Kelab Aruzian Selangor berbakti dengan salur sumbangan kepada warga emas yang memerlukan

November 19, 2021
Oleh Lynn Mazlina

PRIHATIN dengan nasib dan kebajikan golongan yang kurang berkemampuan mendorong pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Aruzian Selangor tampil menyalurkan sumbangan menerusi program Santuni Warga Emas di Kapar, Klang, Selangor.

Pengerusinya, Rahmat Lazim berkata, pihaknya terlebih dulu telah melakukan ziarah di beberapa buah rumah warga emas yang kebanyakannya terdiri daripada bekas nelayan di Kampung Perepat.


"Urusan untuk mengenal pasti individu yang memerlukan pertolongan dipermudahkan kerana kami mendapat kerjasama daripada NGO yang sangat memahami dengan selok-belok kawasan di sini.

Iklan

"Pihak kami juga sangat menghargai bantuan yang dihulurkan oleh saudara Mohd Alif Syamrin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Bro Alif Sementa.

"Beliau telah lama bergiat aktif dengan penduduk di sekitar Sementa, Kapar dan di kawasan berhampiran. Bro Alif Sementa juga sangat mengambil berat dengan golongan asnaf dan fakir miskin sejak tahun 2005 lagi,” katanya ketika ditemui pada program agihan sumbangan di Klang baru-baru ini.

Iklan


Menurut Rahmat, antara objektif utama program Santuni Warga Emas adalah untuk memupuk semangat sahsiah, kebaikan, kebajikan dan mahu menyuburkan ukhuwah dengan aktiviti kemasyarakatan, khidmat sosial serta kekeluargaan dalam kalangan ahlinya.

Mengulas mengenai bentuk sumbangan, Rahmat berkata, selain lampin pakai buang dewasa, pihaknya turut mengagihkan bakul makanan asas dan beg cenderahati.
"Semoga pendekatan ini dapat mengurangkan bebanan kos golongan sasar dan menyuntik keceriaan buat mereka," katanya yang berterima kasih kepada Asyik Tomyam Meru dan E Max Car Accessories Sdn Bhd yang menjadi penyumbang utama kepada program murni berkenaan.

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis