Romantisnya! 38 tahun cinta Alam & Ji, dari padang polo ke pelamin. Pengorbanan Tunku Azizah, 17 kali IVF & 6 gugur undang sebak
SELAMA 38 tahun mahligai cinta termasuk ketika lima tahun bersemayam di Istana Negara, utuhnya kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hampir empat dekad berkongsi hidup, AI-Sultan Abdullah secara terbuka mengakui bahawa Tunku Azizah banyak memberi semangat dan kekuatan, terutama pada awal Seri Paduka menaiki takhta sebagai ketua utama negara pada 2019.
Al-Sultan Abdullah dalam temu ramah Bernama baru-baru ini menzahirkan rasa kasih dan penghargaan begitu tinggi kepada Raja Permaisuri, insan yang teguh berdiri di sisinya mengharungi pelbagai kisah suka duka.
Wanita cekal
Yang di-Pertuan Agong melihat peranan Raja Permaisuri begitu menyerlah menyantuni rakyat jelata, kaum wanita dan golongan banduan menerusi pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan.
"Sudah tentu, bagi saya Azizah telah memainkan peranan luar biasa sebagai seorang Permaisuri dan isteri. Saya perlu bersetuju dengan anda bahawa Azizah banyak memberi semangat kepada saya untuk meneruskan tugasan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
"Selain itu, sebagai ibu, sebagai isteri dan saya akui banyak sokongan, dukungan dan semangat yang diberi oleh Permaisuri terhadap saya. Alhamdulillah, saya bersyukur," titah Seri Paduka, lantas mengundang senyuman manis Tunku Azizah yang berada di sisi Seri Paduka sepanjang sesi berkenaan.
Bagi Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah ialah wanita cekal yang pernah melalui enam kali episod keguguran dan 17 kali rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).
Baginda disifatkan sebagai sosok seorang ibu, isteri dan Permaisuri yang cukup sempurna, malah banyak menasihati Seri Paduka dalam pelbagai perkara.
"Beliau (Tunku Azizah) menasihati saya macam ini, macam itu, (tapi) saya yang buat keputusan, bukan beliau," titah Seri Paduka berseloroh.
Tatapan penuh cinta, kucupan di pipi
Walaupun kurang sihat ketika sesi wawancara berlangsung, Tunku Azizah atau sering dipanggil 'Ji' oleh Al-Sultan Abdullah, yang kelihatan anggun mengenakan persalinan serba merah jambu, sekali sekala "menyampuk" ketika pelbagai soalan di lontar pengamal media.
"Saya suri permai, bukan Permaisuri. Saya suri di rumah ini, saya jaga makan, saya tentukan semua. Tuanku jaga negara, saya jaga kediaman," titah Tunku Azizah, 63, yang memiliki empat cahaya mata hasil rawatan IVF.
Sepanjang wawancara hampir dua jam itu, jelas terpancar rasa kecintaan Al-Sultan Abdullah yang mesra dipanggil "Alam' oleh Tunku Azizah, melalui bahasa dan gerak tubuhnya, tatapan mata Seri Paduka yang sesekali melirik ke arah Tunku Azizah, begitu jua sebaliknya.
Baca juga: Tuah Missclyen kini anak angkat Raja Permaisuri Agong, alami penyakit rare Sindrom Werewolf
"Terima kasih atas khidmat Azizah kepada Raja sebagai Permaisuri," titah Seri Paduka lantas menghadiahkan kucupan mesra di pipi Tunku Azizah, tanda menghargai suri yang bertakhta di hati Al-Sultan Abdullah selama ini.
Baca juga:“Kita jangan bergaduh pasal laksa ok. Tepuk dada tanya selera”- Raja Permaisuri Agong kongsi resipi
Baca juga: Raja Permaisuri Agong bersuara desak gencatan senjata di Gaza curi perhatian, ramai zahir syukur
Dari padang polo ke jenjang pelamin
Episod cinta yang bermula di padang polo, membawa ke jenjang pelamin pada 6 Mac 1986 menyaksikan pasangan diraja yang sering kelihatan romantis dan saling berpegangan tangan, selain selalu "tampil" dengan aksi dan telatah comel, kini bahagia dengan empat putera dan lima puteri.
Walaupun sibuk dengan tugas hal ehwal negara dan menyantuni rakyat jelata, adakalanya mengetepikan protokol, hubungan kekeluargaan yang erat antara Seri Paduka berdua dengan kesemua paduka anakanda, menjadi model keakraban dan keutuhan institusi keluarga.
Tengku Hassanal dilahirkan untuk berkhidmat
Al-Sultan Abdullah bertitah dalam setiap program menyantuni rakyat, Seri Paduka akan berusaha membawa bersama paduka anakanda, sekali gus membolehkan mereka menyantuni dan mengenali rakyat dengan lebih dekat.
Kini, "DNA" raja dan rakyat berpisah tiada turut diwarisi anakanda, yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Alhamdulillah, saya perlu katakan, saya tidak tahu orang lain, tetapi kami tidak perlu beritahu kepadanya (Tengku Hassanal) apa yang perlu dilakukan. Beliau tahu tugasnya. Sejak kecil saya dah kata 'kamu dilahirkan untuk berkhidmat, tugas kamu ialah berkhidmat kepada rakyat titah Tunku Azizah.
Esok 30 Jan, genaplah lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, maka Alam dan Ji akan kembali bersemayam di Istana Abdulaziz, Kuantan.
Baca juga: 10 fakta menarik Sultan Johor, Sultan Ibrahim dipilih Yang di-Pertuan Agong ke-17
Ketika ditanya perancangan sekembalinya ke Pahang, Seri Paduka bertitah banyak kerja yang perlu dilakukan baginda.
"Seperti saya kata tadi, saya baru 15 hari jadi Sultan Pahang. Jadi, rakyat Pahang ternanti-nanti saya. Banyak perlu dibaiki dan dimajukan, membantu rakyat miskin, ramai lagi rakyat miskin," titah Al-Sultan Abdullah.
Mengakhiri wawancara itu, Seri Paduka berdua menzahirkan kesyukuran atas segala peluang menerajui negara selama lima tahun dan penghargaan kepada seluruh rakyat jelata serta memohon kemaafan terhadap segala kekurangan.
Menjunjung kasih. Dirgahayu Tuanku.
Sumber: Bernama
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang