MASJID merupakan institusi yang telah wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Bahkan, ia telah wujud sebelum itu lagi iaitu ketika zaman Nabi Ibrahim AS membina Kaabah.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat pada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah dan dijadikan petunjuk hidayah bagi manusia." (Surah Ali ‘Imran, ayat 96)

Institusi masjid menduduki tempatnya yang tersendiri. Malah, dalam hadis juga jelas menyatakan kedudukan dan kemuliaan masjid.

Antaranya sabda Nabi Muhammad SAW: “Sebaik-baik tempat di bumi ini adalah masjid.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Dalam banyak masjid yang ada di seluruh pelosok dunia, terdapat masjid utama yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam riwayatnya: “Tidak diutamakan untuk perjalanan menuju mana-mana masjid kecuali tiga masjid iaitu Masjid Al-Haram, Masjid Al-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Meskipun zaman berubah, namun masjid kekal menduduki tempat yang utama. Di Malaysia, terdapat beberapa kategori masjid yang menjadi ikutan lazim iaitu masjid jamek, masjid iktikaf, surau, musolla dan sebagainya.

Mengikut data terkini, terdapat hampir 10,000 masjid di seluruh Malaysia yang didirikan untuk tujuan solat Jumaat.

Dari segi pengurusan, ada masjid yang diuruskan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing sama ada MajlisMajlis Agama Negeri (MAIN) atau JabatanJabatan Agama Negeri (JAIN). Terdapat juga masjid-masjid yang diuruskan oleh pihak-pihak swasta dan persendirian.

Dari sudut kewangan pula, selain peruntukan daripada pihak kerajaan, sumbangan masyarakat juga merupakan sumber utama masjid. Kekuatan kewangan dan dana sesebuah masjid biasanya bergantung kepada kawasan kedudukan sesebuah masjid tersebut.

Lazimnya, masjid-masjid yang berada di kawasan bandar mempunyai kedudukan kewangan dan dana yang kukuh, manakala masjid-masjid yang terletak di kawasan kampung dan pedalaman berdepan kedudukan kewangan dan dana yang agak lemah.

Iklan

(Artikel berkaitan: 3 kebaikan pembayaran zakat secara cek cura melalui program... Mana-mana syarikat dan perniagaan boleh lakukan)

Kelayakan

Pun begitu, dari segi tenaga kerja, terdapat kepelbagaian latar belakang dan kelayakan akademik yang menguruskan institusi masjid. Biasanya masjid diketuai oleh imam dan dibantu oleh bilal serta siak yang merupakan pegawai atau kakitangan masjid. Selain itu, pengurusan masjid juga dibantu oleh ahli jawatankuasa masjid.

Peranan Masjid
SEKITAR Majlis Penyampaian Watikah Tauliah Mengajar oleh Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Bagi jawatan imam, selaku ketua pentadbir di masjid-masjid utama, biasanya mereka menggunakan waran perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan kelayakan kelulusan sama ada ijazah atau diploma. Sistem yang sama turut diguna pakai untuk kakitangan lain.

Iklan

Namun, bagi masjid-masjid kariah atau mukim, biasanya tidak mensyaratkan kelulusan akademik tertentu, sebaliknya melepasi tapisan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.

Kadar imbuhan pula berbentuk elaun yang ditentukan oleh pihak berkuasa. Sistem itu turut terpakai untuk surau-surau dan musolla yang lazimnya diuruskan oleh masyarakat setempat tanpa terikat dengan apa-apa syarat. Malah, mereka bertugas secara sukarela tanpa apa-apa bayaran.

Perkembangan dan kemajuan sesebuah institusi masjid bergantung kepada keupayaan dan kebolehan tenaga kerja yang mengetuai dan menguruskan masjid tersebut. Namun, tenaga kerja yang baik bergantung kepada dana masjid yang boleh digunakan untuk membiayai tenaga kerja institusi berkenaan.

Terdapat kekangan daripada pemikiran tentang penggunaan dana masjid untuk membiayai tenaga kerja masjid, terutama di masjid-masjid mukim atau kariah. Pengurusan dan perjalanan masjid pada era moden hari ini perlu dikendalikan oleh kakitangan atau tenaga kerja yang berkebolehan dan dapat bertugas sepenuh masa di masjid.

Semakan mendapati, kadar upah seseorang imam di masjid-masjid mukim atau kariah yang dibayar oleh pihak JAIN atau MAIN termasuk daripada dana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah antara RM850 - RM1,600 sahaja. Kadar tersebut adalah sangat rendah berbanding taraf hidup pada masa kini.

Keadaan itu menyebabkan kakitangan masjid yang bertugas tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada masjid jagaannya kerana terpaksa melakukan pekerjaan lain untuk menampung keperluan ekonomi kehidupan masing-masing. Akhirnya tugasan sebagai imam atau kakitangan masjid menjadi kerja sampingan sahaja.

Ini memerlukan satu perubahan atau transformasi khususnya berkaitan kadar upah kepada para imam dan petugas masjid. Tidak sepatutnya hanya pihak MAIN dan JAIN sahaja yang mengeluarkan peruntukan untuk para petugas masjid.

Seharusnya dana daripada tabung masjid boleh digunakan secara bersama bagi tujuan tersebut. Dengan itu, penglibatan masyarakat dalam menampung keperluan semasa elaun imam dan kakitangan masjid ini perlu disinergikan.Tidak cukup hanya memberi penghormatan semata-mata, tetapi imbuhan juga mestilah mengikut satu kadar yang setimpal.

***Artikel ditulis oleh Imam Besar Negeri Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Ustaz Muhammad Hana Pizi Abdullah

Foto: Ihsan MAIK