Kanser serviks boleh dicegah, tapi stigma masih jadi tembok buat ramai wanita takut diperiksa

No Image Caption
A
A
A

TIADA wanita yang bersedia mendengar perkataan, “Anda menghidap kanser”. Bagi mereka yang didiagnosis dengan kanser serviks, dunia seakan terhenti seketika. 

Namun di sebalik ketakutan itu, lahir satu kekuatan luar biasa, keberanian untuk terus melangkah. 

Menurut Pakar Onkologi Klinikal,Dr Hafizah Zaharah Ahmad dari Sunway Medical Centre Velocity, ramai pesakit wanita yang beliau rawat bukan sahaja menanggung kesakitan fizikal, tetapi juga beban emosi yang panjang. 

“Pemulihan sebenar bukan sekadar menghapuskan sel kanser, tetapi mengembalikan kualiti hidup dan keyakinan diri,” katanya. 

Walaupun kadar kanser serviks di Malaysia menurun sedikit daripada 6.2 kepada 6.0 bagi setiap 100,000 wanita realitinya hampir separuh pesakit (47.1 peratus) hanya dikesan apabila kanser sudah di peringkat lanjut. 

Menurut Malaysian National Cancer Registry Report, antara tahun 2017 hingga 2021, sebanyak 47.1 peratus kes kanser serviks telah didiagnosis pada Tahap 3 atau 4, dengan perbezaan ketara antara kaum (1 dalam 207 bagi kaum Melayu, 1 dalam 132 bagi kaum Cina, dan 1 dalam 162 bagi kaum India). 

Dr Hafizah Zaharah
Dr Hafizah Zaharah

Ini menjadikan rawatan lebih mencabar dan peluang sembuh semakin tipis. 

Kebanyakan kes berpunca daripada jangkitan papillomavirus manusia (HPV), virus yang sangat lazim sehingga hampir semua individu yang aktif secara seksual akan terdedah kepadanya pada suatu ketika. Namun berita baiknya, penyakit ini boleh dicegah melalui vaksinasi HPV dan saringan berkala (pap smear atau ujian HPV). 

Selain itu, pilihan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, mengamalkan seks selamat, mengekalkan diet seimbang, dan bersenam secara berkala berpotensi menghentikan kanser sebelum ia bermula. 

Inisiatif seperti Program ROSE, yang membolehkan wanita melakukan ujian HPV sendiri dan menerima keputusan melalui talian telekesihatan, telah meningkatkan kesedaran serta kadar saringan hampir dua kali ganda dalam empat tahun terakhir. 

Malaysia kini berada di landasan untuk mencapai matlamat menjadi negara bebas kanser serviks menjelang 2030, seperti digariskan dalam Action Plan Towards the Elimination of Cervical Cancer in Malaysia 2021-2030. 

No Image Caption

Selepas rawatan selesai, perjuangan sebenar wanita bermula. Ramai pemandiri mengalami keletihan kronik, menopaus awal, kekeringan faraj, penyempitan vagina, atau bengkak kaki akibat kesan rawatan seperti radioterapi dan kemoterapi. 

Namun cabaran emosi sering lebih menyakitkan, perubahan imej diri, hubungan intim yang renggang dan ketakutan penyakit berulang. 

Dalam keadaan ini, sokongan psikologi, penjagaan sokongan dan komunikasi terbuka sangat penting untuk membantu mereka kembali menikmati kehidupan seperti biasa. 

Memecahkan stigma sosial

Masih wujud tanggapan salah bahawa kanser serviks hanya berpunca daripada gaya hidup tidak bermoral. Stigma ini membuatkan ramai wanita takut tampil menjalani saringan atau berasa malu mendapatkan rawatan. 

Dr Hafizah menegaskan, masyarakat perlu lebih berempati. Penyembuhan bukan hanya bersifat perubatan, tetapi juga sosial dan emosi. 

"Keluarga, majikan dan komuniti boleh memainkan peranan penting dengan mewujudkan ruang selamat untuk berbicara dan menyokong wanita tanpa prejudis," dedah beliau lagi. 

Pakar itu turut menambah, dunia perubatan kini menawarkan rawatan lebih efektif dan kurang invasif. 

"Bagi kes awal, pembedahan mampu menyembuhkan sepenuhnya. Sementara bagi kes lanjut, kemoterapi, radioterapi dan brakiterapi masih menjadi rawatan utama. 

"Kini, pendekatan baharu seperti terapi bersasaran dan imunoterapi memberikan sinar harapan kepada pesakit yang berdepan penyakit berulang. 

"Peranan pasangan dan keluarga juga besar. Galakan untuk mendapatkan vaksin, menghadiri janji temu susulan bersama, dan mengamalkan gaya hidup sihat boleh memberikan kekuatan luar biasa kepada wanita yang sedang pulih," jelasnya lagi. 

Kanser bukan pengakhiran. Dengan kesedaran, pencegahan awal, rawatan moden dan sokongan berterusan, wanita mampu bangkit dengan lebih kuat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang