TIDAK mampu rasanya untuk kita menghitung betapa besarnya kasih sayang dan rahmat ALLAH SWT ke atas hamba-hamba-NYA.

Bukan sahaja memberikan nikmat kita hidup di dunia, malah udara segar yang kita sedut sekarang ini juga merupakan kurniaan-NYA. Itu belum lagi pemberian-pemberian-NYA yang lain.

Ya, memang tidak terhitung jumlahnya. Namun begitu, ada segelintir dalam kalangan kita hamba-NYA masih lalai dibuai dengan segala nikmat dunia yang bersifat sementara ini.

Hanya istighfar dan taubat sebagai jalan utama untuk kita kembali kepada-NYA dan diampunkan segala kesalahan serta dosa yang pernah dilakukan selama ini.

Ketahuilah, sebenarnya ada beberapa amalan yang boleh menghapuskan dosa kita yang telah lalu. Malah, ada antara amalan itu mudah untuk kita praktiskan dalam kehidupan seharian.

Antaranya adalah ketika seseorang itu makan dan memakai pakaian. Bayangkan hanya dengan dua perbuatan yang seringkali kita lakukan ini, dosa kita akan diampunkan oleh ALLAH SWT.

Makan dan pakai baju

Demikian penjelasan pendakwah Ustaz Azhar Idrus tentang perkara itu.

Beliau kemudian memetik sebuah hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa makan akan satu makanan kemudian dia berkata ‘Segala puji bagi ALLAH yang telah memberi aku makan akan makanan ini dan merezekikan aku makanan ini daripada ketiadaan upaya daripada aku dan ketiadaan kekuatan’, necsaya diampunkan baginya apa yang telah lalu daripada dosanya dan apa yang terkemudian. Dan barang siapa memakai satu pakaian lalu dia berkata ‘Segala puji bagi ALLAH yang memakaikan aku akan pakaian ini dan merezekikan aku pakaian ini daripada ketiadaan upaya daripada aku dan ketiadaan kekuatan’, nescaya diampunkan baginya apa yang telah lalu daripada dosanya dan apa yang terkemudian.” (Riwayat Abu Daud & at-Tirmizi)

(Artikel berkaitan: Musibah itu penghapus dosa, ini rupanya sebab ramai yang tak sedar perkara ni)

Berdasarkan hadis berkenaan, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, sesiapa yang makan daripada suatu rezeki pemberian ALLAH SWT kepadanya, lalu dia memuji-NYA atas nikmat berkenaan, maka dosanya yang telah lalu dan terkemudian akan diampunkan oleh Sang Pencipta.

Namun begitu, katanya, makanan yang dimakannya itu mestilah daripada harta yang halal.

“Adapun, memakan yang haram maka yang pasti adalah semakin banyak menambah dosa.

“Begitu juga dengan orang yang memakai pakaian. Setiap kali memakai pakaian, dia menyebut nama ALLAH dengan memuji-NYA atas nikmat tersebut, nescaya diampunkan dosanya sepertimana perbuatan yang dilakukan ketika makan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Makan dan pakai baju

Bukan itu sahaja, ujar agamawan itu, mereka yang ditimpa kesusahan dalam hatinya juga merupakan antara penyebab dosa seseorang itu diampunkan oleh ALLAH SWT.

“Ingatlah, segala musibah yang menimpa orang Mukmin daripada penyakit, kesusahan, kepenatan, kesedihan dan lain-lain yang dibencinya, ketahuilah, apabila dia reda dan sabar, nescaya ALLAH SWT akan hapuskan dosa dan kesalahannya sebab musibah tersebut,” katanya.

Seperkara lagi, beliau menjelaskan, dosa yang diampunkan tersebut hanyalah melibatkan dosa yang kecil sahaja. Demikian pandangan jumhur ulama tentang perkara itu.

“Sementara itu, sebahagian ulama pula berkata, ia melibatkan segala dosa besar dan kecil,” katanya.

Subhanallah, begitu besarnya rahmat ALLAH SWT. Alangkah ruginya jika kita tidak mempraktiskannya dalam kehidupan seharian.

Jom sama-sama kita amalkan sentiasa memuji ALLAH dalam setiap perkara baik yang dilakukan.

Sumber: Instagram uaioriginal

Foto: Freepik