,“ tambah beliau.

No Image Caption

Penyakit gusi terbahagi kepada dua tahap:

Gingivitis (radang gusi) – penyakit gusi tanpa kerosakan tulang.

Periodontitis – penyakit gusi yang melibatkan kehilangan tulang apabila bakteria telah memasuki poket gusi.

Untuk mencegah gingivitis dan masalah gusi lain, pemeriksaan dan pembersihan setiap enam bulan di klinik pergigian adalah sangat penting.

Perubahan hormon

Ramai wanita yang mengalami masalah gusi semasa kehamilan dan menopaus. Selepas melahirkan anak, ada yang mengatakan mereka kehilangan gigi serta mengalami gusi bengkak dan berdarah. Ini disebabkan oleh perubahan hormon yang menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada jangkitan biasa yang boleh menjadi lebih serius. Jangkitan itu biasanya berupa penyakit gusi, yang mana ia tidak menyebabkan gigi berlubang tetapi boleh merosakkan gigi dengan cepat.

Apabila bakteria dan karang gigi terkumpul, ia menyerang lebih cepat dan menyebabkan gigi menjadi longgar. Namun, jika penyakit gusi ini dikesan lebih awal dan rawatan diambil sebelum kehamilan, gigi boleh diselamatkan.

Kesihatan mulut yang baik juga penting untuk anak-anak. Kajian menunjukkan bahawa penyakit gusi pada ibu hamil turut berkait rapat dengan kelahiran pra-matang kerana jangkitan pada ibu juga boleh mempengaruhi Oleh itu, penting menjaga kesihatan gigi bukan hanya untuk orang dewasa, malah kanak-kanak juga harus mendapatkan rawatan yang sama. Persatuan Pergigian Amerika (AAP) menganggap tidak membawa kanak-kanak ke doktor gigi selepas 18 bulan sebagai salah satu pengabaian terhadap mereka. Ini kerana, kanak-kanak cenderung terdedah kepada masalah gusi yang boleh berlarutan sepanjang hayat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang